Mengimani Semangat Nihilisme dalam Sajak Aku Tidak Mahu Lagi
Aku Tidak Mahu Lagi
T. Alias
Taib
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada kebenaran
kerana kebenaran sering disalahertikan
menjadi tidak benar lagi
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada kepalsuan
kerana kepalsuan sering diputarbelitkan
menjadi tidak palsu lagi
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada pembunuhan
kerana pembunuhan sering dibolak-balikkan
hingga pembunuh melangkah tenang
aku tidak mahu lagi
jadi saksi kepada penipuan
kerana penipuan sering disalahtafsirkan
hingga penipu bersiul riang
Pasar Pengalaman, 2004
Dewan Bahasa & Pustaka
Pengenalan
Sajak
Aku Tidak Mahu Lagi diterbitkan dalam buku Pasar Pengalaman pada tahun 2004
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini ialah buku terakhir T. Alias Taib
sebelum beliau meninggal dunia pada tahun yang sama. Pasar Pengalaman merupakan
kumpulan puisi T.Alias yang ketujuh, yang mempertahankan gaya, pengucapan dan
peribadi puisi-puisinya yang terdahulu. T. Alias Taib juga dikenali sebagai Pak
Engku dalam kalangan orang terdekat dengan beliau. Sajak ini mempunyai empat
rangkap dan mesejnya jelas tanpa menuntut pembaca berfikir terlalu dalam.
Nihilisme
berasal daripada perkataan nihil daripada Latin yang membawa maksud kosong
atau tiada. Nihilisme secara mudah ialah sebuah fahaman yang menolak segala
prinsip moral dan agama serta percaya bahawa hidup tidak mempunyai sebarang
makna. Terma ex nihilo juga sering digunakan apabila bercakap tentang
falsafah kejadian makhluk. Ex nihilo bermaksud daripada tiada. Nihilisme
seringkali dikaitkan dengan Nietzsche tetapi sebenarnya beliau bukanlah seorang
penganut fahaman nihilism malah bibit-bibit kehilangan kepercayaan terhadap
moral ini bermula sebelum itu lagi yakni seawal kemunculan Socrates di mana
zaman itu para Sophist percaya kebenaran bersifat relatif dan ucapan
serta kepetahan berpidato menentukan sesuatu perkara itu benar atau tidak
(Abdul Rahman Abdullah, 2016). Horvath pula dalam bukunya Essentials of
Philosophy (1974) menghuraikan perkara yang sama,
“In
contrast to the Sophists, all the efforts of Socrates served only one purpose;
that of establishing concepts of truth and goodness”
(ms. 24)
Antara sebab saya memilih sajak ini
adalah kerana nilai atau fahaman nihilism ini perlahan-perlahan muncul dalam
diri saya dalam beberapa tahun ini. Kekecewaan saya terhadap dunia dalam
perjalanan hidup yang mendewasa saya ini membuatkan kepercayaan saya terhadap
kebenaran, kebaikan dan perkara berkaitannya menjadi semakin pudar. Seumpama
bayi yang baru membuka mata, saya dapati kehidupan di sekeliling saya tidaklah
seideal seperti mana yang saya bayangkan mahupun sepatutnya. Lalu serba sedikit
saya pun mula melupakan prinsip moral yang sepatutnya membentuk menjadi manusia
yang baik. Sebab seterusnya pula ialah T. Alias Taib. Beliau merupakan antara
penyajak tempatan kegemaran saya kerana kata-kata dalam setiap puisi dan
sajaknya mudah difahami walau masih berbunyi indah dan kesan terhadap saya agak
mendalam, seperti puisi ini.
Mencari
Kewujudan Ketiadaan dalam Rangkap
Dalam
rangkap pertama bersifat ironi kerana penulis berkata beliau tidak mahu menjadi
saksi pada kebenaran, sedangkan sebagai seorang seniman, kebenaran adalah
segala-galanya. Menyampaikan dan berpesan-pesan dengan kebenaran adalah tugas
mereka di dunia. Tetapi seterusnya beliau menyatakan sebab beliau berbuat
demikian, iaitu kerana kebenaran telah disalahtafsir orang ramai.
Di sini penulis bercakap tentang
masyarakat yg menyalahtafsir kebenaran, “kerana kebenaran sering
disalahertikan”. Penulis percaya kpd sifat kebenaran itu sendiri yg bersifat
mutlak dan tetap. Frasa ‘disalahertikan’ di sini menunjukkan penulis
meletak kesalahan ini kepada pihak yang tidak mempunyai kebijaksaan atau
kefahaman yang baik dlm menafsirkan kebenaran atau juga orang bijak yang diam
dan tidak memperbetulkan kesalahtanggapan oleh orang awam. Contoh mudah ialah sebagai
org Islam yang meneladai kandungan Al-Quran, kita dapat melihat bagaimana
pertentangan kefahaman antara orang yang mentafsir al-Quran berlandaskan akal
sendiri dan yg mengikut acuan para ulama dan ahli ugama. Bahkan, dalam agama
Islam sendiri terpecah pada banyak kelompok. Apabila perkara ini terjadi, maka
kebenaran akan kehilangan fungsi dan kedudukan dalam masyarakat kerana
kekeliruan.
“Secara sederhana, filsafat nihilisme bertujuan untuk
memutuskan dan mengakhiri semua klaim terhadap kebenaran pemikiran metafisis
tradisional”
(Cepi Riyana, 2007, ms. 1)
Keengganan
penulis untuk berpihak pada satu pihak membuka kemungkinan bahawa penulis barangkali
memihak pada yang berlawanan. Dalam puisi ini, yang berlawanan ialah kepalsuan
dan penipuan.
Pun
begitu, pada rangkap kedua penulis bertegas dia juga tidak akan berpihak kepada
kepalsuan kerana kepalsuan juga akhirnya akan dipermainkan manusia. Daripada
pemahaman saya, ini mungkin berkait dengan sistem undang-undang di mana seorang
peguam mampu memanipulasi penipuan bagi meragui bukti dan hakim yang mampu
dibeli wang ringgit. Seperti yang kita tahu, institusi kehakiman di Malaysia
juga pernah dicalit kontroversi di mana Peguam Negara ketika itu mengatakan
bahawa Perdana Menteri, Tun Mahathir campur tangan dalam usaha pemecatan secara
tiba-tiba Ketua Hakim Negara Tun Mohamad Salleh Abas yang jawatannya dijamin
kedudukan oleh Perlembagaan Malaysia. Namun, hal itu dijelaskan Tun Mahathir
bahawa keputusan tersebut datang daripada Yang Dipertuan Agong waktu itu iaitu Almarhum
Sultan Iskandar (Irwan Shafrizan Ismail, 2018).
Rangkap
ketiga berkait dengan rangkap pertama dan kedua di mana si penulis membayangkan
sekali lagi tentang kebenaran yang kehilangan makna, nilai dan fungsinya dalam
masyarakat. T. Alias Taib tidak berhenti memberitahu bahawa walaupun jika dia
mempunyai atau memegang kebenaran, keadilan masih belum tentu tertegak dan
dunia masih belum pasti menjadi lebih baik. Penggunaan “kerana pembunuhan
sering berbolak-balik” mencerminkan realiti perbicaraan di mahkamah di mana keputusan
mahkanah dipersoal dan dicabar.. Akhirnya, tertuduh bebas tanpa kesalahan
dijatuhkan, seperti kata penulis, “pembunuh melangkah tenang”. Sebagai contoh
kes berprofil tinggi melibatkan bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak iaitu
pembunuhan Altatunya yang telah lama ditutup dengan dua anggota daripada Unit
Tindakan Khas (UTK) dikenakan hukuman mati pada 2015. Namun, baru-baru ini ura-ura
mengatakan kes ini bakal dibuka semula kerana salah seorang anggota UTK mengaku
mereka menerima arahan daripada bekas PM untuk melakukan pembunuhan tersebut (Murni
Wan Omar, 2019). Jadi, siapa yang benar dan dimanakah nilai kebenaran?
Pemikiraan nihilistik berusaha meradikalkan kebenaran
metafisis hanyalah ungkapan subjektif individu maupun kelompok sosial tertentu.
(Cepi Riyana, 2007, ms. 4)
Pengulangan “aku tidak mahu lagi” dengan tegas
memberitahu kepada dunia bahawa kalau pun penulis mengetahui tentang kepalsuan,
dia tidak mahu terlibat atau membongkarnya pada umum kerana kepalsuan tersebut
masih boleh dimanipulasi hingga tidak lagi dilihat sbg sebuah kepalsuan. Rangkap
terakhir ini Pak Engku bercakap tentang penipuan, yang sifatnya tidak jauh
dengan kepalsuan. Rangkap ini juga mengulang apa yang beliau rasa dalam
rangkap-rangkap sebelum in yang amat bertepatan dengan apa yang dihurai oleh
Cepi Riyana (2007, ms. 3)
Karena itu, kehidupan tidak memiliki arti, dan tidak ada tindakan yang
lebih baik daripada yang lain. Pemeluk aliran filsafat ini adalah orangorang
yang memahami bahwa realitas yang ada di alam ini hanyalah keburukan. Mereka
beranggapan bahwa fenomena-fenomena yang ada pada manusia tidak lain adalah
penderitaan, kemalangan, kemiskinan, dan kehancuran.
Secara
kesuluruhan, jika diperhatikan tiga daripada empat rangkap puisi ini memaparkan
sisi hitam atau jahat manusia iaitu kepalsuan pada rangkap kedua, pembunuhan
pada rangkap ketiga dan penipuan di rangkap akhir. Ini membuktikan di mata
penulis, kemungkaran dan kejahatan sudah banyak berlaku pada waktu itu sehingga
menjadi perkara biasa sehingga penulis tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi
untuk mengubah kecuali menjauhkan diri daripada terlibat dan menjadi saksi dengan
membenci. Hal ini seiring dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang
boleh dibaca di laman web Mufti Wilayah Persekutuan yang membawa makna,
“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia
mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan
lisannya. Dan apabila tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu
adalah selemah-lemah iman”
Kesimpulan
Sajak
ini jika kita dalami dengan kaca mata falsafah, dapat kita resap semangat
nihilisme di dalamnya. Nihilisme pada saya mungkin berakar daripada kekecewaan
terhadap dunia secara keseluruhan. Kekecewaan ini berputik daripada rasa putus
asa untuk mengubah kerosakan dek kerana situasi yang sama berlaku tanpa kawalan
dan tidak berhenti. Nihilisme adalah manifestasi kekecewaan, putus asa dan kehilangan
harapan.
Dari
rangkap pertama hingga terakhir, kita dapat merasakan dengan jelas keputusasaan
penulis tentang kedudukan kebenaran dan keadilan dalam dunia moden ini. Beliau
telah hilang rasa percaya terhadap nilai dan makna kebenaran pada masyarakat,
walaupun dia masih memegang dan percaya kepada kebenaran itu sendiri.
The belief that truth does not exist, the nihilists’ belief, is a great
stretching of the limbs for someone who, as a warrior of knowledge, is
constantly at struggle with so many ugly truths.
(Baker, 2018, ms. 6)
Bagi
penulis, manusia dan sistem, kedua-kedua sudah korup. Beliau sudah kehilangan
harapan tentang dunia yang lebih baik yang berteraskan moral yang kukuh. Ribuan
manusia yang mengalami kemiskinan dan sebahagian kecil manusia yang berada
dalam kehidupan yang mewah menjadikan merek memandang kehidupan ini dari sudut negatif
lalu terjebak dalam aliran fahaman ini. (Cepi Riyana, 2007, ms. 6).
Walaupun
roh nihilisme itu dapat dirasai melalui empat rangkap sajak ini, namun kita
dapat mendalami sisi dalaman penulis yang lebih positif. Apabila diteliti diksi
dalam sajak ini dan dihalusi makna setiap baris, kita mampu melihat dunia
melalui kaca mata penulis bahawa beliau percaya yang beliau mengetahui
kebenaran dan kepalsuan sebenar serta sentiasa percaya akan kebenaran dan
sifatnya; tetap dan mutlak manakala penipuan dan sifatnya; berubah-ubah. Dia
masih lagi teguh mempercayai nilai kebenaran walaupun tidak ada seorang pun
kebenaran tidak dapat ditegakkan dlm masyarakat. Baginya apa-pun terjadi,
kebenaran tetap kebenaran dan kepalsuan tetaplah kepalsuan tidak kira justifikasinya.
Sajak
ini tentunya dikategorikan sebagai seni kerana ia mencerminkan masyarakat
ketika itu termasuk pemerintah serta menuntut pembaca menginsafi peranan
masing-masing dalam dunia yang penuh kebejatan ini, adakah mereka turut sama
berduka seperti penulis, berjuang menegakkan kebenaran atau dalam tidak sedar membina
jalan menyebarkan kemungkaran. Kedua-dua sebab ini sudah cukup menjelaskan
bahawa puisi ini telah memenuhi ciri-ciri karya seni. Dalam sebuah esei tluisan
Zainal Rashid Ahmad (2019), dia
berkongsi pandangan Pak Engku bahawa puisi yang baik ialah akalnya, bukan
ledakan emosi. Cepi Riyana (2007, ms. 19) menyimpulkan tentang nihilisme,
Secara historis lahirnya aliran Nihilisme dipengaruhi
oleh kejadian-kejadian dan trategi kemanusiaan yang terjadi di dunia yang
menyebabkan kesusahan dan keputus asaan. Misalnya revolusi industri, perang
dunia, kemiskinan, pemikiranpemikiran yang menyebabkan kebuntuan, maraknya
ajaran materialistis dan pergeseran akhlak manusia.
Walaupun
sajak berbunyi keluhan ini menzahirkan sisi nihilisme T. Alias Taib, pun begitu
samalah juga dengan Nietzsche, merekalah bukanlah penganut nihilisme mahupun cuba
menularkan nihilisme dalam kalangan orang awam tetapi cuba memberitahu
masyarakat tentang kerosakan nilai moral dalam masyarakat sedia ada supaya
kesedaran ini mampu mengubah mereka pada masa akan datang. Akhir sekali, memetik
Deleuze dalam buku Nihilism and Philosophy: Nothingness, Truth and World
oleh Baker (2018).
To restate Deleuze’s crucial point: for Nietzsche,
nihilism is the problem, first and always, of the true world.
(ms. 3)
RUJUKAN
Abdul Rahman
Abdullah (2016). Wacana falsafah barat: tinjauan dan kritikan.
Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Cepi Riyana
(2007). Filsafat nihilisme. Diambil daripada http://file.upi.edu/direktori/fip/jur._kurikulum_dan_tek._pendidikan/197512302001121-cepi_riyana/06_filsafat_nihilisme.pdf
Gideon Baker
(2018). Nihilism and philosophy: nothingness, truth and world.
London: Bloomsbury Academic.
Irwan Shafrizan Ismail (3 Januari 2018).
Pemecatan Salleh Abas - Dr M salahkan Abu Talib, Agong. Berita Harian.
Diambil daripada
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/370476/pemecatan-salleh-abas-dr-m-salahkan-abu-talib-agong
Muhammad
Muhsfique bin Ahmad Ayoup @ Ayub (19 Mac 2018). Diam daripada kebenaran
(syaitan bisu). Diambil 20 April 2020, daripada
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2348-irsyad-al-hadith-siri-ke-259-diam-daripada-kebenaran-syaitan-bisu
Murni Wan
Omar (24 Disember 2019). Kes Altatunya bakal dibuka semula - Tommy Thomas. Harian
Metro. Diambil daripada https://www.hmetro.com.my/utama/2019/12/529059/kes-altantuya-akan-dibuka-semula-tommy-thomas
Nicholas Horvath
(1974). Essentials of philosophy Hellenes to Heidegger. Woodbury, New
York: Barrons Educational Series.
Zainal Rashid
Ahmad (11 September 2019). Mengenang penyair hebat T Alias Taib. Diambil
16 April 2020, daripada https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/182602
Ulasan
Catat Ulasan