Sebuah kereta Proton Saga berwarna perak
dengan cermin lut sinar sedang menunggu Aini. Seorang wanita berusia 60-an bersama
gadis 20-an datang memeluk Aini erat. Mata Aini mula menakung air dan dia cuba
mengawal serak suara. “Ehem... jom, kita sambung kat rumah! Lama sangat ni tak jejak
kaki kat rumah. Jom!” Ibu Aini mengelap air mata dan masuk semula ke dalam
perut kereta. Di dalam kereta mereka berbual rancak tentang perubahan jalan dan
pembinaan bangunan-bangunan baru yang dilihat sepanjang dalam perjalanan
pulang. Tingkap dibuka dan Aini menghalakan wajahnya ke luar membiarkannya ditampar
angin. Sudah 5 tahun dia tidak merasakan nikmat menjejakkan kaki dari luar
kotak bangunan bernama penjara.
Adiknya,
Alia kini di tahun ketiga di salah sebuah universiti swasta di Bangi dalam
bidang pengkomputeran. Sejak Aini di penjara, jiran-jiran mula menjauhkan diri
daripada keluarganya.
Selepas 2 minggu di
rumah, Aini mula mencari pekerjaan. Dia tahu bekas banduan sepertinya mempunyai
peluang yang tipis sekali namun dia sedar dia harus hidup dengan keringat
sendiri walau apa pun cemuhan masyarakat.
Semasa
Aini mengurut ibunya di ruang tamu, perbualan mereka diselang-seli gelak tawa
Alia dari biliknya yang rapat ditutup pintu.
“Adik kau tengah borak dengan boyfriend-lah
tu.” Ibu Aini menegur.
“Handsome ke, Ma?”
“Biasa je. Entahlah taste
dia. Esok lusa boyfriend baru pula.”
“Biasa je? Hm kalau tak handsome
tu ikut taste Mamalah tu,” Aini ketawa.
Selesai
mengurut ibunya, Aini mengetuk pintu bilik Alia. “Dah tidur ke?” pintu
dibuka. “Eh, belum. Sinilah Along. Ada benda nak cerita ni!” Alia yang
sedang baring lekas bangun dan menepuk-nepuk katilnya mengajak Aini duduk
sekali.
Alia
berkongsi cerita tentang kehidupannya di media sosial sebagai seorang yang
mempunyai jumlah pengikut yang ramai. Dengan pendapatan dan jenama
dirinya yang dikenali ramai, dia bangga dapat membantu ibunya serba sedikit
dalam perbelanjaan rumah sejak ibu bapa mereka bercerai. Lepas ni Adik
nak try buat TikTok pula. Mana tahu boleh dapat followers juga
kat sana. Kalau buat live kan Long, boleh dapat duit tau! Terus direct
masuk akaun,” terang Alia yang teruja. Aini hanya senyum memerhati gelagat Alia
yang sudah remaja teruja berkongsi kehidupannya.
Hari ini saja
sudah enam kali Aini perasan adiknya ulang-alik ke tandas. Aini berasa pelik
kerana mereka hanya menjamah makanan di rumah namun dia dan ibunya tidak pula
mengalami keracunan makanan.
Keadaan Alia semakin
teruk selepas seminggu, ibunya menghubungi seorang ustaz untuk menjalani
rawatan tradisional. Aini yang skeptikal hanya menurut saja kerana hanya kaedah
tersebut saja masih belum dicuba.
Sementara itu,
Aini akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan di sebuah cawangan Pizza Hut
berdekatan. Petang itu dia ke sebuah kedai gambar untuk membuat gambar pasport.
Papan tanda kedai
nampak lusuh pudar. Udara sejuk dari penyaman udara menangkap kulitnya sejurus
pintu dibuka. Di dinding kiri dan kanan tergantung gambar-gambar keluarga
dengan pakaian tradisional, jubah konvokesyen dengan pelbagai warna sebagai
latar. Seorang wanita awal 30-an berkulit cerah, berambut kerinting dengan baju
berwarna peach dan seluar hitam keluar dari sebuah bilik di belakang.
Dia terus memberikan senyuman pada Aini.
Setelah selesai segala
urusan, Aini berjalan keluar.
“Aini, macam mana keadaan Alia?”
wanita tua tersebut meninggikan suara.
“Alia? Macam mana awak tahu dia
sakit?” Aini menoleh.
“Takdelah, dia ada beritahu
saya haritu. Lagipun dah lama dia tak datang sini” kecurigaan Aini
perlahan pudar memikirkan wanita itu salah seorang kenalan adiknya. Dia pun berbasa-basi
tentang kesihatan adiknya sebelum keluar.
“Kirim salam pada dia, ya. Bagitahu
dia ada sebulan saja lagi tau! Lepas tu...,” dia mengetap bibir.
“Sebulan untuk apa?”
“Tak apa, awak cakap saja dengan dia nanti dia faham,” balas
wanita tersebut dengan senyuman. Aini terus keluar dan angin panas dari luar
menerkam tubuhnya.
Selepas dua hari,
Aini datang semula ke kedai gambar tersebut untuk mengambil gambarnya. Wanita
tempoh hari sudah berdiri di balik kaunter tersenyum pada Aini seolah-olah
menunggu kedatangannya. Sampul berisi kepingan gambar dan helaian wang bertukar
tangan.
“Alia macam mana? Awak dah beritahu
dia pesanan saya haritu?”
“Oh tak, saya lupalah. Nanti balik
saya bagitau dia,” balas Aini.
“Aini, saya takut tak sempatlah.”
“Apa yang tak sempat?”
“Awak ada masa sekarang?”
“Kenapa?”
Wanita itu
menjelaskan tentang keakraban dia dengan Alia. Setiap kali cuti panjang, Alia
sering datang ke kedai disebabkan ibunya yang tidak mempunyai masa bersamanya serta
rakan-rakan yang tinggal berjauhan.
“Suatu hari, dia tanya saya macam
mana nak jadi macam artis yang dia minat. Kawan-kawan dia banyak followers
di media sosial tapi followers dia semuanya kawan-kawan sekolah saja. Mula-mula
saya fikir dia bergurau saja. Tapi lama-lama dia asyik mengadu dan tanya benda
sama.”
Wanita itu kemudian memberitahu
tentang kewujudan dewa dewi iaitu Vines, Mesa dan Eroz.
“Oh, okey saya pernah dengar yang tu.
Tapi betul ke? Dahlah, saya nak balik ni kena jaga dia, jangan
buang masa saya.” Aini mengangkat punggung untuk beredar. Wanita tersebut
memegang tangannya.
“Saya betul-betul ni. Kalau
tak percaya...”
“Apa lagi? Sekarang dia makin teruk tau
tak. Dia dah jadi macam budak kecik, cakap pun kitorang tak
faham. Saya kena balik cepat,” Aini merentap tangannya.
“Ikut saya sekarang, tolong!” Wanita
tersebut membawa Aini ke bilik studio. Dalam bilik tersebut terdapat sebuah
pintu yang membawa mereka ke sebuah bilik kecil.
Wanita itu
menyalakan 12 lilin yang disusun dalam bulatan. Kepingan cermin memenuhi
dinding. Mereka berdiri di tengah-tengah sambil tangannya memegang kedua-dua
tangan Aini. Wanita itu memejamkan mata dan mula membacakan mantera.
Bunyi guruh
berdentum seolah-olah kilat di atas kepala. Aini membuka mata dan melihat
sekeliling. Mereka berada di dalam sebuah istana yang dibina dengan batu-batu
besar berwarna hitam. Cahaya putih berdenyut laju antara celahan batu-batu itu.
Udara nyaman yang tiba-tiba memenuhi ruang berlainan daripada sejuk penyaman
udara.
“Dewa dewiku, maafkan aku kerana
membawa tetamu. Janganlah dewa dewiku menghukumku.”
Di hadapan mereka
ada tiga makhluk besar sedang berdiri dengan jubah yang labuh dan berkilau. Di
kirinya tampak seolah-olah manusia perempuan yang jelita, berambut panjang dan
berjubah ungu. Di tengah-tengah pula dewa tampak androgynous, berambut
pendek dengan jubahnya merah bercampur emas bersama wajah yang bengis. Di
sebelah kanan pula berbadan sasa berjubah hijau namun wajahnya nampak tenang.
Mereka mendongak tinggi melihat dewa dewi tersebut.
“Dewa dewiku, inilah kakak kepada
Alia, gadis yang dulu pernah membuat perjanjian dengan dewa dewi. Kakaknya ini mahu
menyembuhkan adiknya,” beritahu wanita itu pada dewa dewi.
Aini terbeliak, “Perjanjian?”
“Kami sedia mengetahui apa yang dia
mahukan,” suara Mesa bergema seluruh istana.
“Aini. Sesungguhnya adikmu sudah
memeterai perjanjian mutlak dengan kami beberapa tahun lalu dengan sumpah dan
darah. Dia memberikannya seluruh jiwanya kepada kami dan kami janjikannya kemasyhuran,
kejelitaan dan kemewahan dalam perjalanan hidupnya. Semua itu sudah kami
tunaikan seperti dipohonnya dulu,” terang Mesa.
“So? Apa maksud semua ni?”
Aini menyoal Mesa.
“Kasihan manusia, sudah lama kami buktikan
petunjuk tetapi tetap saja memilih untuk mengabaikan. Wahai manusia,
ketahuilah, setiap imej yang wujud membawa cebisan daripada dirimu. Semakin
banyak dan jauh gambar dan video mereka wujud bertebaran, semakin lemahlah
tubuh dan daya akal manusia. Namun, dengan permintaan adikmu, dia sudah
persetujui bahawa setiap segala foto dan videonya akan membawa cebisan yang
lebih besar daripada manusia biasa. Jauh berkali ganda, kerana dia inginkan
kemasyhuran yang lekas. Maka, hayatnya...”
“Tapi, aku tengok dia biasa je...”
“Bukankah manusia itu memakai topeng
berbeza setiap waktu?” tanya Eroz.
“Itulah yang telah dijanjikan oleh
adikmu wahai Aini. Kami tidak pernah memaksa mana-mana manusia menurut
perjanjian kami melainkan ia dipersetujui dan dikehendaki oleh mereka sendiri.
Tidakkah kau sedar, Aini, segala cinta di duniamu itu perlukan pengorbanan?
Tidak ada apa-apa pun yang percuma di sana,” Venis menambah dengan suara yang
lunak.
“Aini, ini saja peluang kau untuk
selamatkan adik kau, gunakan sebaiknya! Saya merayu, kalau kita pulang sekarang,
adik awak akan mati seperti mereka katakan tadi. Merayulah pada mereka, Aini”
Wanita menggoncang-goncang tangan Aini.
Aini memandang tepat wajah Mesa dan
meminta perjanjian itu dibatalkan dengan nada marah.
Semua dewa ketawa. “Tidak ada
perjanjian yang disertakan dengan darah dapat dibatalkan, sayang. Ini bukan
perjanjian antara manusia,” sampuk Venis.
“Dia datang kepada kami merayu supaya
dirinya disukai, dikejar laki-laki, punya pengaruh dalam rakan-rakan dan
dikenali manusia serata dunia. Dengan itu dia boleh punyai segala perhatian dan
wang yang dia kehendaki. Maka, kami berikan dirinya akan kejelitaan, kesucian
wajah, kemanisan senyuman, lantas dengan itu dia memperoleh rakan dan pengaruh.
Siapa-siapa yang melihatnya di dunia nyata hatta maya sekalipun, langsung jatuh
suka dan menurutnya.”
“Aku sanggup buat apa saja. Gantilah
aku dengan Alia. Dah tak ada guna dah aku kat sana. Semua orang dah
benci aku, hina aku. Ambillah aku!”
Setelah beberapa lama
berbincang, Mesa membuat keputusan.
“Aini, kami berikan engkau
masa separuh daripada sepurnama untuk engkau kumpulkan semua foto dan video
adikmu untuk dipersembahkan pada kami dan lenyapkan semua agar tiada lagi jejak
cebisan dirinya di dunia. Ingat! Hanya separuh purnama. Tidak ada satu pun
terkecuali melainkan kami akan meneruskan perjanjian asal. Hanya dengan
sempurnanya tugas itu, maka kami janjikan kehidupan asal adikmu seperti yang
diminta engkau.”
“Baik, korang tunggu!”
“Segalanya bergantung pada engkau,
Aini,” balas Venis.
Lalu istana menjadi gelap
gelita, nyaman udara hilang dan lilin-lilin di sekeliling muncul kembali.
“Nama kau Wanita, seriuslah?”
“Dah, kita tak ada masa,
cepat balik dan ambil phone Alia ke sini!” arah Wanita.
Sudah beberapa
hari Aini di kedai Wanita cuba belajar selok-belok menggunakan telefon pintar.
Tatalannya di skrin perlahan, setiap klik dilakukan dengan penuh hemah. Dia
takut jika tersalah langkah, ada musibah lain pula akan terjadi.
Mereka
membuat pengumuman melalui status di WhatsApp, hantaran di Twitter dan
Instagram meminta untuk rakan-rakan serta pengikutnya menghantar sebarang
gambar yang ada Alia dalamnya sama ada swafoto, tangkapan skrin mahupun apa-apa
video. Walaupun langkahnya perlahan, namun dia tetap menguruskan WhatsApp dan
Instagram sehingga mengabaikan waktu makan dan tidur sementara Wanita
menolongnya menguruskan pengikut di Twitter.
Setelah hampir dua minggu, mereka mendapat sekitar 300
foto dan video daripada kesemua pengikut Alia dan merayu pada mereka untuk
memadam semua bahan media dengan alasan ia permintaan daripada Alia yang sedang
tenat bertarung nyawa.
Dalam istana batu
yang berudara nyaman dan batu-batunya memancarkan lintasan cahaya, Aini
mengangkat sebuah cakera keras, ditunjukkan pada Vines, Mesa dan Eroz.
“Semuanya dalam ini. Gambar yang tak
ada dalam hard disk, ada dalam kotak-kotak ni,” Aini menunjukkan jarinya
ke arah kotak-kotak di hadapan mereka.
“Kau yakin semuanya ini adalah semua
gambar dan video adikmu dari seluruh ceruk dunia?” tanya Eroz.
“Yalah... Semua. Aku dah minta
daripada followers dia, dan diorang pun dah janji untuk delete.”
“Sayang seribu kali sayang. Ini hanya
satu daripada tujuh daripada apa yang ada di dunia. Masih banyak lagi cebisan
dirinya luar sana, Aini,” kata Eroz.
“Kami sentiasa memerhatikan kamu namun
semua yang engkau persembahkan pada kami hari ini, hanya satu bahagian daripada
jumlah sebenar.”
“Jadi korang tahukan ini kerja
mustahil?”
“Ini perjanjian kita, Aini.”
Aini menundukkan kepala dan menghela
nafas.
“Tolonglah. Kalau ini pun tak dapat
selamatkan adik aku, bagitahu aku apa lagi korang nak. Aku akan buat apa
saja. Dia saja harapan family kami. Cukuplah aku dah malukan keluarga.
Aku yang tak ada nilai, bukan dia. Dia muda lagi. Aku merayu sangat-sangat,
maafkanlah dia.” suara Aini mula serak.
Kesemua dewa berpandangan sesama
sendiri.
“Memandangkan engkau sudah melakukan
semampumu dan telah kami saksikan kasih sayang engkau terhadap adikmu, maka
dengan cinta dan belas Venis dan Eroz, kami akan berikan semula nyawa pada Alia
dan hayatnya kembali pada asal.”
Aini mengangkat muka melihat dewa
dewi. Wanita senyum teruja dan memandang wajah Aini.
“Betul ke ni?” Aini mengelap
air mata.
“Tetapi ada syaratnya,” Venis
mencelah.
TIGA BULAN KEMUDIAN
Aini masuk ke bilik Alia mengajak
untuk makan tengah hari. Dia nampak keratan akhbar antara celahan kertas atas
rak.
“PASANGAN LESBIAN DISEBAT DAN
DIPENJARA LIMA TAHUN, CUBA MELAKUKAN HUBUNGAN SEKS SEJENIS, CEDERAKAN PENJAWAT
AWAM”
Perlahan dia tarik keratan itu dan
menyembunyikannya di dalam baju.
Di meja makan, Alia terus bertanya, “Mama,
betul ke saya ni anak Mama dan adik kakak ni? Kalau betul kenapa
tak ada gambar saya langsung?”
“Gambar Adik adalah, tapi dulu masa
pindah, album Adik hilang. Yang ada kat rumah lama sebelum tu pula kena makan
anai-anai. Takpe nanti kita cari lagi ya? Kot-kot jumpa ke.”
Aini meyakinkan adiknya.
“Hm okey,” Alia menjamah nasi
dan mencedok kepingan daging itik salai ke dalam pinggan.
Semua akaun
media sosial Alia sudah dipadam. Aini berasa sedih melihat tingkah laku Alia
yang berbeza daripada sebelum ini yang manja dan sentiasa ceria. Alia sekarang
banyak diam dan kadang-kadang kekok bila melakukan satu-satu aktiviti. Cara
percakapannya juga berbeza, membuatkan ibu mereka dan Aini tersepit antara lega
dan rindu. Perasaan serba salah Aini semakin hari semakin menebal.
Dia memandang
pintu studio di sebelah kiri. Ingatannya tentang ritual terakhir kembali
menjengah fikiran. Suara Vines masih jelas dalam ingatan,
“Dengan hayat yang dikembalikan itu,
seluruh ingatan kehidupannya sebelum ini akan kami ambil bersama bukti-bukti
maya dan nyata ini. Dia tidak akan mengingati apa-apa dan siapa-siapa,
sekalipun engkau dan ibumu, Aini. Apa cara sekalipun kau tidak akan mendapati
dia berada dalam kehidupan lalunya.”
“Kalaulah aku boleh patah balik masa. Or at least hilangkan terus
kisah silam tu dari ingatan semua orang, mesti family aku senang
sekarang. Mak aku tak perlu malu, jiran-jiran tak ada yang mengecam, hidup pun
tenang. Haih...,” getus hati Aini.
Aini terjaga dari
lamunan apabila Wanita di menggenggam tangannya. “Dahlah tu Aini, jangan
runsing-runsing. Jom.” Wanita senyum dan perlahan mengusap tangan Aini lalu
menariknya masuk ke dalam bilik studio.
(2100 patah perkataan)
Ulasan
Catat Ulasan