Langkau ke kandungan utama

Analisis Kritikal terhadap Salib Existensial (2015) oleh Ridhwan Saidi (Esei) (1 Januari 2020)

Pengenalan

Ridhwan Saidi ialah nama yang tidak asing lagi dalam arena seni di Malaysia terutamanya dalam kalangan peminat novel indie. Beliau ialah pengasas bersama Mocha-Mocha Ink yang menerbitkan fiksyen kontemporari, novelis dan penggiat teater namun lebih dikenali sebagai penulis novel kerana telah menerbitkan beberapa bukunya dengan Buku Fixi seperti Brazil, Amerika, Cekik dan banyak lagi.

Salib Existensial oleh Ridhwan Saidi merakamkan kejadian sebuah salib yang berkhidmat di gereja mendapat azab pada pengakhiran kehidupannya. Suatu malam, dia mengambil keputusan untuk beristirahat dengan pergi ke sebuah bar berdekatan berseorangan. Setelah mabuk, dia pulang ke gereja untuk berdiri semula di hadapan gereja kerana esoknya ramai hadirin akan datang untuk beribadat.

Akhirnya, dia sampai ke puncak, tempat kerjanya dan tidur hingga ke esok pagi. Keesokannya, dia mendapati ramai orang berekerumun di bawah seperti hari Ahad biasa namun mereka kaku memandangnya serta mempunyai riak wajah yang tidak menyenangkan. Rupa-rupanya dia telah menggantung dirinya di kubah masjid. Orang ramai mengambil gambar dan videonya sebagai bukti malapetaka itu.

Peristiwa tersebut menggemparkan masyarakat sehinggakan diberi perhatian oleh stesen televisyen dan media cetak. Dia dihadapkan ke tribunal salib se-Malaysia. Gagal untuk merasuah hakim dengan wang simpanan KWSP, dia akhirnya dijatuhkan hukuman dengan dicampakkan ke neraka.

Sewaktu diazab dia dapat mendengar ketawa penjenayah lain seperti perasuah yang terlepas daripada hukuman walaupun jenayah mereka lebih besar. Hilai tawa oleh para tetamu kehormat yang sedang berpesta bersama gundik bercampur dengan lolongan salib kesakitan.

 

Isu

Cerpen oleh Ridhwan Saidi ini dengan jelas membawa isu ketakutan terhadap penampakan atau peletakan salib dalam masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan orang Islam yang majoritinya Melayu. Ditulis pada 2015, penulis cuba seolah-olah memparodikan isu yang panas ketika itu iaitu peletakan salib di gereja di Taman Medan, Petaling Jaya yang terjadi pada bulan sama iaitu Mei. Kira-kira 50 orang penduduk Taman Medan melakukan protes di hadapan gereja di bangunan kedai tersebut kerana mendakwa ia tidak menjaga sensitiviti penduduk dan boleh mempengaruhi minda anak muda beragama Islam di sana (Haider Yutim, 2015). Isu tersebut bukan sahaja dikaitkan dengan akidah umat Islam tapi juga didakwa melibatkan isu politik kerana dikaitkan dengan pemimpin UMNO di mana salah seorang peserta protes ialah Ketua Cawangan UMNO Cawangan Taman Lindungan Jaya dan adik kepada Ketua Polis Negara waktu itu.

Ridhwan Saidi barangkali melihat permintaan penduduk untuk pihak gereja menurunkan salib tersebut sebagai suatu yang kelakar dan tidak relevan lalu menulis cerpen ini.

Antara isu lain disisipkan adalah berkenaan penjenayah kolar putih yang selalu terlepas daripada hukuman di mahkamah kerana mempunyai wang untuk merasuah para hakim dan orang yang terlibat. Hal ini dapat hanya diselit pada penghujung cerpen di mana dia yang melakukan kesilapan dan menyesal dihukum ke neraka tetapi para tetamu yang berstatus tinggi dan melakukan jenayah lebih berat dapat berfoya-foya tanpa hukuman. Dia tidak mencuri, merogol, membunuh mahupun mencederakan sesiapa bahkan menyesal dengan perbuatannya namun diberi hukuman yang melampau. Khidmatnya pada agama dan penganut Kristian dilupakan begitu saja bahkan dihumban ke neraka oleh para salib lain yang seagama dengannya. Keadilan dan korupsi sistem kehakiman dalam cerpen ini mencerminkan realiti yang berlaku di Malaysia seperti seorang bapa miskin mencuri susu formula untuk dua orang anaknya dijatuhkan hukuman penjara dan denda tetapi bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang sudah diputuskan hukuman oleh mahkamah masih lagi bebas berjalan dan memuatnaik status di Facebook setiap hari.

Pemaparan isu tolak ansur antara rakyat Malaysia juga disampaikan dengan sarkastik di mana salib mampu mengecam azan Isyak dan berinteraksi dengan pembaca dengan mengatakan

“Beginilah, ia seperti yang biasa kau cerita kat kawan-kawan kau, ‘Kita ni hidup dalam negara majmuk yang paling bertoleransi kat dalam dunia. Kenapa mesti kau jahil dengan agama lain? Takkan begitu sempit keluasan akal yang dikurnia Tuhan?’”

Ironinya, dia akhir sekali dihumban ke neraka dan dicemuh manusia.

Isu utama berkenaan ketakutan orang Melayu beragama Islam di Malaysia bukan terjadi sekali malah setiap beberapa tahun pasti berulang, menjadikan cerpen ini relevan sepanjang masa. Contohnya, Fairul Asmaini (2019) melalui Berita Harian melaporkan sebuah kejadian hampir serupa yang berlaku di Jelutong, Pulau Pinang di mana sebuah pangsapuri yang masih belum siap dibina menyalakan lampu beberapa unit di pangsapuri itu lalu membentuk lambang salib. Isu tersebut tular di media sosial dan kemudian mengheret Mufti Pulau Pinang dan Menteri Agama untuk bersuara selain seorang ADUN PAS turut mendesak kerajaan Pulau Pinang menjawab dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Isu salib ini disampaikan dengan jelas dan disulami beberapa isu kecil yang lain namun masih berinteraksi dengan pembaca secara terus-terang.

 

Agamaku agamaku, agamamu agamamu

Isu kemarahan orang Melayu beragama Islam di Malaysia dengan salib bukan hanya sekadar ketakutan mereka terhadap simbol agama Kristian semata-mata namun ia adalah cabang daripada insecurity orang Melayu beragama Islam dengan keimanan mereka. Isu protes mereka terhadap lambang salib cuma satu contoh daripada beribu kejadian lain lagi yang mencerminkan insecurity mereka dengan iman sendiri. Antara contoh kejadian lain adalah kempen Buy Muslim First atau singkatannya, BMF yang menggalakkan pengguna beragama Islam mengutamakan produk buatan orang Islam sebelum produk buatan bukan orang Islam. Antara hujah mereka adalah kerana produk keluaran orang Islam pastinya halal, bersih dan lebih patuh syariah berbanding buatan bukan Islam.

Namun, dalam Islam penganutnya diwajibkan untuk memakan makanan yang bersih dan halal bukan mengira latar belakang bangsa dan agama pembuat makanan semata-mata. Bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil (2020), ia cuma sandiwara politik yang mana PAS turut terlibat dalam mempengaruhi rakyat untuk menyokong kerajaan baru yang disertai mereka iaitu Perikatan Nasional (PN). Hal ini kerana parti-parti dalam gabungan tersebut kesemuanya adalah parti bertunjangkan bangsa iaitu Melayu, maka kempen BMF secara tidak langsung menanamkan benih ragu dan benci terhadap parti lain seperti Democratic Action Party (DAP) demi kepentingan politik mereka. Umum mengetahui di Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertanggungjawab dalam urusan pensijilan halal kepada mana-mana produk yang dikeluarkan dan kesahihannya diperakui di negara-negara lain juga. Kaedah dan piawaian yang ditetapkan juga begitu ketat dan mengambil masa kerana permintaan yang tinggi, maka status halal sesuatu produk seharusnya tidak perlu diragui lagi jika ia telah disahkan halal oleh badan tersebut.

Sifat takut dan benci orang Melayu terhadap penganut agama lain juga sering berkait dengan masalah perkauman kerana agama Islam dan kaum Melayu sangat berkait rapat, jadi kebencian terhadap kaum lain sering terkait dengan latar belakang bangsa mereka. Pun begitu, masalah perkauman ini turut mendapat sumbangan besar daripada ahli-ahli politik sejak dulu kala lagi yang sering menjadikan ketakutan sebagai alat utama meraih sokongan. Ini bukan saja berlaku di Malaysia sejak puluhan tahun lamanya namun Adolf Hitler juga semasa cuba meraih sokongan rakyat Jerman turut menggunakan cara yang sama dengan menggunakan semangat nasional dan menakut-nakutkan rakyat dengan ancaman bangsa lain seperti kaum Yahudi (Zamir Mohyedin, 2019).

Ceramah-ceramah politik tidak akan lekang dengan tohmahan terhadap parti lawan tidak berlandaskan fakta atau khabar angin (Mohd Izani, 2015). Parti UMNO sebagai contoh akan menakut-nakutkan penyokong Melayunya tentang ketaksuban kaum Cina yang ingin ‘menguasai’ Malaysia melalui parti DAP manakala dalam ceramah ahli politik DAP pula akan bercakap tentang korupsi orang Melayu dalam mentadbir kementerian dan sebagainya. Semua parti-parti berasakan bangsa dan agama ini akhirnya memecah-belahkan rakyat Malaysia mengikut bangsa, agama dan parti yang disokong dan kesannya dapat dilihat hingga ke hari ini.

Peranan ahli agama atau pendakwa juga boleh dipersoal ketika iman orang-orang Islam di negara mampu digugat dengan mana-mana objek berbentuk lambang salib. Ahmad Soffian (2015) turut meluahkan keluhannya dengan orang Islam di Malaysia yang begitu takut dengan Kristian sedangkan kita dibanjiri ulama selebriti dan rancangan keagamaan di kaca televisyen. Dia menjadi hairan bagaimana amalan agama lain mampu memurtadkan orang Melayu Islam sehingga tanda-tanda agama lain langsung diminta disorokkan? Kerapuhan kepercayaan orang Islam sedikit sebanyak menunjukkan kegagalan para ahli agamawan dalam meneguhkan keimanan dan menjelaskan tauhid yang sebenar. Kisah pembukaan Madinah dan Mekah antara yang dipelajari waktu sekolah dan tauladan Rasulullah S.A.W dalam menerima orang bukan Islam sebagai rakyat dan keterbukaannya mengizinkan semua individu mengamalankan amalan masing-masing seolah-olah langsung diabaikan. Apakah ia kerana Rasulullah bukan Melayu dan tidak tinggal di tanah nusantara yang berbilang kaum? Selain gagal dalam meneguhkan keyakinan umat Islam dalam agama mereka, para pendakwah ini juga dalam hal lain juga telah gagal menarik masyarakat bukan Islam untuk mendalami Islam (Ahmad Soffian, 2015).

Ketidakyakinan orang Islam ini secara tidak sedar dizahirkan dengan perbuatan mereka menyoal dan memprotes amalan-amalan agama lain seolah-olah amalan itu akan menjejaskan akidah, kewujudan dan kekuasaan Tuhan yang dipercayai mereka selama ini. Ini seperti menggambarkan kelemahan iman penganut serta kerapuhan kuasa Tuhan yang dizikir dan dipuji mereka setiap hari itu. Hal ini berkait dengan kelompongan spiritual yang dialami mereka yang sentiasa takut dengan simbol dan kejadian-kejadian yang tiada kena-mengena.

Ini dibuktikan melalui kajian oleh Norazwa Yeop Kamarudin (2013) yang menghubungkan antara kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual dalam mempengaruhi kelakukan seseorang. Beliau mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara kecerdasan spiritual dengan salah laku remaja dan tiada hubungan ketara antara kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual.

Ketakutan terhadap lambang salib juga adalah manifestasi prasangka buruk dan perasaan curiga orang Islam terhadap bukan Islam. Ini tidak lain tumbuh akibat daripada ketiadaan persefahaman antara kaum dan agama dan kesatuan antara warganegara yang berbilang latar belakang. Mereka sentiasa beranggapan orang bukan Islam sentiasa mencuba memurtadkan orang Islam dengan pemaparan simbol salib dan apa-apa lambang yang tidak bercirikan Islam mahupun Melayu. Secara tidak langsung ia menggambarkan kerapuhan hubungan antara agama di Malaysia jika ia tidak ditangani dengan bijaksana (Mohd Izani, 2015).

            Antara akar isu ini adalah sesetengah pihak yang berusaha keras untuk menjadikan agama mereka sebagai satu-satunya agama, lalu berusaha untuk menghapuskan semua agama lain (Burhanuddin Jalal, 2018). Sememangnya Islam diiktiraf sebagai agama rasmi Persekutuan, namun dalam Perkara 11 dalam Perlembagaan juga memberi kebebasan untuk penganut mana-mana agama selain Islam untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Jadi, tindakan segelintir pihak yang mendesak pihak gereja menurunkan lambang salib, merosakkan rumah ibadat dan sebagainya adalah salah di sisi undang-undang kerana semua penganut telah dijamin kebebasan untuk beribadat. Jaminan dalam Perlembagaan ini juga sebenarnya dicontohi dari tindakan Rasulullah S.A.W yang memberi kebebasan pada penganut bukan Islam dalam Piagam Madinah semasa baginda membuka kota Madinah namun nyata hal ini diabaikan oleh ekstremis agama.

 

Eksistensial sebuah salib

Eksistensialisme adalah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris, existentialism. Menariknya, Ridhwan Saidi memilih untuk menggunakan ‘existensial’, seolah-olah gabungan daripada kedua-duanya. Apakah Ridhwan menggunakan ‘exist’ yang mengandungi huruf ‘x’ bukan ‘eksis’ kerana ‘x’ juga salah satu simbol salib dalam agama Kristian? Saya fikir ya.

Falsafah eksistensial jelas dalam cerpen ini dengan kewujudan perkataan itu pada tajuk cerpen jadi tidak sukar untuk membongkar ideologi yang cuba diselit Ridhwan Saidi. Eksistensial adalah sebuah fahaman yang secara asasnya berpendapat bahawa seseorang bebas membuat keputusan dan bertindak dalam hidupnya tanpa ada campur tangan atau pengaruh daripada kuasa ghaib seperti tuhan mahupun manusia lain. Eksistensialisme memberikan perhatian khusus kepada kehendak bebas seseorang dan tanggungjawabnya tanpa pengetahuan kukuh tentang moral (Wolfreys et al., 2006). Berlawanan dengan eksistensialisme ialah essentialism yang percaya bahawa hidup seseorang tidak dapat lari daripada takdir dan sentiasa terpengaruh dengan elemen lain sama ada dalaman mahupun luaran seperti tuhan. Antara nama-nama terkenal dengan ideologi ini ialah Friedrich Nietzsche, Jean-Paul Sarte dan Albert Camus.

Salib dalam cerpen ini yang telah meletakkan dirinya di kubah masjid menjadi bukti kewujudan eksistensialisme dalam cerpen kerana manakan sebuah salib di dunia sebenar mampu turun, minum arak, berkawan dan meletakkan dirinya di mana-mana dia suka? Walaupun perbuatannya itu tidak disengajakan kerana dipengaruhi alkohol namun ia masih menunjukkan salib tersebut mempunyai kehendak atau nafsu serta berkeinginan bebas seperti minum arak dan berada di mana saja dia mahu. Dia bercirikan manusia, bukan lagi sebuah objek salib biasa yang tidak hidup.

Persoalan eksistensialisme adalah persoalan yang tidak akan henti dilawati sepanjang zaman, terutamanya remaja yang sedang menuju kedewasaan. Gejala ini dilabel sebagai krisis eksistensial di mana seseorang mula mempersoalkan kewujudan dirinya, sebab dan tujuan dia dilahirkan dalam dunia ini dan posisinya dalam masyarakat. Dalam bidang falsafah sendiri aktiviti bertanya tentang tujuan hidup, makna dan moral sentiasa berputar tanpa jemu dengan pendapat-pendapat baru daripada ahli pemikir kontemporari.

Nilai eksistensialisme yang diberikan kepada si salib dalam cerpen adalah walaupun dia sebuah salib, lambang pada agama Kristian namun masih mempunyai kesedaran dan pilihan untuk melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan agama seperti meminum arak dan melakukan apa saja tanpa halangan balasan serta-merta. Falsafah eksistensial percaya bahawa manusia sendirilah yang meletakkan tujuan hidup dan makna diri serta tidak ada ‘isi’, ‘pati’ atau essence yang telah wujud dalam diri sebelum penciptaannya yang mempengaruhinya. Sartre (1946) berkata bahawa manusia pertama sekali wujud, bertemu dirinya, muncul di dunia dan kemudian memberi makna pada dirinya.

Eksistensialisme semestinya berlawanan dengan ideologi kebanyakan agama terutamanya Islam yang telah secara jelas menggariskan panduan moral dan tujuan penciptaan manusia di dunia ini. Falsafah ini juga secara tidak langsung menuntut manusia untuk hidup berlandaskan kehendak sendiri dengan menepis apa-apa tanggapan, jangkaan dan harapan masyarakat terhadapnya kerana individu itu sendiri yang berhak menentukan arah hidupnya.

Ridhwan Saidi mahu pembaca berfikir bagaimana jika sebuah objek mampu berfikir dan mempunyai hendak akan berkelakuan? Apakah mereka akan melakukan apa yang manusia buat setiap hari dan melakukan kesilapan sepertimana si salib telah berdiri di kubah masjid? Selain itu, cerpen ini juga bertanya kepada pembaca, apa tujuan sebenar lambang salib? Apa itu salib? Apakah makna sebuah simbol? Sejauh manakah simbol memberi makna dalam kehidupan dan apakah benar idea manusia terhadap simbol? Apakah simbol mampu merosakkan iman seseorang sedangkan ia kaku tidak berbuat apa-apa?

Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh pembaca dan pastinya setiap orang mempunyai jawapan berbeza namun pokoknya ialah makna simbol dalam kehidupan manusia. Sebuah simbol mempersoalkan tujuan hidupnya, bukankah ironi?

 

Parodi eksistensial

Sebagai seorang penganut agama samawi atau lebih khusus Islam, saya melihat perbuatan penulis memparodikan isu salib ini sebagai suatu yang menarik kerana hal seserius ini tidak selalu diambil pendekatan secara humor. Ridhwan dalam cerpen ini pada permukaan tidak menghukum orang Islam, penganut Kristian, masjid atau gereja mahupun orang-orang yang berkuasa dan terlibat tetapi sebaliknya dia menghumbankan salib itu ke neraka, sesuatu yang mungkin disorak ekstremis Islam. Mereka mungkin memuji penulis kerana bersependapat dengan mereka tetapi jika difahami lebih mendalam, Ridhwan sedang menyindir mereka.

Sebagaimana kelakar cerpen ini, begitulah tidak masuk akal sebuah lambang salib di hadapan gereja diturunkan hanya kerana majoriti penduduk sekelilingnya beragama Islam. Salib tersebut tidak didirikan di khutbah, di hadapan kuil tau di atas tokong, tetapi di gereja. Namun, hanya kerana sesetengah individu berasa terancam dengan simbol tersebut, maka dia dan beberapa orang lain direkrut dan melakukan protes di hadapan gereja tersebut. Ia sesuatu yang kelakar dan tidak masuk akal, namun itulah yang Ridhwan cuba beritahu pandangannya terhadap kejadian tersebut.

Persembahan isu oleh Ridhwan Saidi sangat sarkastik dan komikal, menyantuni pembaca secara santai namun berisi keras. Ridhwan Saidi tidak perlu menulis secara ilmiah melalui kertas kerja untuk diterbitkan di jurnal, artikel mahupun rencana untuk membincangkan masalah yang ingin disampaikan, hanya dengan cerpen humor dia mampu membuat pembaca sedar dan berfikir logik di sebaliknya. Saya tidak terkejut jika ada pembaca melabelnya sebagai penganut liberal hanya kerana perbezaan pendapat ini.

Jadi, bagi saya, saya bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Ridhwan Saidi – ia sebuah kegilaan. Keobsesan terhadap simbol dan kegilaan beragama. Individu yang hanya berjalan atas jalan agama tanpa mempeduli tuhan sebagai tujuan adalah penganut tanpa spiritualiti. Dia beribadat dengan tekun, berceramah dengan lantang namun tidak mempunyai nilai spiritual dalam diri, tidak berasa kewujudan Tuhan lantas apa-apa yang berlaku luar dirinya dilihat memberi cabaran dan ancaman kerana jiwanya tidak terisi. Memetik Haidar Bagir (2016), agama tanpa spiritual tidak ada apa-apa melainkan simbol tanpa makna dan hal ini saya kira masalah manusia moden yang sentiasa melihat ke arah luar diri berbanding mengisinya dan mencari kebenaran.

Kejadian ini mengingatkan saya pada ketokohan arwah Nik Aziz semasa memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau bukan saja disegani rakyat dan penyokong namun juga dihormati oleh ahli politik lain seteru. Namanya tidak asing lagi dengan parti PAS dan nilai Islam yang diperjuang melalui kancah politik. Jerome Fernandez (2015) menulis tentang pengalamannya menguruskan gereja dengan bantuan Nik Aziz. Suatu hari, gereja kecil berdekatan Pejabat Menteri Besar menurunkan salib kerana dilanda ribut dan juga mengalami kerosakan lain seperti kebocoran bumbung. Menyedari ketiadaan salib tersebut, Pejabat Menteri Besar Kelantan terus menghubungi pihak gereja, Church of Our Lady Of Fatima Of The Holy Roasry untuk mengetahui adakah ia akibat perbuatan vandalisme. Nik Aziz kemudian meminta pihak gereja menghantar bil kos pembaikan ke pejabatnya untuk diselesaikan kerana ia salah satu tanggungjawabnya sebagai seorang menteri besar. Menarik sekali, arwah Nik Aziz dalam artikel tersebut menjangka ia mungkin angkara vandalisme atau desakan penyokong PAS sendiri. Ini menunjukkan sentimen ini telah wujud sekian lama dalam kalangan orang Islam terutamanya ekstremis. Dia menggunakan kuasanya sebagai menteri besar untuk berkhidmat, memberi contoh dan tauladan yang baik pada rakyat dan pemimpin lain namun jika beliau masih hidup, pasti kecewa dengan keadaan masih tidak berubah dalam kalangan orang Islam sekarang. Hubungannya dengan masyarakat bukan Islam sentiasa menjadi cerita indah yang jarang sekali kita lihat pada tokoh politik hari ini yang sentiasa menjadikan agama dan bangsa sebagai modal meraih kuasa.

Dari segi gaya bahasa, penulis menggunakan gaya bahasa pasar dan santai, tidak berbunga-bunga seperti dalam kabanyakan novel yang menggunakan bahasa Melayu tinggi. Beliau juga menggunakan second person perspective dengan menggunakan kata nama ‘kau’ lantas menjadikan pembaca sebagai watak utama iaitu salib tersebut. Ini membuatkan pembaca berasa lebih dekat dengan cerita dan terkait dengan kejadian-kejadian yang dihadapinya.

 

Kesimpulan

            Tuntasnya, cerpen ini dengan nada santai dan berjenaka berjaya menyindir segelintir pihak yang mudah melatah dengan simbol dan lambang atau sekurang-kurangnya jika tidak berjaya pun, mampu memparodikan situasi yang serius yang melibatkan hubungan antara penganut agama. Di Malaysia terutamanya sekarang yang mudah berlakunya ketegangan kaum dan antara penganut agama, cerpen ini boleh menghiburkan semua pihak, jika mereka berfikiran waras dan tidak ber-IQ rendah. Secara peribadi ia sebuah cerpen menari dan digemari saya, daya imaginasi dan gaya persembahan oleh Ridhwan Saidi membuatkan saya tertawa kecil tapi pada masa yang sama merenung masa depan Malaysia setelah tamat membaca.

            Jika cerpen ini dibaca pada sepuluh atau dua puluh tahun akan datang pun, ia masih relevan atau jika tidak, jika benar semua rakyat sudah mampu bertoleransi dan memahami agama dengan betul, ia masih kekal sebagai karya yang mampu menggerakkan minda pembaca untuk memahami manusia lain dengan dimensi baru.

 

(2860 patah perkataan)

Rujukan

Ahmad Soffian (2015, April 21). Mengapa Kita Takut Dengan Salib? Nasionalis. https://www.nasionalis.my/mengapa-kita-takut-dengan-salib/

Burhanuddin Jalal (2018, December 15). Kepelbagaian agama, budaya perlu dihormati. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/12/509258/kepelbagaian-agama-budaya-perlu-dihormati

Fairul Asmaini (2019, January 17). Jangan sensasikan isu salib, serah kepada kerajaan Pulau Pinang selesaikan. Berita Harianhttps://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/520906/jangan-sensasikan-isu-salib-serah-kepada-kerajaan-pulau-pinang

Faiz Fadzil (2020, July 1). Adakah kempen BMF dibawa PAS sudah hilang bisa? Malaysiakinihttps://www.malaysiakini.com/news/532559

Haidar Bagir. (2019, January 29). Tentang agama dan spiritualitas. Mizan. https://www.mizan.com/tentang-agama-dan-spiritualitas/

Haider Yutim. (2015, July 20). Abang KPN nafi ketuai bantahan gereja Taman Medan. Astro Awanihttps://www.astroawani.com/berita-malaysia/abang-kpn-nafi-ketuai-bantahan-gereja-taman-medan-58289

Jerome Fernandez (2015, March 20). The Tok guru I knew. Herald Malaysia Online. https://www.heraldmalaysia.com/news/the-tok-guru-i-knew/22902/5

Mohd Izani Mohd Zain (2015, May 1). Mengharmonikan polarisasi agama, politik. Berita Harianhttps://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/05/50966/mengharmonikan-polarisasi-agama-politik

Norazwa Yeop Kamarudin (2013). Pengaruh kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual ke atas salah laku remaja sekolah [Master's thesis]. http://eprints.utm.my/id/eprint/41943/5/NorazwaYeopKamarudinMFP2013.pdf

Sartre, J. (1946). L'existentialisme est un humanisme (M. Philip, & C. Macomber, Trans.). Les Editions Nagel.

Wolfreys, J., Robbins, R., & Womack, K. (2006). Key concepts in literary theory (2nd ed.). Edinburgh University Press.

Zamir Mohyedin. (2019, September 10). Bagaimana Hitler bangkit berkuasa? The Patriots. https://www.thepatriots.asia/bagaimana-hitler-bangkit-berkuasa/ 

x

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Patriarki dalam Bapak Mati Bunuh Diri (2021) (Esei) (1 Mei 2021)

Pengenalan Patriarki yang dipinjam daripada bahasa Inggeris ‘patriarchy’ berasal daripada perkataan Yunani iaitu patér yang bermaksud bapa dan arché yang merujuk pada ‘tua’, ‘awal’, ‘kuasa’ atau juga ‘aturan’. Sistem sosial patriarki merujuk kepada sistem yang meletakkan lelaki sebagai ketua, yang terkehadapan dan yang memegang tampuk kuasa pada hierarki paling tinggi. Patriarki juga sering dikaitkan dengan dominasi kaum lelaki dalam sesebuah organisasi dan penindasan terhadap kaum perempuan. Dalam sesebuah institusi masyarakat yang mengamalkan patriarki, si ayah atau suami secara veto berkuasa dan bertanggungjawab  sepenuhnya terhadap setiap anggota keluarganya dari semua segi termasuk kewangan, sosial, pendidikan dan lain-lain. Si isteri atau ibu tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju keluarga mahu pun membuat keputusan untuk institusi tersebut. Cerpen Bapak Mati Bunuh Diri (2021) ditulis oleh Nur Adilla dan disiarkan dalam majalah Svara isu ke-5 (Januari – Mac 2021)...

July 2022 - What Happened In My 25th

I feel like I’m stuck between the past and the future but I’m not in the present. I don’t have any goals anymore, don’t talk to me about hope and ambitions. I was born an idealist. Between the past and the future, I enjoy reminiscing. Because in the past, things happened but in future, nothing ever happened. Now I just live day to day. Picturing the sins and uncomfortable moments every evening.   I’m a late bloomer. Laggies.  I used to pray to die young, to wake up next day somewhere, or beside God right away. But I was innocent at that time. Now I am no longer naive. So I pray my sins forgiven before I leave this place. Every day I grow up getting more scared than ever. Commitments, human interaction, possibilities, risks, past mistakes. All this while every one keeps moving forward, braver then ever. To quote Tyler Durden, “Losing all hope was freedom”. It’s not rhetoric, it’s true. Just like love, it requires courage too, to give everything up, to not give a fuck anymore an...

Koronagig (Cerpen) (17 Mei 2021)

Aku terus menatal halaman iCloud di skrin iMac. Tujuan asalnya aku mahu memuat naik beberapa gambar daripada storan komputer ke pelayan iCloud tapi aku sedar halaman Photos iCloud rupanya panjang. Sudah 10 tahun aku melanggan servis iCloud, jadi semua gambar dari iPhone, iPad dan iMac aku semuanya ada di sini. Gambar-gambar sewaktu di kolej, asrama sekolah menengah dan hari raya buat aku rindu masa muda. Ah, semua pahit jadi manis bila ia tidak lagi berlaku sekarang – nostalgia. Aku klik di Notes untuk lihat tulisan dan catatan dulu-dulu. Apakah sama nostalgianya dengan foto?           Dengan pantas aku terus klik scroll bar dan terus larikan ke nota paling awal ditulis. Tiga minit juga aku tunggu ia loading , scroll , loading , scroll dan terus loading sampailah ia tidak loading lagi. Ah, ini nota pertama aku! Walaupun bukanlah yang pertama kerana sebelumnya tidak dimuat naik ke iCloud, tapi jadilah! Ia hanya catatan mengandungi beberapa...

Kelas Sebalik Talian

  Bulan Mac lepas menyaksikan para pelajar institut pengajian tinggi (IPT) memasuki semester baru, menandakan sudah setahun kelas dalam talian dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Tenaga pengajar dan pelajar yang sebelum ini tidak pernah menggunakan Google Meet, Zoom, Webex sudah agak mahir dengan platform di atas. Kekalutan dan huru-hara yang dialami sebelum ini mungkin dapat dikurangkan dan kerjasama antara pelajar serta pensyarah seharusnya lebih baik. Setelah berbulan-bulan kedua-dua pihak IPT dan pelajar mengharungi fasa baru ini, pelbagai masalah yang telah berakar dalam masyarakat kita timbul dengan drastik dan jelas, bagai sabut di dasar sungai yang akhirnya terlepas dari batu besar. Tahap capaian internet adalah antara masalah terbesar mereka hadapi baik daripada pihak pelajar mahupun pensyarah yang terpaksa ulang-alik ke kampus sewaktu PKP semata-mata mendapatkan capaian internet yang lebih baik. Dalam hal ini, pelbagai mediu...

Inphluenza (Cerpen) (31 Julai 2021)

  Sebuah kereta Proton Saga berwarna perak dengan cermin lut sinar sedang menunggu Aini. Seorang wanita berusia 60-an bersama gadis 20-an datang memeluk Aini erat. Mata Aini mula menakung air dan dia cuba mengawal serak suara. “Ehem... jom, kita sambung kat rumah! Lama sangat ni tak jejak kaki kat rumah. Jom!” Ibu Aini mengelap air mata dan masuk semula ke dalam perut kereta. Di dalam kereta mereka berbual rancak tentang perubahan jalan dan pembinaan bangunan-bangunan baru yang dilihat sepanjang dalam perjalanan pulang. Tingkap dibuka dan Aini menghalakan wajahnya ke luar membiarkannya ditampar angin. Sudah 5 tahun dia tidak merasakan nikmat menjejakkan kaki dari luar kotak bangunan bernama penjara.             Adiknya, Alia kini di tahun ketiga di salah sebuah universiti swasta di Bangi dalam bidang pengkomputeran. Sejak Aini di penjara, jiran-jiran mula menjauhkan diri daripada keluarganya. Selepas 2 minggu di rumah, Aini...

Bersosial di Media Sosial dalam Pandemik (Esei) (8 Jun 2021)

  Our World in Data (2019) melaporkan secara purata satu daripada tiga orang mempunyai akaun media sosial. Ketika itu, Facebook selaku pemegang ‘saham’ terbesar dalam arena media sosial telah mempunyai 2.4 bilion pengguna berbanding 100 juta pada 2008. Amanz (2020) melaporkan jumlah tersebut telah meningkat sehingga 2.7 bilion pengguna. Beberapa hari lalu, Nagarajan (2021) melaporkan syarikat Facebook Inc. telah menjangkaui nilai 1 trilion USD selepas mahkamah melepaskan syarikat tersebut daripada dikenakan tindakan di bawah undang-undang antimonopoli. Ini menjadikannya syarikat kelima Amerika Syarikat yang mencapai nilai 1 trilion, sebaris Microsoft, Alphabet (syarikat induk Google), Amazon dan Apple.           Kejayaan Facebook ialah bukti betapa besar kesan media sosial pada seluruh masyarakat dunia. Dengan media sosial, ia telah mengubah cara manusia berkomunikasi seperti bagaimana mereka berkongsi berita, meluahkan perasaan, menja...

Bangsaku Dipecah-pecah Vaksin

Kalau dulu Sasterawan Negara, Zurinah Hassan dalam puisinya Masihkah Kau Bermain Seruling berkata,   di kota yang semakin kusut dan tenat adik-adikku menganggur dan sakit jiwa bangsaku dipecahkan oleh politik   Hari ini, anak muda masih saja menganggur bahkan bertambah-tambah bilangannya, semakin ramai yang sakit jiwa di kota yang tak pernah henti kusut dan menenat. Ada waktu kita semua disatukan politik, menentang semua menteri dan ahli politik. Tapi vaksin yang mencegah penyakit, siapa sangka, juga memecahkan kita. Setakat artikel ini ditulis, sudah 1.15 bilion dos vaksin telah dikeluarkan dengan jumlah 276 juta telah disuntik di seluruh dunia. Dalam bahasa dan statistik mudah,  3.5 %  daripada seluruh penduduk dunia  telah dikurangkan risiko mereka untuk dijangkiti koronavirus. Di Malaysia, sebanyak 1.45 juta dos daripada pelbagai syarikat pengeluar vaksin telah mendarat di tanah air dengan 914 ribu telah divaksinasi. Ringkasnya,  1.7% daripada keseluruh...

Seni v Pornografi: Mendepani yang Kabur (Esei) (8 Julai 2020)

  SENI v PORNOGRAFI: MENDEPANI YANG KABUR   A MINUDDIN Z AIN Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA, MALAYSIA     ABSTRAK Seni mengikut teori yang dikemukakan Plato dan Aristotle adalah hasil aktiviti peniruan. Dalam seni, lukisan dan arca terutamanya, karya seni yang melibatkan sosok tubuh bogel manusia juga telah wujud sekian lamanya semenjak zaman kegemilangan Tamadun Yunani. Lukisan terkenal seperti Venus of Orbino oleh Titian juga menunjukkan wanita tanpa pakaian dan arca Discobolus di zaman Yunani menampakkan lelaki dengan tubuh sasa dan ideal dalam keadaan berbogel. Memasuki abad ke-20, wujud satu lagi kategori yang telah disebar dalam pelbagai cabang seni iaitu pornografi. Pornografi ini wujud dalam tulisan, media baru seperti gambar dan video. Wujud permasalahan baru iaitu bagaimana mahu membezakan antara dua kategori ini, apakah pornografi sebahagian daripada seni atau sebaliknya? Artikel ini menghuraikan lebih lanjut gar...

Kluster Nyet (Cerpen) (21 Januari 2021)

                 “Sepuluh boleh bang?” tanya pelanggan remaja pada aku. Jam menunjukkan pukul 8:43 pm. Aku dan Hanif hanya menunggu ketiadaan pelanggan untuk mengemas barang-barang ke dalam van dan pulang. “Hm… bolehlah” balasku. Tidak apalah untung tak banyak hari ini, asalkan ada jualan, daripada tidak peroleh apa-apa langsung. Aku lipat dan masukkan dalam plastik. Wang bertukar tangan. Selepas 5 minit tiada kelibat pelanggan datang, aku dan Hanif mula masukkan pakaian-pakaian ke dalam bungkusan dan peralatan lain ke dalam van. Aku hidupkan enjin van berkali-kali namun tidak hidup-hidup. Ah sudah, waktu-waktu begini jugalah dia nak buat hal. Hanya pada cubaan kesebelas baru aku berjaya, lampu van menerangi tapak pasar malam. Aku sampai di rumah dan bau sup menusuk ke hidung. Isteriku buatkan kuetiau sup malam ini, aku jamah dengan berselera. Perutnya semakin jelas menunjukkan dia sedang hamil walaupun baru hampir 3 bulan. Kami te...