Pengenalan
Patriarki
yang dipinjam daripada bahasa Inggeris ‘patriarchy’ berasal daripada perkataan
Yunani iaitu patér yang bermaksud bapa dan arché yang merujuk
pada ‘tua’, ‘awal’, ‘kuasa’ atau juga ‘aturan’. Sistem sosial patriarki merujuk
kepada sistem yang meletakkan lelaki sebagai ketua, yang terkehadapan dan yang
memegang tampuk kuasa pada hierarki paling tinggi. Patriarki juga sering
dikaitkan dengan dominasi kaum lelaki dalam sesebuah organisasi dan penindasan
terhadap kaum perempuan. Dalam sesebuah institusi masyarakat yang mengamalkan
patriarki, si ayah atau suami secara veto berkuasa dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap anggota keluarganya
dari semua segi termasuk kewangan, sosial, pendidikan dan lain-lain. Si isteri
atau ibu tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju keluarga mahu pun
membuat keputusan untuk institusi tersebut.
Cerpen
Bapak Mati Bunuh Diri (2021) ditulis oleh Nur Adilla dan disiarkan dalam
majalah Svara isu ke-5 (Januari – Mac 2021). Svara ialah majalah jurnal dalam
bahasa Melayu yang diterbitkan berkala setiap 3 bulan bermula hujung 2019. Ia
memuatkan cerpen, puisi, esei, ulasan filem atau buku serta catatan-catatan
berbentuk perkongsian dalam nada bahasa yang tidak terlalu santai namun tidak
juga terlalu tinggi. Cerpen yang memenuhi 3 muka surat pertama majalah Svara ini menceritakan
tentang seorang anak perempuan yang kini sudah dewasa dan pekerja pulang ke
kampung untuk pengebumian ayahnya. Sebelum sampai ke kampung, kisah-kisah gelap
keluarganya disampaikan melalui flashback dan keluhan hati protaganis.
Dalam keluarganya ada empat beranak iaitu bapa, ibu, dia si protaganis sebagai
anak sulung dan adiknya yang juga perempuan. Dia kini yang bekerja sebagai
doktor di sebuah hospital kerajaan sudah berkahwin dengan seorang warga
Indonesia yang sudah lama berada dalam lingkungan keluarganya, bahkan bapanya
juga sering menggunakan khidmat suaminya semasa mereka tinggal di kampung.
Membunuh Bapak, membunuh patriarki
Patriarki tidak hanya
wujud di Malaysia atau alam Melayu saja tapi sejak beratus tahun dulu telah
diamalkan di seluruh dunia sama ada di Barat mahu pun Timur. Seperti yang
dihurai oleh Gerth et al., (1946), Max Meber mendefinisikan patriarki sebagai
sebuah sistem pemerintahan dengan kaum lelaki mengatur dan mengendalikan
masyarakat melalui kedudukan mereka sebagai ketua kepada rumah tangga. Secara
ringkas, patriarki adalah sistem sosial yang memberikan golongan lelaki kuasa
atas wanita dalam kebanyakan sudut terutamanya perihal reproduksi dan
seksualiti (Walby, 1990).
Patriarki
meletakkan lelaki pada kedudukan tertinggi dalam hierarki, paling tidak pun,
lebih tinggi berbandin wanita. Patriarki, peranan gender dan seksualiti antara
topik yang sering dibincang dalam dikaitkan dan dibincang dalam diskusi yang
sama. Gender berkait rapat dengan pembahagian peranan dan kedudukan di antara
golongan lelaki dengan wanita dalam sesebuah masyarakat yang terhasil daripada proses
sosialisasi dan budaya (Suhadan & Salmah, 2016). Kedudukan gender dalam
sesebuah sistem sosial selain diturunkan melalui adat, ia juga tidak dapat lari
daripada dipengaruhi oleh ideologi agama. Pun begitu, bagi Rahimah (2015)
selain adat dan agama, perkembangan modernisasi dunia hari ini turut menyumbang
pada pembentukan kedudukan gender dalam masyarakat. Namun, Mohd Anuar (2004)
memberi pandangan dari sisi lain dengan mengatakan bahawa persepsi gender dalam
sesebuah masyarakat adalah berbeza dengan masyarakat yang lain kerana faktor
seperti adat setempat dan agama.
Bagi Ruzy Suliza
Hashim (2006), istilah gender merujuk kepada cara-cara lelaki dan wanita dalam
memenuhi sifat-sifat kelelakian (maskulin) dan kewanitaan (feminin) menurut
tuntutan masyarakat dan kepercayaan, manakala seksualiti pula merujuk kepada
identiti dan perlakuan seksual yang juga terikat kepada norma tempatan.
Dua ayat pertama
dalam cerpen, “Bapak akhirnya mati. Bunuh diri” sangat dramatik dan
mengejutkan. Tidak ada sebarang pengenalan atau pembangunan naratif dibikin,
penulis terus menarik perhatian dengan kenyataan yang begitu ekstrem sifatnya.
Kemudian watak utama yang tidak diberi nama ini dipaparkan bahawa berasa lega
kerana tidak perlu berpura-pura dan bersembunyi melakukan apa yang dia mahu.
“Ah, akhirnya, aku sudah
tidak perlu merasa bersalah atas apa-apa lagi. Sudah tidak perlu bersembunyi
lagi”
Perasaan yang pertama
datang padanya adalah lega seperti terlepas dari beban besar sedangkan bapa
kandungnya mati bunuh diri. Ekspresi ini sangat ganjil jika berlaku dalam dunia
nyata. Perlahan-lahan penulis menarik pembaca dengan kecurigaan.
Antara ayat-ayat lain
yang mewajahkan patriarki dalam suasana digambarkan dalam cerpen ini;
“Bapak lelaki yang tetap
menang, Dur.”
“Bapak ialah lelaki yang
selalu diberi hak untuk mendapat segala yang ia mahu termasuk ketika ia mati.”
Watak utama mengucapkan
ini dengan niat menyampaikan kepada adik perempuannya kerana wasiat bapanya
ialah untuk dikebumikan oleh anak-anak lelaki atau ahli keluarganya (dia cuma
mempunyai seorang menantu lelaki). Ternyata, wasiat untuk dipenuhi juga apabila
penduduk kampung lain diminta keluar dari liang lahad apabila imam sampai ke
perkuburan,
“Sudah-sudah. Biarkan sahaja!
Kita hormati wasiat arwah! Ini wasiat arwah.”
Orang kampung sebelum itu membantah apabila
melihat watak utama memegang cangkul di liang lahad. Kata mereka perbuatan itu
tidak menghormati jenazah.
“Perempuan tak boleh di
tubir kubur begini, Pak Imam! Tak hormat pada arwah!”
Setelah menjadi jenazah
sekali pun, orang kampung masih menjunjung tinggi dan meletakkan diri mereka,
perempuan, anak-anak kepada si jenazah lebih rendah sehingga tidak boleh berada
di tubir kubur. Tindakan orang kampung yang membantah tersebut terbentuk oleh
sistem patriarki yang mana hanya orang lelaki sahaja dibenarkan mengebumikan
jenazah tidak kira jenazah tersebut lelaki atau perempuan. Antara pantang
larang lain juga adalah kaum wanita tidak digalakkan masuk ke dalam kawasan
kubur sedangkan terdapat banyak perbezaan pendapat dalam Islam. Imam Hanafi
sebagai contoh berpendapat bahawa sunat hukumnya bagi wanita menziarahi kubur,
berbeza dengan ulama lain yang terpecah kepada haram dan makruh (Muhammad
Mushfique, 2018).
Patriarki juga
dalam dunia sebenar sering mengendahkan suara-suara marginal seperti yang
datang daripada kaum wanita. Ini selari dengan pendapat oleh Arati & Hayden
(2001) yang menyebut bahawa penguasaan lelaki dalam mengkonseptualisasikan idea
tentang hak meninggalkan orang yang tertindas dan terpinggir tanpa suara. Antara
gambaran kesan patriarki yang lain dalam cerpen ini adalah ibunya sering
‘dibisukan’ sebagai contoh sejak permulaan cerpen, si watak utama sering
bermonolog,
“Apakah ibu masih pura-pura
tak tahu?”.
Kemudian di pertengahan,
“Ibu kulihat seperti mahu
meracik kata-kata bapak, tetapi yang keluar dari mulut ibu hanya angin dan
kebungkaman.”
Selain itu, di tengah
cerpen juga sekali lagi,
“Ibu, kau boleh dengar
suaraku? Apa ibu memang mahu memilih untuk terus bisu? Ibu pernah bilang –
bagaimana dapat dia kotakan kata-kata jika dia sendiri tidak tak pernah
mendengar suaranya?”
“Aku tahu ibu akan membalas
segala kata-kata nista dengan air mata yang tak berkesudahan dan doa-doanya
yang panjang pada Tuhan.”
Di akhir cerpen, sekali
lagi dia bermonolog,
“Ibu yang begitu aman
perasaannya tadi, kulihat hanya menangis tersedu-sedu dan dari jauh, membuka
mulutnya dan cuba berkata sesuatu tetapi ibu, seperti selalu, tidak ada suara
macam yang kudengar dalam mimpiku.”
Pengulangan ini
memberi isyarat bahawa suara wanita, seperti ibunya, seringkali didiamkan,
dibungkam dan kalau didengarkan pendapat dan luahannya pada khalayak sekali pun
pasti diabaikan. Si watak utama pula sering tertanya-tanya mengapa ibunya tidak
bersuara, sama ada di alam nyata mahupun dalam mimpinya. Dia juga turut
menyatakan bahawa ibunya naif, sering melayannya seperti anak kecil-kecil
dengan mengulang-ulang kenyataan yang sudah difahami. Hal ini kerana dalam
keluarganya apa-apa keputusan hanya diletakkan pada tangan bapanya dan ibunya
sekadar di sisi mengerjakan hal dapur dan membantu.
Sistem sosial
masyarakat Melayu sangat terikat dengan nilai dan norma Islam sehinggakan adat
yang diwarisi beratus tahun sekali pun banyak diubah-ubah mengikut kesesuaian
Islam (Mohd. Koharuddin, 2005). Pun begitu, masih ada juga yang tidak memahami
benar nilai yang dibawa Islam sehingga mengamalkan adat atau hukum yang salah
dan bertentangan dengan ciri keterbukaan dalam Islam sehingga wujud dua
golongan iaitu yang benar faham dan menghayati Islam dan satu lagi yang gagal melihat
perbezaan nilai Islam dan bawaan adat (Anisah Ab. Ghani & Saadan Man, 2006).
Dalam cerpen ini, berkenaan urusan perkahwinan sekali pun, bapanya tetap
memegang kuasa untuk menerima, menolak sesiapa sahaja yang dia kenalkan pada keluarga.
Bapanya juga berkuasa mencari dan menetapkan dengan siapa dia berkahwin. Di
pertengahan cerpen diceritakan bahawa dia pernah membawa kekasihnya, Adam Lee,
seorang Cina mualaf pulang ke kampung namun di hadapan Adam Lee bapanya menolak
mentah-mentah dengan berkata,
“Aku sudah bilang, agama
Islam pun, Cina tak boleh, sebab tentu pernah makan babi. Kalau India pun
jangan, sebab mesti tidak makan daging. Melayu Pattani pun aku tak mahu, sebab
kesetiaannya bukan pada isteri tetapi pada perjuangan pembebasan Pattani, kalau
Jawa lagilah...”
Dia menjelaskan lagi
bahawa bapanya kemudian bersungguh-sungguh mencarikannya jodoh kerana apabila
bapanya mati nanti, dia mahu jenazahnya disambut ahli keluarga sendiri iaitu
anak-anak lelakinya yang tidak pernah ada maka sekurang-kurangnya menantu
lelaki pun cukup baik baginya. Begitu kuat patriarki dalam diri bapanya
sehinggakan selepas mati pun mahu jenazahnya disambut lelaki. Di sini Rahimah
Hamdan (2015) berpendapat bahawa lelaki menyalahgunakan kelebihan membuat
keputusan untuk tanggungannya menyebabkan wanita terus terjerut oleh perasaan
apabila tidak wujud keadilan yang dilaung-laungkan. Kenyataan Rahimah Hamdan
(2015) ini juga terpakai apabila bapanya menggunakan kuasa yang ada untuk
merogol anak-anak sendiri dengan ibu mereka tidak mampu melawan apatah lagi
bersuara membantah.
Antara insiden lain memaparkan patriarki dalam cerpen ini
adalah apabila bapanya mempergunakan Hernanto, yang kini suami si watak utama,
untuk membuat kerja-kerja pertukangan, pembersihan, perkebunan dan lain-lain
dengan percuma dek kerana Hernanto tidak pernah melawan. Si watak utama, ibu,
adik dan penduduk kampung lain juga tidak mampu menegah bapanya walaupun si
watak utama sendiri membenci perbuatan bapanya itu. Hernanto menebas pokok, mengecat
tandas, membersih kipas, mengelap tingkap dan turut membantu dalam projek
meluaskan ruang solat wanita di surau kampung mereka. Walaupun Hernanto sendiri
lelaki, tetapi dia tetap setia menurut bapa yang memegang kedudukan tertinggi
dalam keluarga si watak utama. Ini menjadi bukti kata-kata Woodman (1993)
bahawa patriarki bukan sahaja memberi kesan pada wanita tetapi kesan yang sama
mendalam juga terhadap kaum lelaki.
Antara bukti lain patriarki dalam Bapak Mati Banuh
Diri (2021) ialah penduduk kampung yang menyalahkan watak utama dengan
menuduh dia menggoda bapanya dan melacurkan diri. Kejadian tersebut berlaku
apabila dia sedang tidur di dalam bilik setelah penat memandu pulang ke
kampung. Tiba-tiba dia berasa seperti ada susuk berhampirannya, angin seperti
lebih sejuk, lalu tangannya yang cuba mencapai selimut tersentuh wajah
seseorang yang berjambang. Dia sedar susuk itu berjambang itulah adalah
bapanya. Terjaga dari tidur kerana terkejut ada wajah berkumis atas tubuhnya,
seorang budak menjerit,
“Tak malu, tak malu!”
Dia dapati dirinya tidak berbaju
dan budak tadi berlari ke tengah khalayak dan menjerit lagi,
“Tak malu! Tak malu! dah
besar pun bapak dia kena pakaikan baju!”
Dengan berselimut, dia
menangis,
“Bukan saya! Bukan saya!
Seperti pada Durrah, ibu! Seperti Durrah!”
Namun semenjak peristiwa
tersebut, penduduk kampung terus menerus memandang serong dan mengandai
pelbagai perkara lain dengan mengatakan dia seorang jalan dan gila kerana
sanggup menggoda bapa sendiri. Mereka sedikit pun tidak membicara apatah lagi
menyalahkan bapanya kerana menganggap bapanya tidak mungkin akan melakukan
perkara sedemikian sehingga bapanya meninggal dunia.
Disebabkan orang Melayu dengan agama Islam sangat rapat,
digambarkan juga di sini tentang bapanya yang menyuruhnya memakai tudung dan
apabila bapanya mati, dia kini boleh menjadi diri sendiri.
“Bapak sudah tidak ada lagi
untuk mensyarahiku tentang kerudung. Aku sudah boleh menjadi diri sendiri.
Akhirnya, aku boleh menoktahkan permainan sembunyi-sembunyi”
Situasi ini begitu mirip
sekali dengan apa yang berlaku di ruang realiti masyarakat moden, bahawa lelaki
yang sering mensyarahkan perempuan tentang aurat sebenarnya dalam diam seorang
yang pervert. Mereka sering menegur dan memerli wanita yang tidak
menutup aurat dengan sempurna secara terbuka namun di sebaliknya gila seks, mengganggu
dan meminta-minta gambar tidak bertudung daripada wanita lain serta tidak
kurang juga ada yang melakukan gangguan seksual. Ia adalah ironi namun hal ini
terjadi dalam dunia sebenar. Bapanya yang mensyarahkannya tentang tudung cuba
merogolnya di tengah-tengah kesibukan penduduk kampung menyiapkan persiapan
kenduri.
Antara ayat-ayat yang
secara halus menawarkan patriarki ialah,
“Daripada babak, kufahami
bahawa lelaki Melayu kalau tidak ketagih rokok, pelacur, judi, bola sepak atau
tubuh perempuan, ketagihan lainnya adalah menyusahkan orang”
Bagaimana dia mempunyai
stereotaip terhadap lelaki berbangsa Melayu menunjukkan bahawa kritikalnya
patriarki memberi kesan padanya sehingga seolah-olah semua lelaki berbangsa
Melayu pasti ada ketagihan yang sama, jika tidak semua. Yang jelas, salah satu
dalam senarai itu ialah wanita, atau disebut sebagai tubuh wanita,
menggambarkan lelaki Melayu yang menjadikan tubuh wanita sebagai objek seks (Ungku
Maimunah, 2012).
Di akhir cerpen, pembaca didedahkan bahawa bapanya mati
bunuh diri kerana dia dan adiknya sudah bersumpah dengan nama Allah untuk
memaafkan perbuatan bapa mereka jika bapa mereka membunuh diri. Ini mungkin
simbolik pada kematian patriarki dalam keluarganya – patriarki tidak boleh
dilawan, ia hanya boleh dibunuh oleh dirinya sendiri.
Kesemua contoh dalam
cerpen ini, seperti dibincang oleh Danielle Cusmano (2018), rape culture,
yang kini sensasi di seluruh media tempatan, berakar daripada sistem sosial patriarki
di mana mangsa iaitu perempuan akan dipertanggungjawabkan atas jenayah (rogol)
yang dikenakan atas mereka berbanding kesalahan diletakkan pada penjenayah
(lelaki). Wanita akan dipersalahkan atas pakaiannya dan pemangsa (perogol)
kemudian dilepaskan begitu sahaja maka kegagalan melindungi mangsa ini
kemudiannya mewujudkan sebuah budaya yang disebut sebagai rape culture.
Kesimpulan
Tuntasnya, cerpen Bapak
Mati Bunuh Diri (2021) ini membawakan tema penganiayaan terhadap wanita
akibat sistem patriarki dan nilai misoginis yang telah lama menunjang dalam
masyarakat sejak dahulu hingga sekarang. Masalah-masalah dan isu yang dibawa
seperti amang seksual dalam keluarga, rape culture yang tidak meletakkan
penjenayah ke muka pengadilan, lelaki yang juga menjadi mangsa patriarki dan
kebungkaman suara wanita adalah cerminan jelas pada keadaan masyarakat di
Malaysia waktu ini. Baru-baru ini juga isu jenaka seksual yang berlaku di
sekolah menjadi bualan hangat di media sosial terutamanya dengan rata-rata
wanita berkongsi pengalaman mereka diganggu secara seksual di sekolah oleh guru
sama ada lelaki mahupun wanita.
Patriarki dilihat seolah-olah membenarkan semua bentuk
gangguan seksual terhadap wanita apabila mendiam, mengabai dan dengan
masa yang tertentu, melupakan terus suara-suara teraniaya yang datang dari
mulut wanita. Oleh kerana patriarki memegang dan dipegang dengan erat oleh
kebanyakan individu dalam masyarakat tempatan, segala perbuatan terhadap wanita
dari sekecil-kecil pandangan sehingga ke sebesar-besar perbuatan sering
dianggap tidak penting. Lelaki diberi kuasa menentukan jodoh anak perempuan,
menentukan hala tuju pendidikan, mengahwinkan anak perempuan bawah pada
mana-mana lelaki yang disukainya, terlepas dari buah mulut masyarakat apabila
culas membayar nafkah, bebas dari cerita buruk masyarakat apabila berlaku
sesuatu penceraian dan lain-lain. Seperti yang dipetik oleh Siti Musdah Mulia
(2007), kedudukan dan peranan lelaki lebih dominan berbanding wanita
menyebabkan penyalahgunaan kuasa oleh golongan lelaki yang telah mewujudkan
budaya patriarki dalam sistem kemasyarakatan.
Kuasa yang terlalu besar yang diberi pada lelaki
seharusnya difikir-fikirkan, ditimbang dan disukat semula kerana setakat
ratusan tahun ini, banyak kecelakaan telah berlaku akibat daripada
ketidakmampuan sesetengah mereka yang digelar ‘pemimpin’ untuk memandu
masyarakat dan orang sekeliling ke arah yang lebih baik. Mereka menggunakan
kuasa yang ada untuk bebas menentukan keputusan yang salah dan melaksanakan
perbuatan yang menjejaskan orang lain terutamanya wanita.
(2248 patah perkataan)
Rujukan
Anisah
Ab. Ghani & Saadan Man. (2006). Nilai-nilai adat dan budaya dalam amal
ibadat masyarakat Melayu. Hukum Islam & Budaya Tempatan.
159-185.
Arati
Kumar-Rao, & Hayden, P. (2001). Philosophy of human rights: Readings in context.
Paragon House.
Danielle
Cusmano. (2018). Rape culture rooted in patriarchy, media portrayal,
and victim blaming [Tesis sarjana, Sacred Heart University]. https://digitalcommons.sacredheart.edu/wac_prize/30/
Gerth,
H. H., & Wrigth, C. W. (1946). From Max Weber: Essays in sociology.
https://doi.org/10.4324/9780203759240
Mohd
Anuar Ramli. (2004). Konsep Melayu mengenai hubungan gender. Jurnal Yadim,
141-153.
Mohd.
Koharuddin Mohd. Balwi. (2005). Peradaban Melayu. Penerbit UTM
Muhammad
Mushbique. (2018, 15). Irsyad al-Hadith siri ke-257: Hadith-hadith
menziarahi kubur bagi wanita. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2346-irsyad-al-hadith-siri-ke-257-hadith-hadith-menziarahi-kubur-bagi-wanita
Rahimah Hamdan. (2015). The king who loves sex: the
functions of literature in traditional Malay poetry. International
Journal of Social Science and Humanity, 5(3), 291-298,
Ruzy
Suliza Hashim, (2006) Meniti duri dan ranjau: Pembikinan gender dan
seksualiti dalam konteks dunia Melayu. SARI: Jurnal Alam dan
Tamadun Melayu, 15-34
Siti
Musdah Mulia. (2007). Islam & inspirasi kesetaraan gender.
Kibar Press.
Suhadan
Anwar, & Salmah Jan Noor Muhammad. (2016). Perhubungan gender dalam
masyarakat tradisional berdasarkan hikayat Patani. Journal of Business
and Social Development, 4(2), 25-47.
Ungku
Maimunah Mohd. Tahir. (2012). Wanita sebagai objek seks: Penanganannya dalam
novel Bila Hujan Malam. GEMA Online Journal of Language Studies, 12(2),
539-553.
Woodman,
M. (1993). Conscious femininity: Interviews with Marion Woodman.
Ulasan
Catat Ulasan