Aku
terus menatal halaman iCloud di skrin iMac. Tujuan asalnya aku mahu memuat naik
beberapa gambar daripada storan komputer ke pelayan iCloud tapi aku sedar
halaman Photos iCloud rupanya panjang. Sudah 10 tahun aku melanggan servis
iCloud, jadi semua gambar dari iPhone, iPad dan iMac aku semuanya ada di sini.
Gambar-gambar sewaktu di kolej, asrama sekolah menengah dan hari raya buat aku
rindu masa muda. Ah, semua pahit jadi manis bila ia tidak lagi berlaku sekarang
– nostalgia. Aku klik di Notes untuk lihat tulisan dan catatan dulu-dulu.
Apakah sama nostalgianya dengan foto?
Dengan pantas aku terus klik scroll
bar dan terus larikan ke nota paling awal ditulis. Tiga minit juga aku
tunggu ia loading, scroll, loading, scroll dan
terus loading sampailah ia tidak loading lagi. Ah, ini nota pertama
aku! Walaupun bukanlah yang pertama kerana sebelumnya tidak dimuat naik ke
iCloud, tapi jadilah! Ia hanya catatan mengandungi beberapa patah perkataan.
Aku cuba menggembleng tenaga fikiran meneka apa sebenarnya disampaikan. Oh, ini
pasti idea yang aku dapat secara tiba-tiba dan tulis di Notes supaya dijadikan
bahan untuk apa-apa karya kreatif aku nanti. Aku scroll lagi ke atas. “Deodorant.
Serai. Berus gigi. Serbuk kunyit. Bateri jam” Ini senarai barang untuk dibeli,
aku senyum sendiri. Tarikhnya 12 Februari 2021, beberapa tahun selepas nota
pertama tadi. 2021, tahun yang... Aku tak tahu beri perkataan yang sesuai untuk
beri makna pada tahun ini. Mencabar? Malang? Menduga?
Aku terus scroll dan terhenti
pada suatu baris ayat. Aku klik pada baris ayat tersebut.
“Zul
bagitahu kami bos akan turun dari KL esok, mungkin sekali HQ. Muka dia muram,
tak seperti selalu. Ayat dia pun kali ni tak diselit sebarang jenaka bodoh
seperti selalu. Kami tanya Zul, paksa dia jawab ada apa sebenarnya. Apakah ada
kaitan dengan bos atau dia ada masalah peribadi? Dia tak mahu jawab. Cakap
badan dia tak sihat sikit hari ini. Kami iyakan saja. Aku ke tandas. Otw
balik, Zul panggil aku, masa tu aku baru saja keluar. Zul cakap jangan bagitahu
siapa-siapa, aku angguk. Aku dengan Zul dah berkawan sejak sekolah, kami kenal
hati budi masing-masing. Ini bukan kali pertama kami bekerja sekali. Zul
beritahu bos ada cakap esok dia akan maklumkan tentang pembuangan beberapa pekerja.
Aku terkejut juga, walaupun dah expect. “Sebab COVID-lah ni?” aku tanya
dia. Dia angguk dan luahkan kerisauan dia. Tapi bukan tentang dia, dia risau
tentang pekerja lain. Aku cakap pada dia, jangan risaulah, rezeki Tuhan kita
tak tahu. Relakslah, perkataan yang aku cakap setiap kali benda kurang senang
jadi. Kami berdua pulang ke pejabat. Aku tak dapat tipu, aku risau tentang kami
semua tambah-tambah kalau Zul yang dibuang kerja. Dia ketua yang disenangi
semua orang termasuk bos. Tapi kalau kawan-kawan lain yang kena buang, pun aku
kasihan. Kami semua rapat, tak ada masalah satu sama lain sepanjang beberapa
tahun bekerja. Sayanglah kalau ada yang terpaksa tinggal sebab dibuang kerja.
Kalau aku dibuang, aku reda je. Tak apa, aku usahalah kuat-kuat nanti,
doa minta tolong Tuhan, mesti dapat kerja baru.”
Selang
beberapa nota, aku double-click lagi.
“Hari
malang atau doaku makbul sebab Tuhan lebih sayangkan aku? Eh ya ke? Nama aku
antara disebut dalam senarai pekerja yang diberhentikan dalam masa 3 bulan.
Aku, Syakir, Acap, Sollehin dan beberapa pekerja wanita lain hanya terkedu.
Sejak berita hari-hari umumkan statistik syarikat tutup dan pekerja terpaksa
dibuang, kami tak terkejut akhirnya kami turut terkena situasi sama. Walaupun
aku rasa aku dah ready tapi bila benda ni betul-betul terjadi, aku tak
dapat bercakap banyak. Zul datang tanya keadaan aku. Aku cakap aku okey je.
Masa buat kerja senyum pun aku malas. Badan aku jadi sedikit lemah dan malas, demotivated.
Rasa bersalah juga aku layan kawan-kawan nak tak nak je, tapi aku memang
tak mampu nak tipu dengan senyuman. Sorrylah Ket, Acap, Wan and semua
orang. Aku down doh. Harap esok aku better sikit”
Pahaku
ditepuk-tepuk. Aleesya anak tunggalku datang tunjukkan anak kucingnya yang baru
bangun tidur. Comel! Aku ambil anak kucing tersebut, belai dan dukung macam
bayi. Aleesya gelak dan tepuk tangan. “Nah, jaga elok-elok jangan kasar-kasar
tau, dia baby lagi,” pesan aku pada dia sambil beri semula anak kucing
pada dia. “Otay! Sayang Miko. Babah sayang Miko, kan?,” tanya dia pada
aku. “Ya, Babah sayang Mikolah. Macam Aleesya sayang Miko.”
Aku
lihat dia bawa Miko ke luar rumah. Pandanganku kembali pada skrin. Skrin terus
ditatal. Nota seterusnya dibuka.
“Fiezul,
aku harap kau di tempat lebih baik di sana. Maaf, kadang memang aku terlupa
pasal kau. Aku sibuk, Fiezul. Walaupun kadang aku free, tapi serabut
juga hidup aku sekarang ni. Kalau kau ada, mungkin boleh share stresnya
aku cari kerja baru. Sudahlah tak banyak, bila ada, banyak saingan pulak tu,
dengan budak-budak fresh grads lagi. Entahlah Fiezul. Aku kadang jeles
jugak dengan kau kat sana tak perlu hadap benda macam ni. Aku yakin, kau tengah
sedap kat sana. Kita bukan orang baik-baik tapi cara kau tinggal kitorang,
Tuhan memang sayang kau do.”
Aku
tatal lagi. Kali ni screenshots
dari Instagram Story.
“Aku
tak sangka, Ayah selama ni yang bawak kereta moto selama berpuluh tahun, tak
pernah accident, hari ni dia kena langgar dengan budak muda skema mana
entah. Bengang juga aku, macam mana boleh dapat lesen keluar simpang pun kau
tak reti tengok kiri kanan. Orang tua ni daripada sihat elok sekarang dah kena
duduk atas kerusi roda. Sudahlah budak tu tak nak report polis, semua
bayaran klinik kami kena tanggung sendiri. Esok lusa aku nak pergi rumah dia,
nak suruh dia report juga, kalau tak biar aku je report, claim
insurance dia, apa nak jadi, jadilah. Budak ni pun macam orang berada jugak,
apa susahnya kau bertanggungjawab sikit. Lepas accident haritu
dia bawa bapa aku ke klinik, memanglah kau bayar tapi lepas tu terus senyap.
Bapa aku pula jenis baik sangat, asyik “Takpe, biarlah” je diulangnya.
Dahlah serabut kerja tak dapat belum setel, jadi pulak macam ni. Argh!”
“Done
interview. Adalah dalam 30 orang candidates juga. Honestly
aku tak harap sangat, dapat dapatlah, tak dapat takpe sebab aku dapat
rasa chances aku nak dapat tu kurang sangat. Interviewer tu tanya
aku, kenapa perlu dia hire aku sedangkan ada fresh grads
yang lebih muda dan boleh terima gaji lebih rendah boleh buat kerja sama macam
aku? Ya aku dah panas time tu. Ini semua capitalist bullshit!
Aku tau semua orang tengah susah
sekarang tapi janganlah sampai kau aniaya orang macam ni sekali. Aku ada experiences
and skills aku yang budak fresh grads takde, aku
jawab macam tu. Kau tau dia cakap apa? In this economy everyone can and will
learn anything quickly especially younger ones. Aku senyum dan diam. Ah mamposlah.
Sekarang aku lapar nasi.”
Aku
ingat lagi lepas interview ni, aku cuba apply jadi rider Foodpanda
& Grabfood. Grab problem sikit waktu tu, aku tak ingat apa tapi
terus aku malas sambung. Foodpanda pula register di website then
rupanya kena WhatsApp kapten kawasan, hm ingat formal sangat bagai
dengan websitenya. Tak apalah, aku pun WhatsApp semua, join group
Telegram. Kat situ aku discover berlambak lagi mat-mat motor duk
tunggu giliran nak kena panggil taklimat dan interview. Pishang,
mat! Aku ingat senang je mintak terus dapat. Aku salah! Beberapa hari
lepas tu Kapten message dalam group bagitahu ada kosong 10 orang untuk kawasan
aku. Malangnya waktu aku baca tu jugalah dah penuh. 30 minit je untuk 10
orang isi kekosongan. Jadinya ada baki lagi 20 orang lebih tengah tunggu untuk next
slot. Apa aku nak buat sementara tunggu ni? Ke aku patut terus cari
kerja lain?
Time lepak dengan
kawan-kawan tempat kerja lama aku, Mamu bagitahu kawan dia yang kerja di
ShopeeExpress tengah cari orang untuk jadi sorter dan delivery.
Dia tanya kalau aku berminat memandangkan aku memang tengah kepishangan.
Aku pun apa lagi, onzlah! ShopeeExpress tengah cari orang sebab next
week diorang ada buat sale besar-besaran, so barang akan
jadi overloaded. Memang selalu rupanya diorang buka untuk part timer
kalau ada sale. Rate pun masyuk juga, RM1 untuk setiap
barang. Isnin minggu depannya aku terus ke gudang cari member Mamu dan
jumpa leader diorang. Dah isi apa yang patut, aku pun lepak kejap
tengok diorang kerja macam mana. Terkejut aku tengok 2-3 lori masuk,
pekerja-pekerja punggah barang keluar dari lori. Masa ni memang aku fikir orang
Malaysia ni semua kaya-kaya, kalau tak, takkanlah sampai 3 lori satu hari. Ini
baru ShopeeExpress, belum J&T, Poslaju dan lain-lain yang member
Mamu cakap boleh sampai 12 lori sehari!
Disebabkan
ini hari first day aku, aku cuma jadi ‘kelindan’ saja kepada Wan.
Tujuannya supaya aku dapat belajar macam mana proses dari awal barang sampai,
hinggalah macam sampai ke tangan customer.
Lepas
seminggu bertungkus-lumus berperang dengan bungkusan dan kotak-kotak, akhirnya
aku dapat berehat dengan tenang sambil menunggu bayaran part time
masuk. Tengah aku baring melayan video bina badan di TikTok, notifikasi
daripada Telegram masuk. “Sesiapa yang berminat untuk jadi rider bagi kawasan SP,
sila PM saya dengan segera. 10 kekosongan, siapa cepat dia dapat. JANGAN CALL.”
Aku cepat-cepat tap profile Kapten dan taip dengan kalut. Lepas
beberapa jam, Kapten reply. Alhamdulillah! Akhirnya dapat juga walaupun
aku tak tahu berapa lama aku akan tanggung hidup dengan pekerjaan macam ni. Aku
malas fikir panjang, bersyukur je ada apa sekarang. Lagi difikirkan lagi
tak bersyukur aku jadinya sedangkan ramai lagi budak sebaya aku tak boleh
bekerja sebab jaga mak ayah, jaga adik abang OKU, tak ada transport,
masalah keluarga dan lain-lain. Ampunkan aku, ya Allah!
Selasa
minggu depannya, jam 10 pagi, aku dah sampai di pejabat Foodpanda di Taman Ria
Jaya. Aku masuk dalam sebuah bilik berhawa dingin yang dah ada 5 orang. Lepas
15 minit, kesemua 10 yang bakal bekerja sebagai rider Foodpanda diberi
taklimat tentang proses kerja daripada clock in sampailah bagaimana nak bank
in duit ke akaun Foodpanda. Dalam taklimat tersebut kami juga diberi beg
atau dipanggil Foodpanda box, dua beg yang lebih kecil dengan label
‘halal’ atasnya dan sehelai baju berwarna merah jambu dan kelabu. Kami juga
seperti dimaklumkan perlu membayar wang sejumlah RM150 sebagai deposit dan
hanya akan dipulangkan jika kami pulangkan semula barang-barang yang diberi
tadi. “Makan modal juga nak bekerja sebagai rider Foodpanda ni”, getus hati
aku. Tapi melalui pengalaman kawan aku, duit depositnya selepas sebulan pulang
semula barang-barang tersebut masih lagi belum diberi. Aku rasa kalau aku
berhenti kerja nanti pun lebih baik aku simpan saja segala benda ni, ada
kemungkinan duit aku pun tak dipulang semula.
Aku
mula bekerja 4 hari selepas taklimat tempoh hari. Baju merah jambu disarung, box
aku pasang kemas-kemas di moto dan powerbank aku masukkan dalam pouchbag.
Pesan kawan aku, lebih mudah kalau ada phone holder di motor,
baju hujan yang sesuai, sarung tangan dan face buff pengganti
pelitup muka supaya semua proses sepanjang penghantaran tu lebih mudah. Phone
holder dapat pegang dan selamatkan telefon daripada hujan, face buff
yang lebih senang dipakai dan menjimatkan kos dan baju hujan yang sesuai supaya
dapat mengelakkan kemalangan. Ada kes aku pernah baca, penunggang wanita
kemalangan disebabkan baju hujannya dipakai terbalik dan labuh, tersekat pada
rim tayar. Baju hujan tersebut tarik badan ke bawah dan hilang kawalan. Ngeri!
Sebelum ke taklimat lagi aku sudah dipesan, kerja sebagai rider
Foodpanda ni memang berisiko tinggi untuk kemalangan kerana masa yang
diluangkan banyak di jalan raya berbanding orang lain. Sekalipun diri sendiri
berhati-hati, masih ada risiko alami kemalangan disebabkan pengguna jalan raya
lain. Setiap kali aku pegang handle, terus dalam hati aku baca doa naik
kenderaan seperti yang dilekat pada motorku. Tak lupa juga doa makan, supaya
rezeki aku murah dan diberkati Tuhan. Mungkin kalau aku bagitahu kawan-kawan rider
lain mereka ketawa tapi berdasarkan kandungan doa itu betullah, supaya rezeki
kita diberkati, bukan saja makanan yang kita dapat.
Kawasan
yang diamanahkan pada aku adalah di Taman Ria Jaya dan lebih kurang 5 kilometer
dalam lingkungan itu. Rumah aku sendiri pun tak termasuk dalam kawasan
Foodpanda, ironi. Lepas pasang aplikasi Rooster dan Roadrunner dalam telefon,
di situ aku pilih syif. Syif setiap minggu akan dikemas kini setiap hari Rabu.
Untuk minggu pertama aku pilih Khamis sampai Isnin, setiap hari 3 jam.
Disebabkan aku masih di batch enam, jadi tak banyak syif aku boleh rebut
sebab keutamaan akan diberi pada batch satu sehingga batch tiga. Bab
batch pula, semasa taklimat, kami diberitahu ada enam batch
keseluruhan dengan batch satu dengan kadar RM7 satu pesanan, batch
dua pula RM6, batch tiga berkadar RM5 setiap pesanan dan batch
empat hingga enam dengan kadar RM4.50. Setiap rider akan mengalami perubahan batch
setiap minggu dan antara faktor peningkatan dan penurunannya adalah jumlah
pesanan diambil, rehat yang diambil dan maklum balas daripada vendor dan
pelanggan. Pun begitu, sebenarnya antara rider pun sendiri pening kerana
ada waktu pesanan mereka ambil lebih banyak daripada kebiasaan tetapi batch
mereka kekal. Mereka sebagai rider yang telah bekerja lama sering
mengadukan hal ini kepada Kapten tetapi beliau juga tak mampu berbuat apa-apa
kerana ia diatur oleh sistem semata-mata, katanya.
Setiap
kali syif kami perlu berada di kawasan masing-masing 15-30 minit lebih awal
daripada waktu mula bekerja kemudian hantar swafoto yang lengkap bersama
pakaian Foodpanda ke dalam group Telegram yang dipantau oleh Kapten sebagai
bukti punch card atau kami sebut sebagai ‘clock in’. Masuk saja
waktu bekerja, aku buka aplikasi Roadrunner dan tekan ‘Start’ sebagai indikasi
aku sudah bersedia menerima pesanan. Pada halaman ‘Status’ ini juga jadual syif
hari ini serta kawasan yang di bawah perkhidmatan aku dipaparkan. Syif aku hari
ini bermula 9:30 pagi hingga 3:15 petang. Cuaca pagi ni baik-baik saja, aku
harap tak hujan tengah hari nanti, kalau tak agak susah aku nak bergerak hantar
pesanan.
Pesanan
pertama masuk, baru aku tahu bunyi notifikasinya agak menyakitkan telinga.
Daripada perlahan beepnya semakin laju. Ah, ini bukan penggera! Aku
terus menuju ke Amanjaya Mall, hanya 3 kilometer dari tempat aku sekarang.
Pesanannya ialah dua bungkus air Black Diamond Milik, satu Strawberry Pudding Smoothies
dan satu Signature Bang Bang Milk Tea. Sampai di Amanjaya Mall, aku keluarkan
beg kecil yang tertera label ‘halal’ daripada box, masuk menuju ke
tingkat dua. Nampak tak ramai orang hari ini. Sampai saja di Tealive, di
bahagian meja tertulis ‘Foodpanda’, aku terus cari nombor pesanan yang telah
dikepil pada plastik bungkusan. Aku masukkan dalam beg, ucap terima kasih pada
staf mereka dan tekan ‘Picked up’ pada aplikasi Roadrunner. Aku tekan alamat
pelanggan lalu Google Map terus keluar. Butang “Start” diklik dan aku mula
hafal jalan. Disebabkan aku masih tiada phone holder, jadi aku terpaksa hafal
jalan sementara telefonku dalam raga motor. Mujur ada TWS (true wireless
stereo), jadi arahan daripada Google Maps dapat juga aku dengar untuk membantu
navigasi. Sampai saja di pagar rumah pelanggan, aku terus hubunginya. Tak
sampai seminit, seorang gadis Cina berseluar pendek, berbaju putih dan berkaca
mata keluar. Alamak, apakah ini cinta pandang pertama yang terjadi sewaktu
pesanan pertama aku sebagai rider? Matanya tidak sesepet Cina biasa,
agak bulat dan jelas, hidungnya tidak terlalu mancung tapi bibirnya nipis.
Sangat kena dengan cita rasa aku. “Abang, ni RM50, lebih you simpan,” ujar
gadis tersebut sambil tersenyum. “Eh, takpa ka? Betul ni?” segan aku pesanan
pertama sudah ada yang berhati pemurah. “Betul, betul. Ayah saya kasi dia suruh
you simpan,” balasnya sambil terus masuk ke pintu rumah. Aku ucapkan
terima kasih dan keluarkan telefon lalu klik pada ‘Dropped Off’. Tersentuh hati
aku bila ada orang masih memberi duit atau tip pada pekerja marhaen sepertiku.
Aku doakan dia diberi hidayah untuk peluk Islam dan keluarganya dimurahkan
rezeki. Aku masukkan gear dan pulas handle, terus pulang ke Amanjaya
Mall dengan harapan pesanan seterusnya datang dari sana juga.
Sampai
di sana, nasib aku agak kurang baik. Aku dapat pesanan yang perlu diambil dari
Restoran Asama di Central Square. Aku undurkan motor dan seorang lagi rider
di Kopitan Classic White Coffee yang mungkin sedang menunggu pesanan mengangkat
tangan dan senyum padaku. Aku tak kenal siapa dia tapi aku anggap ia solidariti
antara rider maka aku balas dengan senyuman dan angguk. Sampai di Restoran
Asama, pesananku masih belum siap, ada satu lagi menu sedang dimasak. Aku hanya
duduk di kerusi disediakan. Seorang rider masuk ke kedai dan dia juga
menerima nasib sama sepertiku. Kami berborak kosong mengisi masa. Daripada
perbualan ringkas kami, dia sudah bekerja selama 2 bulan sebagai pekerjaan
tetap sepenuh masa selepas dibuang kerja daripada syarikat pembinaan. Tambah
pula isterinya sedang mengandung anak sulung, dia tidak ada pilihan lain selain
terus ambil peluang yang ada tanpa menjadi cerewet walaupun kelulusannya jauh
lebih baik. Pesanan aku sampai dan aku terus bergerak. Kali ini lebih mudah
kerana pelanggan telah membayar melalui perbankan atas talian jadi aku hanya
perlu menghantar pesanan tanpa ada pertukaran not kertas antara kami. Perkara
ini bukan saja memudahkan kedua-dua pihak, ia juga lebih selamat sewaktu kes
COVID-19 semakin meningkat sekarang.
Jam
menunjukkan 3:05 petang. Lepas 10 minit masih tiada pesanan masuk. Untuk hari
pertama, empat pesanan agak okey dengan cuaca yang tidak panas. Badan tidak
terlalu penat, hanya rasa tidak selesa akibat peluh. Jumlah pendapat aku hari
ini adalah RM18 manakala wang yang dikutip dari pelanggan pula RM67.54. Aku
terus ke ATM CIMB Bank berdekatan iaitu di Wisma Ria untuk terus masukkan wang
pelanggan ke dalam akaun Foodpanda kerana aku cuma mahu berehat sampai syif
esok pagi pula. Wang pelanggan perlu dimasukkan ke akaun Foodpanda yang telah
disediakan sebelum jam 11 malam setiap hari. Jika tidak, akaun tersebut akan
disekat, gaji akan digantung dan boleh diberhentikan kerja kerana dianggap
mencuri harta syarikat. Selesai masukkan wang sebanyak RM70, aku terus pulang
ke rumah. Aku terus mandi, ambil wuduk, solat dan makan. Ibuku di meja makan
bertanya bagaimana hari pertama bekerja sebagai rider Foodpanda, aku jawab okey
saja tapi aku tahu cabaran lebih besar akan datang selepas ini. Masuk ke dalam
bilik aku terus lelapkan mata.
Hari
kedua, masih lagi syif pagi seperti semalam. Sebelum clock in, aku
penuhkan tangki motor dengan RON95 dulu. Berdekatan stesen minyak ini aku lihat
ada kumpulan manusia berbaju merah jambu dan kelabu berkumpul sedang berborak.
Habis isi minyak aku bergerak ke sana. Aku buang helmet, beri salam dan terus
hulurkan tangan dan perkenalkan diri. Mereka terdiri daripada pekerja sepenuh
masa, yang sudah lama berkhidmat dan juga baru bahkan ada juga yang aku jumpa
sewaktu taklimat tempoh hari. Alhamdulillah kesemua mereka ramah, buat aku rasa
tidak kekok. Semasa aku sertai mereka, masing-masing sedang bersembang tentang
pendapatan dan perkhidmatan mereka semalam. Ada yang dikejar anjing, menunggu
pelanggan sehingga 15 minit, dimarahi vendor, diajak masuk ke dalam rumah untuk
minum dan pelbagai lagi. Semuanya menghiburkan hati.
Tepat
jam 9:30 pagi, masing-masing terus keluarkan telefon dan clock in dengan
swafoto beramai-ramai. Kami tekan ‘Start’ dalam aplikasi Roadrunner dan terus
salah seorang mendapat pesanan. Wah, awal rezekinya. “Rezeki anak ni, rezeki
anak! Hampa tak dak anak sapa suruh!” ujar Man sambil ketawa dan laju beredar
untuk ambil pesanan daripada vendor. Kami terus berbual dan aku mendengar
mereka berkongsi pengalaman sambil ditemani asap rokok dan vape mereka.
Seorang demi seorang mula beredar memenuhi tuntutan bekerja termasuk aku. Kali
ini aku perlu ke Old Town White Coffee di Lagenda Heights bersebelahan Village
Mall. “Ini orang ada-ada punya breakfast ni,” getus hatiku. Pesannya
ialah beberapa set roti bakar, kopi dan teh matcha. Usai ambil pesanan dan
tekan ‘Picked Up,’ aku terus dengan bantuan Google Maps terus ke rumahnya di
Taman Desa Jaya. Rumahnya di hadapan taman permainan terselit antara banyak
rumah Cina. Bunyi salakan anjing menganggu aku menyedut udara nyaman pagi.
Sampai di pagar rumah, tanganku laju menekan butang loceng. Seorang lelaki
dalam lingkungan 50-an keluar dan memberi senyuman.
“Sihat
dik? Hari ini rasa malas nak masak, mak cik pun tak larat, tu yang pagi-pagi
dah ber-Foodpanda ni. Biasalah tua-tua kerepot ni macam-macamlah penyakitlah
duk mai,’ sambil kami sama-sama ketawa kecil. Dia ambil bungkusan, masuk ke
dalam rumah dan menyuruhku tunggu sebentar. Dia keluar semula bersama sebuah
bungkusan yang aku bawa tadi.
“Ni
pak cik beli lebih, memang nak bagi kat hang. Kesian hampa kerja pagi
petang tengah hujan, panas-panas cari rezeki. Nah, ambil. Kalau dah makan takpa
satgi lapar hang makan.” Aku terima bungkusan tersebut dan
ucapkan terima kasih berulang-kali. Nampaknya ramai betul pelanggan yang sangat
pemurah dengan rider seperti kami. “Terima kasih banyaklah pak cik, saya
doakan pak cik murah rezeki. Saya ni baru dua hari kerja, dah dapat ramai
customer bagi macam-macam kat saya. Terima kasih, pak cik!” Aku terus beredar
sambil tersenyum.
Selepas
6 bulan menempuh suka dan duka bersama Foodpanda, aku tengah fikir untuk
bekerja sebagai pemandu Grab pula memandangkan fleksibiliti dan kebebasan waktu
kerjanya yang lebih anjal berbanding Foodpanda. Kalau Foodpanda ada ranking
batch dan syif yang diberi keutamaan pada batch atasan saja, Grab
tidak. Aku boleh bekerja bila-bila masa saja aku mahu. Hanya perlu masuk ke
dalam aplikasi dan aktifkan.
Aku
buka laman sesawang Grab dan tekan butang yang patut. Aku isi nama penuh,
alamat dan maklumat diperlukan. Dokumen seperti geran, cukai jalan, insurans
dan lain-lain aku muat naik sekali kecuali lesen PSV (Public Service Vehicle),
lesen yang diwajibkan kepada semua pemandu teksi termasuk e-hailing
sejak 2018. Selepas dihubungi pihak Grab dan diberi maklumat lengkap, aku terus
daftar untuk ambil lesen PSV di institut memandu terdekat. Ia sama seperti
lesen memandu kereta biasa, cumanya tiada ujian memandu seperti litar dan jalan
raya. Hanya kelas teori 6 jam dan ujian dengan jawapan objektif. Kelas aku mula
pada 2 minggu depan disebabkan ramai yang ambil lesen tersebut untuk sertai
Grab. Selepas sebulan, selesai semua urusan lesen dan dokumen telah diserahkan
pada mereka, aku boleh mula bekerja pada bila-bila masa.
Sebagai
pemandu Grab, sama juga seperti rider Foodpanda, aku perlu memasang
aplikasi kedua iaitu Grab Driver. Apa yang aku dapat lihat aplikasi Grab Driver
lebih mesra pengguna dengan antara muka yang tak jauh beza dengan aplikasi Grab
untuk pelanggan manakala aplikasi Rooster dan Roadrunner semasa bekerja sebagai
rider Foodpanda nampak sangat ‘murahan’ seperti aplikasi yang dibina
oleh pelajar tahun akhir universiti bahkan pelajar universiti boleh buat lebih
baik. Jadi aku rasa agak adil sebegini rupa, kedua-dua pihak pelanggan dan
pemandu dapat pengalaman menggunakan aplikasi yang sama, tidak seperti
Foodpanda. Dalam aplikasi Grab Driver, muka hadapannya dipenuhi peta yang akan
memaparkan heat map di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi oleh
pelanggan akan ditandakan merah. Selain itu, di bawah menu Lifetime
Performance, aku juga dapat lihat Acceptance Rate atau kami panggil ‘AR’, Driver’s
Rating yang diberikan pelanggan daripada 5 bintang dan Cancellation Rate atau
‘CR’. Semenjak Grab mengenakan ‘auto-accept’ kepada pemandu, maka Acceptance
Rate kami tidak jatuh 100% kerana kami perlu terus bergerak mendapatkan
pelanggan yang telah ditetapkan tanpa boleh memilih untuk terima atau tidak.
Cancellation Rate pula adalah berdasarkan jumlah tempahan yang kami batalkan
dan ia perlu kekal di bawah 10% jika ingin terus bekerja sebagai pemandu Grab
manakala Driver’s Rating perlu kekal atas 4.7. Semua rating kecuali DR ini
akan diset semula pada setiap hari Isnin. Kesemua peraturan ini tidak hanya
terpakai pada pemandu Grab di Malaysia tapi juga di negara lain seperti
Singapura dan Amerika Syarikat.
Di
bahagian Wallet pula terbahagi kepada dua iaitu Credit Wallet dan Cash Wallet
di mana pihak Grab akan mengambil komisen sebanyak 20% melalui Credit Wallet
manakala Cash Wallet mengandungi bayaran pelanggan tanpa tunai, bonus dan
insentif daripada Grab dan lain-lain serta boleh dipindahkan kandungannya ke
dalam akaun bank pemandu. Selain itu, Health & Hygiene Declaration juga
perlu ditanda setiap hari sebagai bukti pemandu tidak mempunyai gejala seperti
selsema, sentiasa memakai pelitup muka, mensanitasi bahagian dalam kenderaan
dan tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana pesakit COVID-19. Fungsi peta
yang disediakan dalam Grab Driver ini juga aku boleh tetapkan beberapa
destinasi supaya mudah diakses dan lokasi yang hendak dielakkan dengan maksimum
3 lokasi.
Selepas
beberapa trip, aku fikir mahu balik rumah dan rehat. Dalam perjalanan
pulang, aku tetapkan di Grab Driver di bahagian ‘Destination’, Taman Batik.
Jadi dari Taman Seri Jenaris, mana-mana pelanggan sekitar yang mahu menuju ke
sana akan diberikan kepada aku namun fungsi ini ada keburukannya kerana dengan
mengaktifkannya, Grab tidak akan mengutamakan pemandu tersebut dalam sistemnya
dan Grab juga tidak akan memberi insentif serta bonus seperti trip biasa yang
bukan di bawah ‘Destination’. ‘Destination’ selalunya hanya akan menjadi
pilihan andai ada permintaan tinggi namun di kawasan aku, tidak banyak pengguna
Grab seperti di bandar besar contohnya George Town, Alor Setar mahu pun Kuala
Lumpur. Masyarakat di sini kebanyakannya datang dari golongan pendapatan rendah
dan sederhana jadi pelanggan kami selalunya hanya dari sebilangan kecil iaitu
golongan berpendapatan tinggi yang hanya mewakili beberapa peratus saja. Aku
sendiri pun sebenarnya tidak pernah menggunakan perkhidmatan Grab sewaktu di
sini, hanya pernah menggunakannya sewaktu di Kuala Lumpur dulu.
Disebabkan
aku bebas untuk bekerja pada bila-bila masa, jadi hari ini mula pada jam 4
petang. Usai mandi dan solat, dari dalam bilik aku terus toggle ikon
suis dalam aplikasi Grab Driver. Masuk saja dalam kereta dan mula bergerak, sebuah
tempahan masuk. Aku perlu mengambil seorang pelanggan di kawasan perumahan
Cinta Sayang Golf Resort dan bawanya ke Hospital Metro berdekatan Taman
Angsana. Masuk ke kawasan tersebut, aku dihentikan pegawai keselamatan dan
diminta untuk imbas kod MySejahtera serta diimbas suhu. Sampai di rumah,
seorang wanita dalam lingkungan 60-an bersama seorang budak perempuan sekitar
15 tahun sudah berada dalam kawasan rumah, bersedia menungguku. Aku minta
mereka duduk di belakang supaya mereka lebih selesa. Rupa-rupanya wanita
tersebut merupakan seorang bekas guru dan budak perempuan tersebut ialah
cucunya. Dia mahu ke Hospital Metro untuk melawat suaminya yang baru saja
menjalani pembedahan untuk mengeluarkan batu karang.
Dia
juga menasihatkan aku untuk menjaga pemakanan supaya hari tua nanti tidak
disusahkan dengan pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan
lain-lain. Aku bertanya padanya apakah punca yang boleh menyebabkan batu karang
terkumpul dalam badan? Menurutnya, dalam kes suaminya ia disyaki disebabkan
kurang minum air kosong dan jangkitan kuman dalam saluran kencing. Beberapa
bulan sebelum pembedahan suaminya seringkali berasa sakit ketika membuang air
dan kadangkala ada titisan darah dalam air kencing. Mujurlah mereka ada
melanggan insurans, jadi doktor pakar melakukan pemeriksaan air kencing, darah
serta imbasan X-Ray dan ultrasound bagi memeriksa dan mengesahkan sakit
yang dialami. Setelah disahkan adanya pembentukan batu karang dalam saluran pundi
kencing, maka doktor menasihatkan untuk menjalani pembedahan kerana saiz batu
karang tersebut lebih kurang 2 sentimeter. Pada mulanya, suaminya telah
menjalani Extracorporeal Shockwave Lithotripsy (ESWL) namun selepas beberapa
bulan suaminya berasa sakit semula sepertinya sebelumnya. Maka pembedahan
Percutaneous Nephrolithotomy dilakukan untuk mengeluarkan terus batu karang
tersebut. Hirisan pada bahagian buah pinggang akan dilakukan dan kemudian batu karang
tersebut akan dipecahkan menggunakan laser. Kemudiannya, tiub kencing sementara
akan disambung sebagai laluan serpihan batu karang untuk keluar daripada badan.
Dia mengambil telefonnya dan menunjukkan kepadaku gambar batu karang yang
dikeluarkan dari saluran kencing suaminya.
Walaupun
rasa sedikit jijik namun aku hanya balas dengan reaksi takut untuk menunjukkan
simpati. “Tu mak cik pesan, hang jagalah makan, jangan duk
makan benda manis-manis, seafood, makanan berminyak bergoreng semua tu.
Sekali sekali tak apa, tapi jangan selalu. Lani tak apalah muda lagi tak
rasa, hang dah masuk 4 series, 5 series macam mak cik, ha
time tu mulalah. Duk tak duk sakit sana, pening kepala, nak bangun pun kadang
tak larat. Duk lama pun tak boleh! Nak kena buat kerja juga, tapi buat satgi
sakit pinggang pula. Muda-muda ni banyak-banyaklah buat ibadat, nah. Mak cik ni
bukanlah ustazah ka sapa, tapi bila pak cik hang jadi lagu tu,
rasa jugalah. Hang jaga diri. Hang tak kahwin lagi kan? Ha
dah kahwin nanti takkan kita nak menyusah anak jaga kita pula tua nanti, depa
pun ada kerja depa, anak bini lagi. Ni nasib baik ada cucu baru habis
belajar boleh mai duduk sekali dengan mak cik, alhamdulillahlah!” Panjang lebar
pesanannya pada aku sebelum sampai ke destinasi. Cucunya di sebelah sesekali
hanya ketawa kecil melihat telatah neneknya yang tak henti bercakap sejak masuk
kereta. Kerenahnya mengingatkan aku pada arwah nenek aku sendiri. Sudah 10
tahun dia pergi namun sebagai cucu sulung yang pernah dibesarkannya, memori
waktu kecil tinggal di rumahnya tak pernah aku cuba lupakan.
Kasih sayang ibu bapa
dan nenek berbeza. Ibu bapa selalunya lebih garang dan tegas tapi nenek
sentiasa akan membela cucunya di hadapan anak menantu. “Biasalah, muda lagi. Hampa
dulu pun lagu tu. Yang nak marah sangat tu pasai apa,” itulah kadang
kedengaran dari mulut nenek sama ada pada bapaku atau ibu saudara yang lain
apabila kami cucu-cucunya dimarahi. Kadangkala bila ibu bapa kami tiada, kami
mula mengorek rahsia tentang bapa masing-masing dengan bertanya bagaimana ibu
bapa kami boleh berkahwin, perangai mereka sewaktu sekolah, kisah percintaan
nenek dan arwah datuk, salasilah keluarga, kehidupan nenek sewaktu perang dunia
serta perkara-perkara yang boleh buatkan kami senyum dan tertawa. Nenek tidak
pernah lokek bercerita, lagi ditanya lagi seronok dia berkongsi. Sejak arwah
datuk meninggal, aku fikir dia agak sunyi tinggal seorang di rumah memandangkan
jiran-jiran seusianya juga sudah ramai meninggal dunia. Selalunya Maghrib saja
dia akan ke surau dan pulang selepas Isyak tapi semenjak dia masuk umur 80-an,
dia tidak lagi ke sana kerana tidak kuat dan segan kerana tidak lagi ada
kawan-kawan rapat seperti dulu. Nenek meninggal dalam tidur, sewaktu Pak Su
berada di rumah selepas Raya Haji. Mujurlah ada Pak Su, kalau tidak, siapa yang
tahu dia meninggal dalam tidur. Pagi itu Pak Su bangun subuh seperti biasa
namun dia pelik kerana masih belum nampak kelibat nenek yang selalunya bangun
lebih awal. Pak Su masuk ke dalam bilik dan panggil nenek tapi tidak disahut.
Dikuis badan juga tidak ada respons. Selepas periksa nadi dan nafas, Pak Su
sedar nenek sudah tiada.
Hari
ini, selepas 10 tahun bergelut dengan pelbagai pekerjaan sepenuh masa, separuh
masa dan ketidaktentuan masa depan, aku akhirnya mendapat pekerjaan tetap
sebagai pengurus restoran di salah sebuah cawangan restoran milik rakan baikku
sejak sekolah. Bermula sebagai pembantu kedai dan pembancuh air, perlahan-lahan
aku dinaikkan pangkat dan diberi kepercayaan. Restoran yang menyediakan masakan
pantai timur seperti nasi dagang, nasi kerabu, laksam dan lain-lain miliknya kini
sudah mempunyai 6 cawangan seluruh Pulau Pinang. Resepi warisan keluarganya
kekal dengan pelanggan tetap dari merata ceruk setia datang tak kira waktu. Aku
bersyukur mendapat rakan yang sangat menjaga kebajikan pekerjanya dengan
berkongsi tempat tinggal bersama pekerjanya dan tidak berkira memberi bonus.
Walaupun
pelbagai suka duka sewaktu bekerja dalam sektor ekonomi gig dan atas talian
dahulu, namun setelah lama bekerja aku dapat melihat risiko dan ketidakadilan
dalam bidang tersebut. Melihat rakan sejawat kemalangan di depan mata sewaktu
menghantar makanan namun tidak dapat dirawat kerana syarikat tidak menawarkan
insurans, ketidaktentuan jawatan kerana boleh dibuang bila-bila masa, bayaran
yang tidak adil disebabkan masalah sistem yang tak pernah selesai, ketiadaan
caruman mahupun insurans keselamatan, ketidaklibatan syarikat dalam
undang-undang hak pekerja kerana sektornya dan lain-lain buatkan aku sedar
harga keanjalan, autonomi kendiri dan kebebasan bekerja yang dicanang sebagai
kelebihan pekerjaan alaf baru perlu digadai dengan risiko yang tidak ditanggung
syarikat. Sedang aku seronok mencari rezeki sebagai pekerja ekonomi gig,
semuanya berubah apabila salah seorang rakan ibuku berkongsi tentang keburukan
ekonomi gig. Ia buat aku sedar bahawa dengan sektor begini, kebebasan bekerja
yang diiklankan digadaikan dengan risiko syarikat yang diletakkan pada pekerja.
Jika pekerjaan biasa pekerja tetap dibayar dengan sejumlah wang setiap bulan,
tidak kira untung rugi dan berapa ramai pelanggan masuk ke kedai, namun dengan
ekonomi gig, syarikat tidak lagi menanggung risiko dan liabiliti tersebut
sebaliknya diserahkan dalam diam sepenuhnya pada pekerja. Jika dia tidak
berjaya dapatkan pelanggan, maka dia tidak mempunyai pendapatan. Contohnya
seperti Grab, sebarang kos bahan api sewaktu menunggu pelanggan tidak
ditanggung oleh Grab manakala sebagai pemandu teksi, mereka dilengkapi dengan
insurans dan perlindungan lain yang diberikan syarikat. Syarahannya itu terus
mengingatkan aku pada Man yang sekarang lumpuh akibat dilanggar kereta sewaktu
menghantar makanan dan ia berlaku di depan mata kami, rakan-rakan rider yang
lain. Nasib bertambah malang kerana dia sendiri juga tidak mempunyai insurans
peribadi. Dia kini tinggal bersama adiknya yang menanggung makan pakainya,
mujurlah adiknya berhati baik.
Dua
tahun lepas sejak Amazon memulakan perkhidmatan dan membuka gudang mereka di
Malaysia, pelbagai cerita kurang enak aku dengar sama ada di media sosial
mahupun dari pekerja aku sendiri. Pada mulanya mereka teruja kerana dapat
bekerja dengan syarikat terbesar di Amerika Syarikat dan di bawah individu
terkaya di dunia, Jeff Bezos. Mereka diminta untuk tidak memanggil diri mereka
sebagai pekerja atau menganggap mereka kuli bawahan sebaliknya memanggil diri
mereka termasuk semua bos, ‘associates’ termasuk bos-bos besar dan Jeff Bezos
sendiri. Mereka ditekankan bahawa organisasi di Amazon sangat berbeza kerana di
sana mereka adalah satu keluarga besar yang prihatin antara satu sama lain. Patung-patung
kadbod di pintu masuk ditulis “Saya gembira bekerja di sini dan rindu bila
tidak berada di sini” membuatkan mereka berasa dipeduli. Namun setelah setahun,
peraturan semakin ketat. Waktu rehat dikurangkan dan pekerja beragama Islam
sering dimarahi jika didapati menunaikan solat. Mereka diugut dan akhirnya gaji
mereka ditolak jika tidak berada stesen masing-masing tidak kisah sama ada ke
tandas atau mana-mana kerana ia dianggap curi tulang. Sampai satu tahap,
pekerja aku sendiri menceritakan bahawa di pernah melihat rakannya kencing
dalam botol dan curi-curi tinggalkannya di dalam gudang sewaktu mengalihkan
barang kerana dia takut dimarahi supervisor jika ke tandas memandangkan
dia baru saja bekerja. Tetapi mereka tidak boleh mengadukan kepada mana-mana
pihak berkuasa kerana gaji mereka akan disekat dan dikenakan tindakan lebih
keras. Bagi yang sudah berjaya mendapat pekerjaan baru, mereka ini akan
meninggalkan Amazon tetapi bagi yang tidak, mereka terpaksa bekerja di bawah
tekanan tanpa apa pihak yang akan membela mereka. Ini juga masalah rasuah yang
tak pernah berkesudahan sejak aku kecil. Syarikat-syarikat gergasi sudah
memberi sejumlah wang pada beberapa pihak menyebabkan tiada tindakan dikenakan
atas mereka walaupun laporan rasmi telah dibuat.
Pengalaman
bekerja di jalanan dan di bawah panas walaupun sangat berisiko dan dalam diam
ditindas hak, sangat penting dalam membina siapa aku hari ini. Disebabkan aku
pernah bersusah-payah, aku menjadi lebih mudah kasihan dengan sesiapa saja yang
aku lihat susah terutama sekali jika ada pekerja dan pelanggan yang aku lihat
seperti ada masalah peribadi. Aku cuba sedaya upaya menahan emosi dan memahami
jika mereka dilihat bermasalah ketika melakukan tugas. Kadang-kadang memang ada
perasaan marah dan tidak puas hati dengan kualiti dan cara kerja mereka namun
aku cuba sehabis baik menegur dengan cara sopan dan hanya apabila seseorang
pekerja tidak mampu mengikut arahan, aku terpaksa membuangnya kerana terlalu
banyak masalah. Contohnya tempoh hari aku telah membuang seorang pekerja yang
sering lambat datang ke kedai. Dalam 3 bulan bekerja, hanya 2 minggu saja dia
datang tepat mengikut syif, selebihnya hanya mampu minta maaf namun mengulang
kesalahan yang sama. Sebagai ketua, aku cuba mengubah dan beri motivasi yang
baik pada setiap pekerja namun jika dia sendiri tidak mahu mengubah diri
sendiri, aku tidak teragak-agak untuk membuangnya.
Aku
ingat lagi pesanan Zainal Rashid Ahmad dalam video melalui saluran Youtube
Garasi TV yang aku tonton sewaktu tamat belajar dulu. Katanya seseorang hanya
perlukan 2 tahun bekerja di jalanan untuk membina personaliti yang kuat dan
tidak lembik dek tekanan bekerja apabila masuk ke dalam profesional. Aku kira
pengalaman aku menjadi dropshipper, ditipu supplier dan rakan
sendiri, dituduh penipu, menjadi rider Foodpanda, menjadi pemandu Grab,
bekerja sebagai pelayan pelanggan, semuanya ini memberi pelajaran yang banyak
pada aku. Ia buat aku lebih sedar diri bahawa aku tidak ada apa-apa dulu kalau
bukan wang ibu bapa, ia buat aku sedar hidup memang susah tapi lebih susah
kalau diri sendiri malas usaha, ia juga buat aku sedar kalau sesekali aku mula
berasa sombong dengan orang lain. mungkin kalau aku tidak tempuhi fasa-fasa
tersebut, aku masih sombong berasa aku manusia paling pandai dan paling dianiayai
oleh dunia tapi masa sama tidak mempunyai apa-apa pencapaian.
Aleesya
tiba-tiba datang dan memanjat kakiku. Aku angkat dan letakkan dia atas paha. “Where’s
Miko?,” tanya aku. “He’s already sleep! I’m bored, Papa,” balasnya.
“Aleesya miss Mummy,” dia mengalihkan wajahnya padaku. Aku hanya balas
dengan senyuman. Isteriku baru saja meninggal dunia dalam kemalangan setahun
lepas. Dalam perjalanan pulang dari pejabat, keretanya remuk dilanggar pemandu
mabuk. Setiap kali terbayang jalan dan keadaan kereta serta tubuhnya di situ,
perasaan bercampur dendam, marah dan mata aku akan berair. Malam itu sepatutnya
dia tidak perlu ke sana kerana mahu membuat persiapan kenduri syukur sempena
ulang tahun kelahiran Aleesya tetapi bosnya tetapi bosnya memintanya datang
sebentar kerana tidak ada pekerja lain yang mampu menyiapkan tugasan tersebut
dalam masa yang singkat. Selang 4 jam kemudian, aku mendapat panggilan dia
mengalami kemalangan tidak jauh dari pejabatnya, Amazon Malaysia.
(5946 patah perkataan)
x
Ulasan
Catat Ulasan