Bulan
Mac lepas menyaksikan para pelajar institut pengajian tinggi (IPT) memasuki
semester baru, menandakan sudah setahun kelas dalam talian dijalankan sejak
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Tenaga
pengajar dan pelajar yang sebelum ini tidak pernah menggunakan Google Meet,
Zoom, Webex sudah agak mahir dengan platform di atas. Kekalutan dan huru-hara yang
dialami sebelum ini mungkin dapat dikurangkan dan kerjasama antara pelajar
serta pensyarah seharusnya lebih baik.
Setelah
berbulan-bulan kedua-dua pihak IPT dan pelajar mengharungi fasa baru ini,
pelbagai masalah yang telah berakar dalam masyarakat kita timbul dengan drastik
dan jelas, bagai sabut di dasar sungai yang akhirnya terlepas dari batu besar.
Tahap capaian internet adalah antara masalah terbesar mereka hadapi baik daripada
pihak pelajar mahupun pensyarah yang terpaksa ulang-alik ke kampus sewaktu PKP
semata-mata mendapatkan capaian internet yang lebih baik. Dalam hal ini,
pelbagai medium digunakan pensyarah untuk kelas dalam talian masing-masing.
Banyak
‘jenama’ dipakai untuk melabel proses kelas dalam talian ini seperti Open and
Distance Learning (ODL) yang menawarkan proses pembelajaran melalui dalam talian
yang lebih fleksibel dan terbuka demi membantu meringankan beban pelajar.
Tugasan-tugasan setiap subjek juga mula diubah bersesuaian dengan pendekatan
dalam talian serta keadaan pelajar.
Dengan
segala masalah yang telah timbul dan semua sedia maklum, pun begitu melalui
pengamatan saya sebagai seorang pelajar, antara kesan secara langsungnya adalah
penamatan pengajian oleh pelajar akibat kesan kelas dalam talian selain turut
dipengaruhi status ekonomi keluarga dalam tempoh PKP. Dalam fakulti saya sahaja
sekurang-kurangnya 10 orang pelajar telah mengambil keputusan untuk menamatkan
pengajian ketika fasa kelas dalam talian dijalankan. Walaupun tidak ada data rasmi daripada pihak
universiti namun kita tidak dapat menolak tekanan kelas dalam talian antara
faktor penyumbang pelajar-pelajar ini akhirnya berhenti belajar sedangkan sudah
setahun dalam pengajian.
Teringat
saya sewaktu ketika kelas dalam talian berjalan, kami semua dikehendaki membuka
kamera dan saya dapat melihat salah seorang rakan kami sedang di pasar pagi
membantu ibu bapanya menjual barang dapur. Walaupun matanya melilau dan
tubuhnya ke sana-sini melayan pelanggan tetapi masih mampu tersenyum dan aktif
bertanya kepada pensyarah, sedikit pun dia tidak kelihatan penat dan malu. Ini
secara tidak langsung memberi semangat pada saya dan pada masa sama kagum
dengan rakan-rakan lain yang sedang berjuang dalam pelajaran dan membantu
ekonomi keluarga, doa saya supaya perniagaannya laku keras. Pensyarah kami juga
memberi kata-kata semangat kepadanya selain berkongsi pengalamannya bekerja
sambilan semasa menuntut. Hanya di hujung semester saya mendapat tahu bahawa
dia telah menamatkan pengajian, saya sangat terkejut.
Jumlah
pelajar yang menamatkan pengajian di tengah jalan hanya sedikit bukti kepayahan
kelas dalam talian yang tidak membenarkan pensyarah dan pelajar bersemuka.
Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada mengadakan interaksi secara
fizikal atau sekurang-kurangnya melihat wajah masing-masing tanpa sempadan skrin.
Penerangan pensyarah melalui webcam dan pesanan suara serta teks terasa
kurang bermakna jika dibandingkan di bilik kuliah. Walaupun begitu, masalah
rangkaian telekomunikasi hanya menambah garam pada luka. Kelas dalam talian
mungkin tidak seefektif kelas bersemuka namun jika akses terhadap internet pun
turut bermasalah, bagaimana lagi pelajar boleh berhubung dengan pensyarah dan menyertai
kuliah?
Saya
tidak mempunyai banyak jari untuk menuding salah siapa namun dalam kebanyakan
hierarki, kerajaanlah yang berada di atas sekali yang seharusnya menyediakan
fasiliti terbaik terutamanya di luar bandar agar dapat membantu para pelajar
dan tenaga pengajar menjalani proses pembelajaran yang berkesan. Veveonah
adalah simbol hidup pada masalah ini – isu yang telah lama wujud namun terus
diabai pihak berwajib sehinggalah ia menjadi sensasi di internet barulah pihak
tertentu turun padang menyelesaikannya (dengan begitu pantas).
Ruang beridentiti
Namun,
sekali pun semua masalah berkaitan capaian internet selesai, seluruh kawasan
ceruk di Malaysia ini mampu mendapat rangkaian 4G seperti diiklan di TV, masalah
peribadi berkaitan identiti dan ruang akan terus menghantui mereka.
Semua
ini tidak pernah dihadapi prakoronavirus, pelajar di rumah sewa atau kolej
hanya fokus pada kelas, menyiapkan tugasan pada ketika lain dan terlibat dalam
aktiviti sosial bersama rakan dalam waktu senggang. Pensyarah dapat hadir ke
kampus, menanda jawapan, menyiapkan tugasan berkaitan pengurusan, dan ke kelas
tanpa tangisan anak kecil di sisi. Sekali lagi, tidak ada mana-mana pihak saya
mahu tudingkan jari untuk dipersalah.
Memetik
Sazni (2020), dilema terbesar pembelajaran dalam talian adalah ruang dan
identiti. Kita sering bersetuju dengan ungkapan bahawa manusia hanyalah pelakon
di dunia yang bertindak sebagai pentas. Jika dahulu seorang gadis ialah anak,
adik atau kakak sewaktu di rumah kemudian menjadi seorang pelajar di kampus dan
bila tiba di restoran makanan segera dia ialah seorang pekerja sambilan yang
memenuhi pesanan pelanggan. Semua identiti ini walaupun bertindih tetapi masih
bersempadan dengan ruang dan waktu yang berbeza. Dengan kelas dalam talian,
seorang pensyarah yang merupakan seorang ibu kepada 3 anak kecil juga ialah isteri
yang perlu memasak dan mengemas rumah, anak yang menjaga orang tuanya dan guru
kepada pelajarnya, semua ini dalam satu ruang – rumah. Pertindihan
tanggungjawab dalam masa dan ruang yang sama ini membebankan mental dan fizikal
lebih berbanding norma yang dulu.
Saya
tidak menolak ada pelajar yang mengambil kesempatan dengan sambil lewa
meninggalkan kelas tanpa alasan kerana bergantung pada rakaman kelas tersebut
tetapi dalam mana-mana pihak pun pastinya ada yang bermasalah. Tujuan tulisan
ini dikongsi pun bukanlah meminta bantuan menteri yang berpengalaman tinggal di
Australia selama 20 tahun atau pegawai tertinggi yang gigih merapatkan
silaturahim dengan mahasiswa dengan aplikasi terkini atau juga pengerusi majlis
perwakilan pelajar kebangsaan untuk menekan pihak sepatutnya melihat masalah
ini dengan lebih teliti. Saya menulis kerana saya antara yang beruntung tidak
perlu menghadapi masalah akses internet di rumah, tidak perlu bertelagah dengan
adik-beradik, makan hati dengan ibu bapa yang tidak memahami tanggungjawab saya
sebagai pelajar mahupun tertekan kerana ahli kumpulan lain tidak memberi
respons. Saya tidak perlu menghadapi semua itu untuk menghabiskan semester
tetapi melihat rakan-rakan lain bersusah-payah keluar sehingga 10km untuk
capaian internet untuk latihan temuduga, dimarahi pensyarah atas perkara yang
bukan tanggungjawabnya, menangis kerana tertekan melihat rakan-rakan lain mampu
menjawab soalan dalam sesi Google Meet sedangkan dia masih terkapai-kapai memahami
topik, terpaksa meninggalkan kelas kerana membantu bapa mencari rezeki sehingga
akhirnya ada memilih untuk menamatkan pengajian.
Dilema-dilema
ini bukan hanya dirasai oleh pelajar semata-mata namun kadang-kala lebih
membebankan para pensyarah. Berkejar-kejar mencari pelajar yang sudah beberapa
kali tidak sertai kelas, tidak memberi sebarang respons, mengajar di hadapan
skrin sambil berjaga-jaga kalau-kalau anak kecilnya bermain bahaya, terpaksa
menangguh kelas kerana menjaga isteri di hospital, memenuhi tuntutan audit dan
acara yang bakal tiba, ditekan orang-orang berjawatan lebih tinggi untuk
melakukan pekerjaan di luar bidang dan sebagainya. Dengan semua transaksi dan
kejadian berlaku dalam talian di norma baru ini, jelas ada yang meraih untung
berlipat ganda namun ramai juga dihimpit berkali-ganda berbanding dulu. Semua
ini bila ditimbang-tara dan difikir baik, saya sering bertanya pada takdir,
apakah senang kalau kita semua dilahirkan sebagai anak menteri?
Rujukan
Mohd Sazni Ahmad Salehudin (2020).
Compression of Space: Reflection on Teaching During Pandemic Pedagogy. Kyoto
Review of Southeast Asia, (29).
Artikel ini juga diterbitkan di Solidaritas.

Ulasan
Catat Ulasan