“Sepuluh boleh bang?” tanya pelanggan remaja pada aku. Jam menunjukkan pukul 8:43 pm. Aku dan Hanif hanya menunggu ketiadaan pelanggan untuk mengemas barang-barang ke dalam van dan pulang.
“Hm…
bolehlah” balasku. Tidak apalah untung tak banyak hari ini, asalkan ada jualan,
daripada tidak peroleh apa-apa langsung. Aku lipat dan masukkan dalam plastik.
Wang bertukar tangan. Selepas 5 minit tiada kelibat pelanggan datang, aku dan
Hanif mula masukkan pakaian-pakaian ke dalam bungkusan dan peralatan lain ke
dalam van.
Aku
hidupkan enjin van berkali-kali namun tidak hidup-hidup. Ah sudah, waktu-waktu
begini jugalah dia nak buat hal. Hanya pada cubaan kesebelas baru aku berjaya,
lampu van menerangi tapak pasar malam.
Aku
sampai di rumah dan bau sup menusuk ke hidung. Isteriku buatkan kuetiau sup
malam ini, aku jamah dengan berselera. Perutnya semakin jelas menunjukkan dia
sedang hamil walaupun baru hampir 3 bulan. Kami terima sahaja apa yang Tuhan
berikan. Harapnya sihat dan sempurna, itu doa kami berdua setiap hari, tak
kisah lelaki mahupun perempuan.
“Bang,
tadi sayang ada call mak. Sajalah tanya khabar” isteriku memulakan perbualan.
“Oh,
mak ayah sihat?”
“Sihat je
bang… Sayang ingatkan, kalau abang izinkanlah, sayang ingat… Nak balik
kampunglah sampai dah bersalin nanti. Lagi pun kan bang, kat sana senang ada
ayah dan mak, ada orang tengok-tengokkan sayang kalau apa-apa. Boleh tak bang?”
“Bila
nak balik sana tu?”
“Esok?
Boleh, bang?”
“Esok?
La kenapa tak cakap awal-awal. Takut tak sempatlah esok mungkin abang nak kena
ambil stok dekat Man, stok baru masuk dari Hong Kong.”
“Oh
ye ke. Hm takpelah macam tu. Tak payahlah, sayang duduk sini jelah” aku faham
benar nada itu.
“Okey
okey takpe, Man tu nanti abang deal dengan dia. Esok sayang nak balik
pukul berapa?” aku cuba memujuk.
“Takpe
tak payah. Susahkan abang je” pandangannya beralih pada kaca televisyen.
“Okey”
aku sengaja hentikan pujukan.
“Ish
abang ni. Ta-”
“Esok
pagi pukul 9 boleh? Kita breakfast di Hussein.”
“Yey!
Okey boleh! Sayang abang” dia mencium pipiku.
Berita tengah malam menunjukkan situasi di Parlimen
yang berlaku siang tadi. Beberapa ahli parlimen lelaki terjerit-jerit
bertelingkah satu sama lain sehinggalah seorang ahli parlimen wanita bangkit
menyampuk. Akhirnya kesemua ahli parlimen lelaki tadi bersatu menyakat dan
menghentam ahli parlimen wanita tersebut. Tingkah laku mereka tidak ubah
seperti anak kecil yang belum mumaiyiz berebut permainan. Isteriku masuk ke
bilik tidur dan aku tukar siaran.
Kami
sampai di kediaman mentuaku jam 10 pagi. Angin sepoi-sepoi dan udara nyaman
mengingatkan aku pada kampung halaman ayahku di Baling yang sudah 10 tahun aku
tidak pulang. Sejak pemergian kedua-dua
datuk dan nenekku, anak-anaknya termasuk bapaku jarang sekali pulang ke
kampung.
Jam
3 petang selepas menjamah makan tengah hari dengan lauk kampung seperti jantung
pisang dan ulam-ulaman. Aku mengundurkan diri kerana perlu berniaga pada malam
itu. Sebenarnya kalau bukan berniaga pun, aku memang akan mencari alasan untuk
pulang kerana tidak selesa duduk lama-lama di rumah itu. Sebelum pulang,
isteriku berkali-kali berpesan untuk menjaga setandan pisang emas di belakang
rumah. Sejak sebulan lalu dia mengidam pisang tersebut dan sentiasa
berjaga-jaga jika ada kelibat monyet datang. Aku sendiri tidak tahu kenapa
hanya tandanan tersebut yang dimahukannya, puasku pujuk dengan pisang lain di
kedai yang sudah masak namun dia berkeras mahukan pisang tanamanku itu juga.
Dia tidak pernah beritahu asal usul keinginannya itu, namun perihal mengidam
ini memang misteri kata orang.
Stesen
Sinar FM menemaniku sepanjang perjalanan pulang. Khabar angin yang berlegar di
media sosial menjadi kenyataan, pilihan raya negeri di Pahang akan diadakan
seperti dirancang selari dengan trend kes COVID-19 yang semakin menurun,
ulas pemberita bersuara lunak tersebut. Pahang terpaksa mengalami pilihan raya
semula disebabkan pergolakan politik dalaman sehinggakan menyebabkan pembubaran
dewan undangan negeri. Syukur politik di Kedah tidak sampai ke tahap itu.
Sampai di lorong rumah, aku lihat beberapa ekor monyet
di atas wayar tiang elektrik dan bahu jalan bertempiaran mendengar deruman van
aku. Tong-tong sampah rumah jiran terbalik dan bungkusan sampah terkoyak dan berselerak.
Aku hon berkali-kali untuk menakutkan mereka. Mujur tong sampah aku dalam
kawasan perkarangan di bawah teduhan pokok, mungkin mereka tak nampak. Risau
juga aku kalau-kalau mereka ada membuat kacau di belakang rumah aku. Aku parkir
van dalam rumah dan terus ke belakang. Fuh! Masih elok tandanan pisang tersebut
dengan jantungnya tergantung. Aku cari guni dalam rumah dan bungkuskan setandan
pisang tersebut dengan guni. Botol-botol plastik Coca-Cola dan air mineral
berisi air sirap yang disiapkan oleh isteriku masih terletak elok di keliling
pagar setelah 3 hari. Mungkin itu yang menghalang mereka masuk? Aku tak pasti.
Perangkap yang dipasang PERHILITAN di lorong belakang
rumahku juga telah berada selama 2 minggu. Setakat ini hanya 3 ekor monyet saja
berjaya ditangkap. Itu pun umpan penduduk sendiri perlu sediakan. Kadang-kadang
kami letak roti, makanan ringan dan yang sudah luput. Sejak awal-awal
pegawainya beritahu mereka hanya mampu letak satu perangkap saja di taman kami
berikutan bilangannya yang tidak mencukupi akibat kekurangan peruntukan. Aku
tak tahu jika ia cuma alasan kosong. Bagi aku elok ditembak saja monyet-monyet
ini, bilangan mereka cepat bertambah jika hanya dilawan dengan perangkap.
Selesai
mengemas barang, aku pun pulang ke rumah dengan sebungkus nasi ayam yang kubeli
daripada pasar malam. Malam ini aku sendiri lagi, tidak ada isteri untuk aku
dakap dan perut untuk aku usap serta bercakap. Lapan tahun kami menunggu cahaya
mata, merata tempat kami berubat dan minta nasihat. Akhirnya, mungkin berkat
doa rakan isteri yang ke Mekah tempoh hari, kami dikhabarkan berita gembira.
Pastinya isteriku manusia paling gembira ketika itu. Melihat senyuman dan
matanya yang bersinar adalah kenikmatan yang aku tak akan kecapi dengan apa-apa
yang lain di dunia ini.
Sampai
di rumah, aku lihat botol-botol berisi air sirap terbalik dan jatuh. Aku lantas
mencari pokok pisang idaman isteriku. Allahuakbar! Guninya sudah jatuh ke
tanah, pokok itu sendiri sudah senget, beberapa dahan patah dan tandanan pisang
dirobek. Darahku menyirap, tanaman lain sedikit pun tidak diusik, hanya pokok
pisang satu-satunya dirosakkan. Aku masuk ke rumah, ambil lastik dan mercun
bola. Aku cucuh sebiji mercun dan melastiknya ke arah hutan. Semua sekali habis
6 biji mercun sudahku lastik. Kalau ada yang ketujuh, pastinya aku tujukan
juga. Kalaulah ada seekor monyet di hadapanku sekarang, memang aku baling
dengan batu besar dan kejar sehingga dapat. Akanku rejam sampai mati dan
tinggalkan bangkainya.
Kepalaku
pening memikirkan apa harus lakukan untuk menenangkan perasaan isteriku. Aku
yakin kalau dia dapat tahu kejadian ini, pasti dia akan bersedih untuk masa
yang lama. Dia pernah mengalami keguguran sebelum ini, hampir 4 bulan dia
berkurung dalam rumah dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Ustaz dari surau
berdekatan juga ada datang membantu merawat namun tidak ada banyak perubahan.
Hanya secara perlahan-perlahan dia sendiri menerima kenyataan dan mula bergaul
semula dengan aku dan orang sekeliling. Jiran-jiran juga ada datang memberi
sokongan, tapi ada juga membuat cerita bukan-bukan, katanya bunian membalas
dendam terhadap isteri, isteriku mewarisi saka dan bermacam lagi. Aku hiraukan
saja waktu itu, dalam kepalaku hanya keadaan kesihatan isteriku.
Aku tidak mahu lagi melihatnya menangis dan
kemurungan. Ia satu pengalaman sangat pahit bagiku melihat dia dalam keadaan
menyeksakan dan aku tidak dapat berbuat apa-apa. Mungkin dengan membeli pisang
di kedai dan bawanya pulang ke kampung, isteriku tidak dapat kesan. Itu saja
jalan yang aku mampu fikir. Hanya pada jam 4 pagi baru aku dapat melelapkan
mata.
Aku
keluar dari rumah dan singgah di beberapa kedai buah memandangkan kedai pertama
yang aku singgah tidak mempunyai pisang emas yang hampir sama bentuk dengan
pisang di rumah.
Aku perlu teliti kerana aku tahu isteriku tahu benar tandanan itu dengan terperinci.
Setelah singgah di kedai keempat akhirnya aku beli juga disebabkan kesuntukan
masa. Dalam perjalanan itu aku tak henti berharap dan berdoa pada Tuhan agar
isteriku tidak akan tahu pisang ini bukan dari halaman kami. Aku tidak berniat
mahu menipunya, aku cuma tidak mahu dia bersedih lagi. Aku sanggup dimarahi dan
diapa-apakan asalkan dia tidak bersedih.
Kami berkawan
selama 2 tahun di politeknik sebelum aku meluahkan perasaan terhadapnya. Kami
kemudian menjalin hubungan selama 4 tahun sebelum mengikat pertunangan dan
pernikahan pada tahun yang sama. Aku bersyukur dia menerimaku seadanya, iyalah,
aku tidak bekerja di pejabat atau punyai pekerjaan yang memberikan slip gaji
bulanan.
Sampai di rumah
mentuaku, kulihat isteriku sudah tersenyum-senyum menungguku di pintu rumah.
Aku berdebar memikirkan jika dia tahu hal sebenar pisang yang dinantinya ini.
Aku membawa keluar pisang dari van dan berikan padanya, dia segera ke dapur.
“Abang!”
isteriku memanggil dari dapur.
“Kenapa macam
lain je pisang ni. Ya ke ni pisang kita?” Soalan yang sudahku jangka dan
berharap ia tidak akan muncul.
“Yelah, pisang
yang awak mengidam tu. Yang takut sangat monyet kacau, inilah dia. Kenapa?” Aku
sedaya upaya cuba untuk tidak kelihatan gugup. Dia terus membelek-belek pisang
emas yang sudah masak itu sambil menyengetkan bibir.
Aku melangkah keluar dari dapur.
“Abang! Nak
pergi mana tu? Sinilah, belum habis lagi!” Aduh, nampaknya aku terpaksa
berterus-terang.
“Bukan, ini
bukan pisang kita. Saya dapat rasa ini bukan dia. Mana pisang kita?”
“Inilah pisang
kita, kenapa pula bukan? Awak ni...,” cubaan terakhir aku untuk menyakinnya.
“Abang cakap
betul-betul, ni pisang abang ambil dari mana? Mana pisang kita? Kenapa abang
tak bawa yang tu?” dia bercekak pinggang.
“Sayang...
abang minta maaf.”
“Kenapa? Apa
dah jadi dengan pisang tu?!” Matanya terbeliak.
“Abang dah
sarungkan dengan guni. Tapi... semalam abang balik dari berniaga, abang tengok
pokok kita dah tumbang dengan monyet. Habis setandan pisang tu lompong
sana-sini, dikepak, dirobeknya. Abang minta maaf sayang.”
“Abang! Ya
Rabbi... abang, abang tahukan saya mengidam buah dari pokok tu, kenapa abang
tak jaga betul-betul. Saya dan pesan banyak, banyak kali! Abang memang tak
peduli, kan? Abang tak kisah pun pasal anak kita, pasal saya. Dahlah!” Dia
bergegas masuk ke bilik. Aku cuba membuka pintu namun berkunci.
“Sayang, abang
dah cuba. Abang dah sarungkan pisang tu dengan guni. Abang tak sangka semalam
juga monyet-monyet tu datang nak serang. Abang memang dah plan nak buat
perangkap tapi tak sangka secepat ni dia datang. Abang minta maaf
sangat-sangat.” Dia masih diam seribu bahasa.
“Sayang minta
je apa-apa, abang janji lepas ni abang tunaikan. Apa-apa je! Sayang janganlah
macam ni. Sayang cakap je nak apa, abang janji, abang tunaikan tak kisahlah apa
pun.” Suaranya menangis perlahan kedengaran bila aku tekupkan telinga pada
pintu. Hatiku luruh. Tangisannya satu-satunya perkara aku yang aku tidak
kehendaki dalam dunia ini. Aku gagal. Aku gagal menjadi seorang suami dan bakal
ayah yang baik. Sedangkan anakku dalam kandungan pun aku masih tidak mampu
menunaikan haknya, apatah lagi kalau dia sudah keluar dari rahim isteriku.
Setelah sejam
aku di sana dan penat memujuknya, aku ambil keputusan untuk pulang. Malam ini
aku perlu cari rezeki lagi untuk isteri dan anakku. Aku tak mahu kegagalan ini
menghentikanku daripada terus berbakti untuk mereka. Aku cuba lagi memujuknya
sebelum pulang, namun masih tidak berbalas. Akhirnya aku pulang dengan hati
yang remuk dan perasaan serba salah yang membukit. Ibu mentuaku berpesan agar
jangan terlalu mengambil hati, kelak pasti isteriku akan baik-baik juga,
biasalah ibu mengandung memang terlebih sensitif. Aku mengangguk saja. Dalam
perjalanan pulang, radio menguar-uarkan kiraan peratus keluar mengundi di
Pahang.
Tiba
saja di rumah aku merenung ke arah hutan di sebelah rumahku. Darahku berderau
memikirkan dosa monyet-monyet itu sehingga membuatku isteri menangis. Aku tekad
akan membalas dendam.
Aku bertanya
pada Syakir, peniaga pasar malam sebelah tapakku yang serba tahu segala macam
hal. Aku ceritakan padanya tentang bagaimana pokok pisangku dijahanamkan monyet
dan keadaan isteriku di kampung. Dia tumpang simpati dan berkongsi banyak petua
antaranya membuat ular olok-olok, patung orang-orang, patung harimau, dan lain-lain
namun disebabkan kesempitan wang, aku ambil keputusan untuk cuba beberapa
kaedah sahaja buat kali ini.
Habis berniaga,
aku singgah ke kedai motor milik Ah Seng. Aku cari tiub getah motor dalam di
sekitar kedainya dan jumpa beberapa tiub dalam tong sampah. Cantik! Sampai saja
di rumah aku gunting tiub tersebut dan sembur dengan warna merah membentuk
corak untuk seperti seekor ular. Kemudian tiub-tiub tayar itu aku gantung di
pagar tepi rumah agar monyet dari atas bukit boleh nampak. Kayu dari batang dan
dahan pokok aku cantum dan paku membentuk seperti salib. Aku pacakkan di
halaman belakang dan pakaikannya baju serta topi agar kelihatan seperti manusia
sedang berdiri.
Mesej WhatsApp
pada isteriku sekadar ditinggal dengan tanda biru. Rajuk isteriku masih
berlarutan, aku cuba buat panggilan namun tidak berangkat. Aku hubungi bapa
mentuaku bertanya khabar isteri, nampaknya dia masih berkurung sejak semalam.
Dia hanya keluar makan sekali sehari dan tidak mahu ditemani sesiapa di dalam
bilik. Aku semakin risau kalau-kalau episod hitam dulu berulang kembali.
Sewaktu episod duka itu berlaku selama berbulan-bulan, berat badannya turun
sebanyak 10 kg dan mukanya cengkung sekali. Sebagai seorang suami aku memang
susah hati, dipaksa makan tidak menjadi, aktiviti lain seperti berjalan-jalan
dan pusing sekitar taman apatah lagi.
Jam
12 malam, berita melaporkan PRN di Pahang dimenangi oleh parti gabungan
kerajaan. Ketua-ketua parti dan ahli politik dari kedua-dua pihak memberi
ucapan. Yang menang mengucap terima kasih dan berkata ia takdir daripada Tuhan
untuk rakyat jelata mendapat pentadbiran yang terbaik manakala daripada
pembangkang pula menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya yang dikatakan tidak
jujur dan dipengaruhi kerajaan untuk menukar keputusan undi. Aku tutup
televisyen.
“Li,
balik sini sekarang, Li!” bapa mentuaku bercakap dengan cemas. Jantungku berdegup
kencang. Bakul yang berisi barangan keperluan rumah aku tinggalkan begitu saja
dan terus bergegas keluar dari pasar raya.
Tiba
di rumah mentua, aku cepat-cepat cari isteriku. Dia sedang terbaring dan tidur berselimut,
wajahnya begitu pucat. Ibu mentuaku beritahu isteriku mengalami keguguran pagi
tadi dan tidak sempat menghubungi serta-merta. Mereka terus ke hospital
berdekatan. Rupa-rupanya sejak beberapa hari selepas aku pulang ke rumah,
isteriku sering mengalami senggugut, beberapa malam juga dia tidak dapat tidur
lena. Doktor tidak menolak kemungkinan selain mempunyai sejarah keguguran, kesedihan
yang melampau turut menyumbang pada keguguran itu.
Wajahnya
kelihatan penat dan lesu. Hatiku hancur mengenangkan kegagalanku sebagai
seorang suami yang tidak dapat berada di sisi isterinya ketika dia dalam
keperitan. Janin yang gugur pun aku tidak sempat lihat kerana bapa mentuaku
sudah tanamnya. Aku duduk di sisi isteri dan ambil tangannya. Aku genggam
perlahan, menahan air mata. Dalam benakku tak henti-henti mengucap kata maaf,
aku harap suara ini sampai ke dalam mimpinya.
Malam
itu aku tidur di rumah mentua. Aku sudah beritahu Hanif malam ini kami tidak
berniaga. Sedar saja daripada tidur, isteriku memelukku dan meminta maaf.
Tangisannya buat aku lemah namun pada masa sama memberi aku kekuatan. Ada satu
perasaan memberitahuku untuk menjadi kuat demi dia. Aku tenangkannya dan
meminta maaf kerana tidak dapat berada di sisinya ketika dia memerlukan dan membuatkannya
bersedih. Malam itu aku tidak dapat tidur. Notifikasi di telefon bimbit
beritahu kes positif COVID-19 meningkat sehingga 3 angka di Pahang. Azan subuh
kedengaran dan mataku terus terlelap.
Setiap
hari isteriku mengalami pendarahan, aku membantunya di bilik air selain ibu
mentuaku turut serta. Sudah seminggu aku tidak berniaga, duit belanja semakin
susut. Aku juga kasihankan Hanif, pastinya dia juga memerlukan wang sekarang.
Aku ajak isteriku pulang ke rumah, namun dia menolak. Di sini sekurang-kurang
ada orang boleh jenguk-jengukkannya, balasnya.
Esoknya aku
bertolak pulang dan bersiap-siap untuk berniaga. Di tapak pasar malam, bilaku
lihat Syakir tidak sibuk dengan pelanggan, aku tanya dia kalau-kalau ada lagi petua.
Namun kali ini aku terus bertanya bagaimana mahu membunuh monyet. Aku sudah
hilang sabar melihat isteriku terseksa di kampung. Kalau bukan kerana pisangku
dirosakkan mereka, pasti anak dalam kandungan masih sihat dan isteriku gembira
menikmati pisang tanaman kami. Dia memandangku lama, teragak-agak mungkin untuk
berikan petua risau kalau-kalau aku salah guna.
“Isteri aku
gugur sebab terlampau sedih, Ket. Sebab pisang aku monyet jahanamkan. Pisang
yang dia mengidam selama beberapa ini akhirnya macam tu saja hilang.” Aku
menagih simpati Syakir.
Dia hembuskan
nafas dan berkata, “Okey aku bagitahu kau tapi pandai-pandailah. Jangan gunakan
selain kat monyet atau binatang lain especially kucing. Kau janji dengan aku.”
Aku mengangguk.
Persetujuan dicapai dan dia kongsikan bahan dan kaedah membuat racun yang
berkesan untuk bunuh monyet dan haiwan seumpamanya. Kataya racun ini pernah
digunakan datuknya dahulu di kampung kerana kebunnya juga sering diganggu kera.
“Kadar keberkesanannya
sama dengan vaksin korona, 90% confirm mati” kepetahan Syakir tidak
asing lagi bagi yang mengenalinya. Aku taip dalam telefon dan tanpa berlengah
terus ke kedai baja berdekatan mendapatkan bahan-bahan racun tersebut.
Usai berniaga,
dalam perjalanan pulang berita di radio melaporkan banyak hal-hal jijik dan
aneh. Sejak belakangan ini banyak benar berita yang tidak pernah aku dengar
selama ini muncul. Kes ustaz di tahfiz meliwat pelajar lelaki, sumbang mahram,
dan paling aku ingat remaja perempuan bunuh rakan sendiri di rumahnya. Ngeri!
Tidak
ketinggalan berita ahli politik mendesak untuk mengadakan pilihan raya umum di
seluruh negara dengan alasan hak rakyat perlu dikembalikan. Tidak ada hari
tanpa berita berkenaan politik, aku mual.
Sudah
dua hari dan kelibat monyet masih berkeliaran. Semalam tong sampahku pula
menjadi mangsa untuk mereka mencari makanan. Pagi sebelum itu mujur aku keluar
rumah, beberapa ekor sedang cuba mengganggu pokok anggurku di tepi rumah dan
ada yang sudah masuk ke dalam halaman untuk memakan makanan kucing yang aku
sediakan untuk kucing liar yang sering datang ke rumah.
Dengar saja
pintu dibuka bertempiaran mereka cabut lari. Celaka punya monyet, aku maki
dalam hati. Jika isteriku dengar aku mengeluarkan kata-kata kesat pasti aku
dimarahi. Dari jauh aku memandang ke arah perangkap PERHILITAN, nampaknya masih
kosong. Patung harimau jiranku masih elok di halamannya tapi aku fikir tak lama
sebelum monyet-monyet itu tahu ia palsu. Patung orang-orang dan ular
olok-olokku pun hanya berkesan dua minggu.
Aku masuk ke
rumah dan ambil botol-botol racun haiwan yang aku beli tempoh hari. Nampaknya
sudah sampai masa. Hatiku berbelah bahagi antara teruja melihat keberkesanannya
dan kasihan memikirkan cara kematian monyet-monyet itu nanti. Ah, sudah lama aku
bagi muka, kalau ikutkan hari itu juga aku buat tetapi sebab kasihan, aku
simpan. Mereka dah melampau!
Aku campur cecair
racun-racun tersebut dalam bekas, ambil jarum dan suntik pada 10 biji oren. Aku
habiskan sebatian itu dengan mencucuk pada 15 biji oren akhirnya. Aku baling ke
arah hutan, bukit, tepi rumah dan halaman belakang, semua tempat kebiasaan mereka.
Mamposlah kau monyet!
Di
pasar malam hari ini hampir menjadi kekecohan besar, seorang peniaga dan
pelanggan bertikam lidah tentang sosok politik kegemaran mereka. Mujurlah ada
peniaga lain datang mententeramkan, kalau dibiarkan lama pastinya lebih ramai
masuk campur dan berlaku pergaduhan. Peniaga tersebut tidak pernah aku nampak,
Syakir juga beritahu dia baru seminggu di situ, peralatannya juga nampak masih
baru dan berkilat.
Aku
mendengar Hanif dan Syakir berbual kes terbaru positif COVID-19, sudah 10 orang
menteri disahkan dijangkiti sejak dua minggu lepas, bahkan ada antara ahli
keluarga mereka turut terkena. Padan muka, itu saja aku perkataan yang kami
bertiga dapat simpulkan. Statistik semakin mendadak, daripada dua angka kes
harian, kini sudah naik hingga ke 500 kes setiap hari. Walaupun sebagai peniaga
aku agak berasa agak lega kerana kerajaan tidak menghalang aktiviti pernigaan
namun tertanya-tanya juga aku mengapa perintah berkurung seperti fasa awal
Malaysia diserang COVID-19 tidak dilaksanakan sedangkan kes harian bukan main
tinggi. Kami juga takut kalau-kalau terkena virus ini sewaktu mencari rezeki. Bukannya
tidak khuatir namun terpaksa demi kelangsungan hidup.
Bertubi-tubi
mesej masuk dalam kumpulan WhatsApp kejirananku. Rogayah, bekas askar yang kini
bekerja sebagai guru menghantar gambar bangkai-bangkai monyet di tepi jalan.
Beliau meluahkan rasa kasihan terhadap haiwan berkenaan sementara jiran yang
lain ada yang lega atas kematian monyet-monyet terbabit. Aku hanya membaca
tanpa memberi respon. Rata-rata penduduk memberi reaksi positif walaupun ada
beberapa berkongsi sentimen yang sama seperti Rogayah. Mereka juga ciptaan Tuhan
yang mencari makan, Rohayah menzahirkan simpati. Kalaulah dia tahu apa terjadi
pada tanamanku selama ini dan isteri, mungkin dia faham. Tetapi, halamannya rumahnya pun tidak ada sebarang
tanaman, disimen keseluruhannya dijadikan kolam dan tempat parkir untuk 4 buah
keretanya, manakan dia tahu perasaan aku dan yang lain.
Kecoh
pula seluruh negara petang itu apabila anak kepada Menteri Besar Pahang yang
baru dilantik tempoh hari meninggal dunia akibat koronavirus. Walaupun mereka
mendapat layanan kesihatan yang jauh lebih baik berbanding rakyat yang bersesak
di hospital dan tempat kuarantin khas, namun ajal tidak mengenal pangkat
mahupun bapa. Kun fayakun, ustazku cakap.
Aku
menatal Facebook, ramai orang menyalahkan kerajaan dan semua ahli politik baik
dari kerajaan mahupun pembangkang kerana memaksa untuk mengadakan PRN di Pahang
yang kini secara kumulatif lebih 2000 orang rakyat masih di hospital dan hanya
selepas ahli keluarga menteri tersebut meninggal dunia, kerajaan negeri
mendesak kerajaan persekutuan untuk melaksanakan perintah berkurung yang lebih
ketat di sana.
Jam
9 malam, kami semua pulang ke rumah masing-masing selepas habis mengemas tapak kami
berniaga. Masuk ke dalam taman, aku senang hati tidak ada lagi kelibat monyet
mahupun suara nyaring mereka dari hutan berdekatan. Tong-tong sampah
jiran-jiranku juga semua masih tegak di luar rumah, sampai berselerakan juga
tiada lagi. Aku parkir van di dalam rumah, turun dan terus menikmati halaman
yang tidak terusik oleh mana-mana haiwan perosak. Pokok-pokok di tepi dan
belakang seolah-olah melambai-lambai padaku.
Aku masuk ke
dalam rumah dan memanggil isteriku. Suara daripada televisyen kedengaran tetapi
isteriku tidak menyahut. Dia terlentang di atas sofa dan di lantai ada beberapa
helai kupasan oren.
TAMAT
x
Ulasan
Catat Ulasan