Our World in Data (2019) melaporkan secara purata satu
daripada tiga orang mempunyai akaun media sosial. Ketika itu, Facebook selaku
pemegang ‘saham’ terbesar dalam arena media sosial telah mempunyai 2.4 bilion
pengguna berbanding 100 juta pada 2008. Amanz (2020) melaporkan jumlah tersebut
telah meningkat sehingga 2.7 bilion pengguna. Beberapa hari lalu, Nagarajan (2021)
melaporkan syarikat Facebook Inc. telah menjangkaui nilai 1 trilion USD selepas
mahkamah melepaskan syarikat tersebut daripada dikenakan tindakan di bawah
undang-undang antimonopoli. Ini menjadikannya syarikat kelima Amerika Syarikat
yang mencapai nilai 1 trilion, sebaris Microsoft, Alphabet (syarikat induk
Google), Amazon dan Apple.
Kejayaan Facebook ialah
bukti betapa besar kesan media sosial pada seluruh masyarakat dunia. Dengan
media sosial, ia telah mengubah cara manusia berkomunikasi seperti bagaimana mereka
berkongsi berita, meluahkan perasaan, menjalankan perniagaan, berseni, mencari
kawan baru dan menyatakan pendapat serta berdebat (Molla, 2021). Sejak pandemik
COVID-19 menyerang penduduk dunia, dunia teknologi yang selama ini pantas
berevolusi menjadi semakin ligat kerana kesemua urusan dan transaksi dilakukan
melalui dalam talian.
Secara peribadi, penggunaan
media sosial dalam kehidupan seharian banyak mempengaruhi sudut pandang saya
terhadap dunia luar. Walaupun media sosial kini seolah-olah menggantikan
peranan akhbar, namun ia juga menjadi sumber penyebaran berita palsu. Dengan
teknologi yang semakin canggih, pengguna kini mampu mengedit gambar seperti
tajuk berita lalu diuar-uarkan sebagai berita sahih.
Antara pengalaman yang saya
ingat adalah apabila bapa saya berkongsi mesej tentang larangan Perintah
Kawalan Pergerakan di mana orang ramai hanya dibenarkan keluar rumah pada 8
pagi sehingga 2 petang saja. Saya yang sudah lazim dengan berita palsu sebegitu
lantas menyalin mesej tersebut dan mencarinya di Google. Ternyata, ia sebuah
mesej palsu yang disebarkan beberapa bulan lepas namun tular semula. Mujur ada
portal di bawah seliaan kerajaan seperti Sebenarnya dan saluran rasmi Majlis
Keselamatan Negara yang mendedahkan tentang berita palsu. Saya kemudiannya membuat
tangkapan skrin dan kongsikannya di kumpulan WhatsApp keluarga supaya ibu bapa
saya lebih skeptikal apabila menerima pesanan seperti mesej tersebut.
Sebagai anak muda yang mahir
dan celik teknologi, mudah untuk saya kesan sama ada sesebuah perkongsian itu
palsu ataupun sahih kerana sudah terbiasa di media sosial sejak kecil. Namun
bagi generasi yang lebih tua, sukar bagi mereka untuk membezakan antara yang
palsu dan yang benar. Bagi mereka, apa yang dihantar oleh ahli keluarga dan
rakan sekerja pastinya maklumat sahih, tambah-tambah pula mesej tersebut
memetik nama pihak berwajib seperti Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham
Abdullah seperti mesej yang diterima bapa saya.
Pun begitu, dengan media
sosial juga saya mendapat perkembangan dan tip berkenaan situasi semasa.
Contohnya, jika ke seseorang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin untuk disuntik,
dia perlu membawa pen sendiri dan ubat-ubatan yang diambil bagi memudahkan
urusan pemeriksaan oleh doktor. Selain itu, perkembangan berkenaan PKP dan
kemas kini SOP juga dapat saya kongsikan dengan mudah. Saya tidak perlu
menangkap gambar skrin televisyen atau keratan akhbar tetapi imej yang
dikeluarkan oleh pihak media seperti Astro Awani dan saluran rasmi kerajaan
seperti akaun Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia dapat dimuat turun dan
dikongsi terus dengan resolusi tinggi.
Tuntasnya, media sosial
mempunyai banyak manfaat jika digunakan dengan cermat tetapi ia juga boleh
menjerumuskan seseorang kepada keburukan seandainya tidak diuruskan dengan
berhati-hati. Bagi menapis berita palsu, saluran rasmi kerajaan dan media yang
diiktiraf perlulah jadikan keutamaan untuk diikuti di semua platform media
sosial. Hal ini kerana penyebaran berita palsu yang sangat mirip dengan arahan
rasmi kerajaan begitu luas tersebar sehinggakan ramai menjadi mangsa.
(570 patah perkataan)
x
RUJUKAN
Amanz. (31 Julai 2020). Facebook kini
mempunyai lebih 2.7 bilion pengguna aktif bulanan. https://amanz.my/2020245219/
Molla, R. (2021, March 1). Posting
less, posting more, and tired of it all: How the pandemic has changed social
media. Vox. https://www.vox.com/recode/22295131/social-media-use-pandemic-covid-19-instagram-tiktok
Nagarajan, S. (29 Jun 2021). Facebook
is now worth $1 trillion after a US court's dismissal of 2 antitrust lawsuits
spurs Jump in stock. Market Insider. https://markets.businessinsider.com/news/stocks/facebook-market-cap-1-trillion-antitrust-lawsuit-dismissal-judge-monopoly-2021-6
Our World in Data. (18 September 2019). The
rise of social media. https://ourworldindata.org/rise-of-social-media
Sebenarnya.my. (10 Disember 2020). Tiada
SOP PKPKP (Perintah Kawalan Pergerakan Keluarga) dikeluarkan oleh KKM. https://sebenarnya.my/tiada-sop-pkpkp-perintah-kawalan-pergerakan-keluarga-dikeluarkan-oleh-kkm/
Ulasan
Catat Ulasan