Langkau ke kandungan utama

Seni v Pornografi: Mendepani yang Kabur (Esei) (8 Julai 2020)

 

SENI v PORNOGRAFI: MENDEPANI YANG KABUR

 

AMINUDDIN ZAIN

Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA, MALAYSIA

 

 

ABSTRAK

Seni mengikut teori yang dikemukakan Plato dan Aristotle adalah hasil aktiviti peniruan. Dalam seni, lukisan dan arca terutamanya, karya seni yang melibatkan sosok tubuh bogel manusia juga telah wujud sekian lamanya semenjak zaman kegemilangan Tamadun Yunani. Lukisan terkenal seperti Venus of Orbino oleh Titian juga menunjukkan wanita tanpa pakaian dan arca Discobolus di zaman Yunani menampakkan lelaki dengan tubuh sasa dan ideal dalam keadaan berbogel. Memasuki abad ke-20, wujud satu lagi kategori yang telah disebar dalam pelbagai cabang seni iaitu pornografi. Pornografi ini wujud dalam tulisan, media baru seperti gambar dan video. Wujud permasalahan baru iaitu bagaimana mahu membezakan antara dua kategori ini, apakah pornografi sebahagian daripada seni atau sebaliknya? Artikel ini menghuraikan lebih lanjut garis kabur yang meletakkan pornografi dan seni di tempat masing-masing dan membincangkan kesan daripada industri pornografi terhadap dunia. Seni dan pornografi adalah dua perkara berbeza meskipun dalam beberapa situasi satu elemen wujud dalam elemen yang lain manakala industri pornografi yang telah wujud hampir 100 tahun ini juga telah memecah nilai moral dalam kalangan manusia terutamanya anak muda. Pembacaan artikel ini diharap membuahkan fikiran bernas pada pembaca serta dapat serba sedikit menjelaskan permasalahan sedia ada. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dalam menjalankannya.

Kata kunci: seni, industri, pornografi.

PENGENALAN

Ahli sejarah, ahli akademik, sasterawan, pengkarya serta penggiat seni sejak dulu hingga hari ini sentiasa cuba memberi makna objektif kepada seni. Antara teori terawal yang cuba mendefinisikan seni adalah daripada Plato dan Aristotle yang mendakwa seni adalah hasil kerja peniruan, atau imitation. Namun beratus dan beribu tahun telah berlalu, seni berubah rupa dan bertukar bentuk serta medium. Seni tidak lagi sekadar merekod pemandangan indah di hadapan pelukis, mengetuk batu-bata menjadikan arca mirip bangsawan dan ahli sukan atau sebagainya, sebaliknya dunia moden menyaksikan seni kini lebih bersifat ekspresif dan imaginatif yang tidak perlu lagi objek di sekeliling sebagai pemangkin atau bahan untuk ditiru dan dihurai. Semua yang unik mampu dibikin dalam kepala si pengkarya lalu terjadilah sebuah karya agung. Nama-nama seperti Andy Warhol, Leonardo Davinci, Jackson Pollock adalah bukti seni kini telah memiliki makna baharu. Tetapi, disebabkan ruang dalam seni serta orang-orang di dalamnya yang sentiasa berbeza pendapat serta meraikannya, tidak ada satu makna mutlak dan objektif mampu diberi pada perkataan seni. Namun, secara kasar, mampu ditafsirkan bahawa seni itu adalah hasil kerja yang mampu membuat orang berfikir, punya rasa empati, membuat orang memiliki perasaan sama ada gembira, kasihan, sedih dan sebagainya serta sebahagiannya mempunyai perlambangan dan mesej. Seni adalah salah satu medium untuk meluahkan perasaan dan pandangan, salah satu cara komunikasi emosi dan idea (Wollheim, 2015).

Pornografi pula adalah representasi kelakuan seksual secara lisan, rajah, dalam bentuk arca, gambar, video and apa-apa media yang bertujuan untuk menimbulkan ghairah atau keterujaan seksual. Pornografi atau dalam bahasa Inggeris, pornography datang daripada bahasa Yunani yang mana “porne” bermaksud pelacur manakala “graphien” membawa makna tulis atau rekod.

πορνογράϕος (pornografi) bererti menulis berkenaan pelacur berasal daripada πορνο (porno) + γράϕος (graf)

Dalam memahami makna sebenar frasa pornografi, terdapat banyak pandangan, sama seperti para sarjana meletak definisi terhadap seni namun Hald (2010) mengatakan bahawa pornografi adalah apa-apa yang memaparkan bahan seksual dengan tujuan menaikkan perasaan ghairah seks dalam diri pengguna. Longino (2018) pula mendefinisi pornografi sebagai “bahan lisan dan bergambar yang menggambarkan atau menghurai aktiviti seksual yang merendahkan atau mendera pihak lain dalam erti kata lain menyokong penghinaan itu”.

Sejarah kewujudan bahan pornografi amat panjang, bermula sejak 1305 hingga 1950 yang mana pornografi ketika itu tidaklah seperti mana yang digambarkan waktu sekarang. Di Itali waktu itu sehingga ada yang digelar Bapa Pornografi iaitu Pietro Aretino (Watson, 2017). Berdasarkan takrifan pornografi oleh Watson, ia bermula sejak abad ke-14 kerana bahan dan karya ketika itu mengandungi bahan berunsur lucah dalam menyampaikan mesej. Hal ini boleh didebat dengan panjang lebar lagi kerana takrifan Watson terhadap pornografi berbeza dengan sarjana lain bahkan pembaca sendiri namun artikel ini tidak bertujuan untuk membincangkan hal tersebut. Pornografi ketika itu terkandung dalam puisi, karikatur dan lain-lain yang tujuan utama mereka menyatakan protes terhadap golongan tertentu yang biasanya ialah pemerintah dan orang kenamaan berpengaruh seperti raja dan paderi. Salah satunya ialah lukisan oleh Louis Cranach, yang melukis karikatur menggambarkan paderi sebagai pelacur, Great Whore dalam usahanya menyokong Martin Luther menentang gereja Katolik. Bahan-bahan pornografi yang terkandung dalam karya mereka pada waktu ini adalah salah satu media dalam menyuarakan kritikan mereka terhadap keadaan sosial, budaya, politik ketika itu.

Sejak kemunculan internet, pornografi menjadi topik hangat yang diteroka oleh orang ramai kerana kemudahan untuk didapati dan ketanpanamaan (anonymity) yang tersedia (Cooper, 1998). Pada waktu sama, syarikat penerbitan pornografi ini mendapat keuntungan yang meningkat ganda dari masa ke masa contohnya laman sesawang Kink.com yang mencapai keuntungan sehinggan US$14.5 juta.

Tahap pendedahan dan penerimaan terhadap pornografi juga semakin meningkat dengan bancian dilakukan oleh Gallup (dulu dikenali sebagai American Institue of Public Opinion) mendapati separuh daripada rakyat Amerika Syarikat berumur 18-34 tahun bersetuju bahawa pornografi tidak salah di sisi moral. Pada 2017 sahaja, laman sesawang Pornhub (2018) mengeluarkan laporan di mana ia menerima seramai 28.5 bilion pengunjung dengan purata 81 juta pengunjung setiap hari bersamaan dengan 24.7 bilion cari telah dilakukan oleh mereka.

 


 

SENI

Antara karya terawal memaparkan tubuh wanita dalam keadaan telanjang ialah ukiran atau arca Venus of Willendorf  yang dipercayai wujud 28,000-25,000 sebelum Masihi. Ia berbentuk seakan-akan seorang wanita berisi tanpa kepala. Sifat-sifat yang diukir pada Venus of Willendorf ini membuatkan sarjana berpendapat arca ini melambangkan kesuburan, sama seperti kebanyakan ukiran pada zaman purba Yunani.

Antara arca bogel lelaki terawal pula ialah Discobolus, yang memperlihatkan seorang lelaki sasa sedang menghayun cakera (discus) dengan wajahnya tampak tenang. Discobolus pula dipercayai melambangkan kemenangan dan kemuliaan dengan tubuh ideal seorang lelaki sedang bersukan.

Kedua-dua ukiran atau arca terkenal ini dikategorikan sebagai seni dan diperkenal pada khalayak terutama pelajar dan mahasiswa yang menuntut dalam bidang seni dan berkaitan. Ia sedikit pun tidak dikaitkan dengan pornografi walaupun jelas menampakkan tubuh manusia tanpa pakaian.

Orang-orang Eropah ketika abad ke-19 melakukan perjalanan ke India untuk menyaksikan sendiri apa yang dikatakan pornografi oleh mereka ketika itu di mana terdapat representasi seksual dan hubungan kelamin di kuil-kuil Hindu di sana. Antara pemaparan yang dipertunjukkan itu terdapat pada ukiran dewa Vishnu bersama Lakhsmi berkelakuan dalam hubungan kelamin di kuil yang dibina untuk Parshvanatha di Khurajaho, India. Ini menunjukkan bahawa bukan saja masyarakat Barat saja yang memasukkan elemen lucah atau manusia bogel dalam karya mereka tetapi juga orang-orang di Asia juga melakukan perkara sama bahkan di rumah ibadat. Adakah ini dikira sebagai pornografi atau seni?

Persoalannya, di mana garis yang memisahkan antara seni dan pornografi?

 

PORNOGRAFI

Venus of Willendorf  diukur dengan simbolik terhadap kesuburan dalam wanita, sama seperti watak dewi mereka, Aphrodite. Ukiran-ukiran wanita ini secara tidak langsung menzahirkan idea masyarakat pada ketika terhadap wanita yang kebanyakannya tidak realistik. Ini juga jelas boleh didapati dengan patung dan lukisan wanita dengan tubuh kurus dan ideal.

Karya bogel lelaki mula hilang tempat dalam kalangan penggiat seni, karya bogel dengan pemaparan wanita terus mendominasi. Bermula era Renaissance, karya-karya dengan wanita bogel sebagai subjek mula menunjukkan penyelewengan di mana ia bertujuan untuk menggoda dan tidak lagi cuba menggambarkan wanita dalam keadaan tubuh ideal dan sempurna seperti mana dilakukan masyarakat Yunani sebelumnya. Amalan ini diteruskan sehinggalah ke abad-19.

Seni bogel pada awalnya yang bermula di zaman kegemilangan Yunani mengangkat tubuh manusia yang ideal dengan pemaparan wanita dan lelaki dalam keadaan sempurna, sasa dan sebagainya, bagaimana pun memperlihatkan perubahan arah oleh pengkarya seni bogel apabila memasuki abad ke-21 (Artfinder, n.d.).

 

BAGAIMANA PORNOGRAFI BUKAN SEBAHAGIAN DARIPADA SENI

Sebagaimana seni ialah subjektif, pornografi juga mempunyai kontroversi yang sama dalam mentafsir maknanya. Bagi sesetengah pihak, sebuah lukisan manusia berbogel sudah cukup dikategorikan sebagai pornografi tetapi bagi sesetengah yang lain, ia sebuah hasil seni. Seperti karya Jeff Koons, Made in Heaven yang dikategorikan sebagai pornografi walaupun Jeff ialah seorang penggiat seni terkenal, bukan pembikin filem pornografi. Pun begitu, walaupun garisnya halus dan kabur, beberapa hujah dipersembahkan bagi menjelaskan garis kabur tersebut.

Pertama sekali, tujuan. Uidhir (2009), telah menyenaraikan beberapa perkara atau prinsip penting dalam memisahkan antara kedua-dua bidang ini.

 

(1)  If something is pornography, then that something has the purpose of sexual arousal (of some audience).

(2)  If something is pornography, then that something has the purpose of sexual arousal and that purpose is manner inspecific.

(3)  If something is art, then if that something has a purpose, then that purpose is manner specific.

(4)  If something is art, then if that something has the purpose of sexual arousal, then that purpose is manner specific.

(5)  A purpose cannot be both manner specific and manner inspecific.

(6)  Therefore, if something is pornography, then it is not art.

 

Dengan enam perkara ini, boleh dirumuskan bahawa hasil seni mempunyai tujuan yang khusus, tidak kira sama ada ia bertujuan untuk menimbulkan syahwat atau tidak manakala pornografi pula adalah hasil kerja yang bertujuan untuk menaikkan syahwat semata-mata tanpa tujuan khusus lain. Kenyataan memberi pemisahan jelas bahawa sesuatu hasil kerja tidak boleh menjadi seni dan pornografi pada waktu yang sama.

Pornografi bertujuan untuk menaikkan syahwat semata-mata tanpa ada mesej atau perlambangan yang cuba disampaikan. Seni pula mempunyai mesej, perlambangan, hasil luahan perasaan dan ada yang bersifat provokatif, cuba menggugat kepercayaan penonton. Jadi, seni mempunyai banyak takrifan yang boleh dikenakan padanya kerana hasil seni sejak beribu tahun dahulu mempunyai pelbagai tujuan selain memberikan pemaparan perkara yang indah semata-mata. Pornografi cuma mempunyai satu tujuan; merangsang nafsu seksual.

Seni melibatkan tubuh manusia berbogel, tumpuan adalah kepada wajah subjek dalam karya tersebut kerana ia seperti jendela pada jiwa, bukan organ seksual seperti dalam pornografi (Scruton, 2009). Ini kerana pornografi dengan tujuannya memperlihatkan lebih banyak imej alat kelamin.

Sesebuah hasil seni itu perlulah bersifat asli, unik, kebanyakan kompleks dan berlapis-lapis untuk ditafsir namun pornografi sekadar mahu membuat penonton berasa ghairah maka lebih banyak adegan-adegan lucah perlu dilibatkan sehingga dari segi naratifnya, tidak ada ruang untuk pembinaan karakter dan lain-lain (Uidhir, 2009)

Walau bagaimanapun, Maes (2012) berhujah bahawa ada juga bahan pornografi bersifat autentik dan imaginatif. Contohnya, watak dan senario dalam filem pornografi yang mirip dengan kehidupan sebenar. Hal-hal ini dibikin dengan teliti dengan menjadikan keindahan adalah keutamaan. Katanya lagi, filem-filem yang bukan pornografi di Hollywood ada yang tidak bersifat autentik dan beracuankan formula, bangunan seperti Canterbury Cathedral keseluruhannya meniru elemen seni bina Gothic tetapi masih dikategorikan sebagai seni.

Namun, apa yang dikatakan Maes masih tidak dapat menafikan bahawa tujuan pornografi adalah untuk membikin keterujaan seksual semata-mata di mana seni lebih mempunyai lapisan yang banyak dan perlu ditafsir.

Kedua, nilai. Setiap hasil kerja seni amat bernilai tidak kira sama ada ia dijual pada harga berapa sekali pun. Karya seperti Mona Lisa, The Starry Night oleh Leonardo Da Vinci, Mural oleh Jackson Pollock sehinggakan lukisan tin sup Cambell’s oleh Andy Warhol, semuanya bernilai. Nilai-nilai ini wujud kerana wujudnya tujuan seperti yang telah disebut di atas. Selain tujuan, nilai sesebuah karya seni itu juga terlihat dengan tafsiran yang dikenakan terhadapnya. Sesebuah karya yang diangkat tinggi oleh pengkritik dan masyarakat selalunya meninggalkan kesan mendalam lalu menyebabkan orang ramai cuba mentafsirnya sehingga begitu banyak tafsiran dilontar. Persoalan yang ditinggalkan pengkarya melalui karyanya itu menjadikan nilai karya tersebut tinggi dan dihormati. Sebagai contoh, filem Shawshank Redemption yang mendapat tempat pertama dalam carta filem terbaik sepanjang zaman oleh  IMDB, bukan sahaja menceritakan tentang bagaimana seorang banduan melepaskan diri dari penjara malah pada lapisan lainnya bercakap berkenaan tujuan hidup, kesabaran dan pembalasan. Mesej-mesej yang lebih dalam ini juga terkait pada tajuknya.

Sebuah hasil seni yang menghiburkan tidak terhenti di situ saja malah membawa penonton berfikir dan berasa lebih mendalam, bermuhasabah dan akhirnya wujud katarsis. Disebabkan itulah apa-apa hasil seni yang baik, ia akan bertahan ratusan malah ribuan tahun, kerana nilainya yang sentiasa cuba difahami oleh masyarakat.

Pornografi dengan tujuan tunggalnya apabila telah tercapai tujuannya, di manakah ia diletakkan? Tidak ada apa-apa pengajaran, nilai dan lain-lain yang jelas mampu diberi oleh bahan pornografi. Seseorang cuma akan mencari bahan pornografi dalam satu keadaan tertentu dan setelah mencapai hasratnya, meninggalkan bahan tersebut seperti ia tidak bernilai. Pornografi adalah musuh kepada imaginasi kerana seni mengajak dan memberi ruang kepada manusia untuk berfikir sendiri, berimaginasi dan ruang peribadi untuk mentafsir dan menimbulkan andaian seperti melakukan seni itu bersama-sama dengan pengkarnya tetapi pornografi seolah-olah telah menghina penontonnya dengan melakukan kerja-kerja imaginasi itu (Steiner, 1975).

Schopenhauer (1965) menegaskan bahawa apabila sesebuah lukisan itu dicipta untuk menimbulkan nafsu penontonnya, maka renungan terhadap estetik termansuh dan tujuan seni terhapus.

Sontag (1994) bagaimanapun menolak idea bahawa pornografi bersifat anti-imaginatif. Katanya novel seperti The Story of O atau Story of Eye adalah sebuah naratif yang membawa pembaca kepada penerokaan perasaan dan kesedaran manusia yang ekstrem dan ia layak diletakkan sebagai pencapaian terbaik dalam berimaginasi.

Maes (2012) mengakui bahawa seni, dengan kuasa imaginasi yang diberikan kepada penontonnya membantu dalam melihat dan memahami realiti namun penggiat pornografi hanya mahu menokok tambah realiti (refashion reality) sebagai pelengkap untuk nafsu dan fantasi pengguna. Hubungan dan perasaan seksual yang sebenar dan bermakna seperti ditekan oleh Scruton (2003), ‘is a desire for a person, someone who confronts me eye to eye and I to I’. Perkara ini dinafikan oleh pornografi yang menanam imej dan gambaran berlebih-lebihan dan salah terhadap hubungan kelamin.

Ketiga, kaedah penghasilan. Seni menuntut pengkarya memiliki kemahiran yang tinggi, kefahaman yang mendalam dan pembuatan yang teliti. Walaupun karya seni moden seperti Fountain oleh Marcel Duchamp dan lain-lain agak menyeleweng daripada takrifan seni kebiasaan, tetapi masih dianggap seni serta diangkat. Sesebuah karya bersifat eksklusif, unik dan autentik, ia tidak mampu dibikin secara besar-besaran seperti kilang yang mencetak wang. Pengkarya boleh mengulangi kemahirannya namun setiap hasil kerja seni tersebut masih unik dan berlainan daripada yang lain. Ini juga memberikannya nilai.

Pornografi bagaimanapun dilakukan secara besar-besaran. Sebuah filem pornografi boleh didapati di internet di merata laman sesawang, dicetak rompak, dibikin dengan orang yang sama, jalan cerita yang sama bahkan dengan tujuan yang sama. Walaupun dalam bidang seni juga banyak filem dan novel yang mempunyai permasalahan yang sama seperti persamaan jalan cerita dan unsur plagiarisme, tetapi mereka tidak berkongsi tujuan yang sama. Pornografi, secara umumnya, tanpa mengira watak, jalan cerita, prop dan sebagainya, kekal dengan tujuannya iaitu menaikkan syahwat penonton. Jadi, walau apa pun kandungan bahan pornografi tersebut, ia seperti tidak membawa makna kerana tujuan tersebut mampu dicapai dengan mana-mana bahan lain dalam pornografi. Buktinya, pada tahun 2019, Pornhub (2019) mencatatkan bilangan 42 bilion pengunjung dari serata dunia dengan purata 115 juta pengunjung setiap hari, belum diambil statistik dari laman sesawang lucah lain lagi.

 

INDUSTRI PORNOGRAFI DAN KESANNYA PADA DUNIA

Dalam excitation transfer theory oleh (Allen et al., 1999, p. 139), beliau mengatakan bahawa menonton bahan pornografi mencetuskan respons psychological atau physiological yang diingini pengguna (penonton) tersebut. Maka, ini menyebabkan seseorang itu mempunyai kepercayaan dan andaian bahawa apa yang berlaku dalam bahan pornografi tersebut akan memberikan kesan sama dalam kehidupan sebenar (Allen et al., 1999). Kekeliruan antara fantasi dan realiti ini berpunca daripada penekunan terhadap bahan pornografi.

Industri pornografi yang semakin berleluasa hari ini adalah disebabkan keuntungan mewah yang didapati mereka hasil penggunaan internet yang meluas. Selain daripada menjadi lubuk untuk pengguna mencari bahan pornografi, internet juga telah menggalakkan penggunanya untuk menjadi sebahagian daripada industri secara tidak langsung dengan pengguna berkongsi gambar peribadi mereka. Gambar-gambar tersebut sering kali dilihat mencabar nilai-nilai konvensional dan tradisional seksual, kecantikan dan estetik. Penggunaan webcam dan teknologi telefon pintar yang semakin canggih membuka peluang baru bagi amatur atau pengguna yang mahu menceburkan diri dalam industri ini dengan bayaran oleh pemain industri menimbulkan keterujaan.

Pornografi selalunya dibikin untuk lelaki di mana hubungan seksual heteroseksual dalam sesebuah bahan pornografi sering memaparkan keghairahan seksual oleh wanita dan sifat dominan oleh lelaki (Kanuga & Rosenfeld, 2004).

Kajian Wallmyr & Welin (2006) menunjukkan 61% wanita memberi respons negatif terhadap pornografi kerana bahan pornografi sering merendah-rendahkan wanita seperti dilayan dengan lebih teruk, menunjukkan wanita bersifat lemah dan menurut arahan lelaki sahaja.

Lelaki lebih cenderung ke arah bahan pornografi dalam bentuk imej dan grafik manakala perempuan lebih kepada bahan lisan erotik yang tertumpu pada hubungan yang romantis.

Pornografi menjadi sebuah industri sejak 1953 apabila majalah terkenal Playboy dilancarkan (Dines & Mantilla, 2007). Antara faktor kewujudan Playboy  ketika itu, menurut Dines & Mantilla (2007) adalah disebabkan kapitalis atau kaum pemodal yang mahu pengguna membelanjakan wang kerana selepas Perang Dunia ke-2, wanita mula dijebakkan dalam iklan komersial di televisyen. Jadi, bagi menjana wang, kaum pemodal menggunakan wanita secara total lalu secara tidak langsung melahirkan konsumerisme terhadap bahan lucah ini. Playboy bukan dilanggan dan dibeli disebabkan kandungan gambar wanita seksi dalamnya sahaja tetapi imej-imej wanita dalamnya yang dikategorikan sebagai high-class membuatkannya menjadi majalah terkenal sehingga hari ini.

Bahan pornografi dalam bentuk video disebarkan secara meluas bermula pada 1920-an and pada 1960-an ia mencapai kemuncak sehingga kini. Penciptaan video kaset pada 1980an dan video kaset digital (DVD) pada 1990-an menjadi pemangkin kepada penyebaran dan pendedahan kepada umum kerana ia kini boleh ditonton dalam ruang persendirian. Apatah lagi dengan penggunaan internet yang bermula pada 1990-an, pornografi terus memuncak di serata dunia.

Bukan setakat itu sahaja, malah kemajuan teknologi seperti perubahan teknologi skrin di telefon bimbit dan pintar juga adalah disebabkan industri pornografi kerana dengan itu, pengguna boleh mendapat bahan pornografi dengan lebih dekat melalui perkhidmatan strim (Dines & Mantilla, 2007). Evolusi telefon menunjukkan corak yang berkitar di mana sewaktu awal kemunculannya, telefon berskrin sangat besar, ia tidak praktikal untuk dibawa ke mana-mana namun dengan teknologi yang semakin memesat, ia semakin mengecil dengan jenama terawal yang terkenal ketika itu ialah Vodafone, Nokia dan Motorola. Apabila sistem operasi mula diimplementasi ke dalam telefon pintar seperti sistem Symbian dan Android, pembuat telefon pintar mula meningkatkan saiz skrin mereka sehingga jika dilihat hari ini, telefon pintar seolah-olah mempunyai skrin semata-mata tanpa butang fizikal untuk menaip seperi telefon 10 tahun lalu. Hal ini adalah disebabkan teknologi skrin yang semakin maju, menyaksikan skrin daripada sekadar memaparkan teks, kemudian mempunyai lampu lalu boleh disentuh seperti sehingga sekarang.

It is possible to state that the Internet became a privileged place to spread pornographic content –, photographs, videos, literature (professional and amateur) – considering that it provides the consumer an ease of access, privacy protection, total anonymity, ease of searching for genders and specific styles within the pornographic content and gratuity, since most of the adult websites do not charge any fees from the users

Neto & Ceccarelli (2015) seperti dilaporkan oleh Mesquita & Pinto (2020)

 

Kebanyakan penonton menggunakan telefon pintar untuk menonton bahan pornografi berseorangan pada waktu malam di kamar kerana ia memberi lebih rasa privasi dan mereka cuma menonton video terbabit atas talian tanpa memuat turunnya (Mesquita & Pinto, 2020)

Selain itu, masalah yang lebih teruk pula muncul iaitu pornografi kanak-kanak. Pornografi dikecam dan diharamkan di merata negara termasuk Malaysia. Melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Media Malaysia (SKMM) menyekat sebarang capaian kepada laman sesawang yang telah dikenalpasti sebagai menyebarkan bahan lucah. Pornografi dianggap sebagai punca masalah rogol, sumbang mahram dan masalah gangguan seksual dalam kalangan orang dewasa sejak dahulu lagi. Masalah pornografi kanak-kanak, yang dipercayai digerakkan oleh pedofil terutamanya dengan kemudahan saluran di media seperti Telegram mengeruhkan lagi keadaan ini.

It is a common assumption that individuals who have committed sexual offences use pornography more frequently or respond to the material differently to non-offending populations

(Mellor & Duff, 2019).

 

Gerakan feminisme juga tidak ketinggalan dalam menyuarakan pandangan mereka berkenaan industri dan kewujudan bahan pornografi ini sehingga wujudnya satu genre baru dalam industri pornografi iaitu feminism pornography. Para feminis sebenarnya telah lama membincangkan hal ini kerana ia melibatkan wanita dan hak-hak mereka yang ditindas terutama sekali bagaimana wanita dipaparkan dalam kebanyakan bahan pornografi. Bermula 1980-an, pornografi feminisme menekankan keadilan dan layanan sama rata terhadap semua yang terlibat dalam penghasilan bahan pornografi mereka. Kru-kru diberi gaji yang setimpal, dijamin keselamatan, dilayan dengan baik dan dihargai, tidak seperti industri sedia ada yang banyak menindas penggiat dan pelakon wanitanya. Antara tujuan lain mereka termasuk mencabar idea masyarakat tentang kecantikan, keinginan, kepuasan nafsu dan untuk memperkasa pembikin serta penontonnya.

Pornografi, seperti dijelaskan di atas sering kali dikaitkan dengan penindasan dan penghinaan terhadap wanita bukan sahaja dalam pemaparannya tetapi juga layanan terhadap pelakon wanita mereka. Pornografi adalah seperti tongkat sakti yang menukarkan subjek kepada objek, orang kepada benda – mengecewakan dan memusnahkan sumber keindahan mereka (Scruton, 2009). Ini secara tidak langsung membuktikan pornografi bersifat merendahkan martabat atau maruah seseorang yang mana begitu berlawanan dengan sifat seni.

Dalam sebuah wawancara oleh BBC (2019) bersama seorang bekas pelakon porno, Mia Khalifa, dia mengakui bahawa tidak berasa di set kerana layanan yang diberikan pengarah dan kru lelaki. Banyak adegan yang dilakonkannya dibuat secara paksa kerana dia tidak mempunyai pilihan selain menurut arahan pengarah walaupun telah menyuarakan ketidaksetujuannya. Mia terlibat dalam industri pornografi selama 3 bulan sahaja tetapi dia kini dikenali di seluruh dunia. Hal ini menjejaskan hubungannya dengan rakan dan pasangan terutamanya apabila ingin berkenalan dengan orang baru kerana mereka melihat dia sebagai pelacur lalu mengandaikan bahawa apa yang dilakukannya untuk hubungan seks semata-mata. Maruahnya dijual, privasinya tergadai, dia tidak mampu hidup seperti orang lain apabila keluar dari rumah. Kekesalannya itu memuncak dia yang berasal daripada keluarga beragama Islam itu dibuang keluarga setelah perbuatannya itu diketahui mereka. Mia juga turut menerima pelbagai ugutan bunuh disebabkan adegannya dalam video pornografi yang dikatakan mencemarkan imej agama Islam serta akaun Instagram-nya juga digodam oleh pihak yang mengakui mereka sebahagian daripada ISIS.

Pornografi dalam jangka panjangnya juga secara tidak langsung akan menyebabkan penontonnya (lelaki) bersikap kasar, ganas dan cenderung untuk melakukan penderaan terhadap wanita. Hal ini disebabkan naratif yang terdapat dalam bahan pornografi (bukan feminisme) yang kebanyakannya memaparkan keganasan, kebencian dan penguasaan terhadap wanita (Dines & Mantilla, 2007). Hujah dikuatkan lagi dengan tema carian popular di laman sesawang lucah ini adalah seperti seks oral, anal, double triple penetration, “ass to mouth” dan lain-lain lagi yang menunjukkan keganasan seksual. Pemaparan seksual begini semuanya dengan tujuan untuk menghina dan merendah-rendahkan wanita (Dines & Mantilla, 2007). Selain itu, antara ditekankan oleh Mia juga adalah berkenaan jangkaan (expectation) yang diberikan oleh pornografi terhadap penontonnya. imej dan fantasi yang ditanam dalam minda penontonnya adalah tidak sihat dan tidak benar kerana ia tidak menggambarkan hubungan seksual yang sebenar tetapi lebih ditokok-tambah agar penonton menjadi lebih terangsang.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, seni dan pornografi adalah dua perkara berbeza. Walaupun kadangkala garis yang kabur itu hilang langsung dan sesebuah karya dilihat seperti bertindih antara kedua-duanya, namun secara dasar ia masih berbeza. Tujuan, nilai dan kaedah penghasilan antara perkara yang membezakan kedua-dua perkara ini sebenarnya masih banyak boleh disenarai dalam membincangkan perbezaan mereka.

Seni sejak awal kewujudannya sentiasa memaparkan kecantikan, keindahan dan membuatkan masyarakat berfikir, merenung, bermuhasabah dan mempunyai mesej tersirat. Tidak dinafikan, tidak semua karya memiliki kesemua ciri-ciri dalam satu masa namun ia masih dianggap sebagai seni. Pornografi, walau bagaimanapun sekadar bermatlamat menaikkan ghairah seks dalam seseorang. Hubungan seksual tidak salah (boleh dibahaskan dengan lebih lanjut dari sisi agama) kerana merupakan naluri, keperluan bahkan untuk kelangsungan spesies, namun pornografi tetap salah di sisi moral. Pornografi sejak awal kewujudannya telah bertujuan salah, kerana pada pendapat saya, nafsu tidak perlu dibangkit kecuali dalam beberapa keadaan yang sesuai seperti suami dan isteri dalam hubungan kelamin tetapi di luar keadaan itu, tidak perlu bahkan salah. Untuk mengatakan pornografi disalahguna juga tidak tepat kerana pornografi sememangnya bermatlamat salah di sisi moral. Disebabkan itulah banyak gerakan-gerakan di dunia hari ini mula menggesa masyarakat untuk berhenti menonton atau mengambil sebarang bentuk bahan pornografi kerana selain ia memberikan kesan buruk terhadap kesihatan peribadi terutamanya alat kelamin, ia juga memberi kesan buruk terhadap wanita, psikologi penonton dan pembentukan minda masyarakat. Pornografi di akhirnya (diketuai oleh taikun masing-masing) cuma mahu mengaut keuntungan di atas desakan nafsu orang lain. Tidak ada apa-apa yang baik di sisi moral dan kesihatan berkenaan pengambilan bahan pornografi ini. Sementelah, masalah baru turut muncul seperti bahan pornografi pedofil yang mana menyasarkan kanak-kanak bawah umur yang tidak bersalah. Ini telah membuktikan bagaimana pornografi telah menyesatkan masyarakat dengan melampau dan terlalu jauh.

Masyarakat hendaklah punyai kesedaran tentang perbezaan seni dan pornografi agar tidak tertipu oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan dan bijak menilai karya seni sebenar. Pengambilan bahan pornografi juga seharunya dihentikan secara total, ditentang secara habis-habisan kerana ia kini telah menjadi satu industri yang memperdagangkan maruah manusia dan manusia secara fizikal. Keuntungan melampau yang dirasai oleh pemain-pemain industri ini perlu dilawan secara terbuka agar masyarakat memperoleh kesedaran tentang kejahatan dan ketamakan mereka. Eksploitasi terhadap wanita antara isu paling penting perlu diutarakan dan dilawan kerana ia bukan berlaku dalam bidang ini sahaja. Pemikiran dan moral anak muda turut perlu diutamakan, jika dibiarkan pornografi berleluasa, mereka secara tidak langsung akan terpengaruh dengan pemaparan imej wanita dalam bahan pornografi yang penuh eksploitasi, misogynistic,  penguasaan terhadap golongan wanita dan lain-lain yang bakal menyebabkan keruntuhan masyarakat. Pornografi dalam kata lain adalah sebuah senjata tersembunyi yang cuba meruntuhkan nilai moral manusia dengan menganggap ia hak peribadi yang boleh dilakukan oleh sesiapa sedangkan kesannya akan menjadi bala besar kepada tamadun manusia sama ada dari segi moral mahupun intelektual.

Pornografi yang dalam diam membentuk imaginasi dan imej seseorang terhadap wanita dan hubungan seks juga sebenarnya bukanlah tentang masalah fantasi dan nafsu seks semata-mata tetapi seperti kata Dines & Mantilla (2017), ia sebenarnya tentang masalah lelaki yang mahukan penguasaan terhadap wanita kerana pornografi bermula daripada pelacuran. Pelacuran adalah salah satu pekerjaan hasil sistem pemerintahan patriarki di dunia selama beribu-ibu tahun. Dengan bayaran tertentu, mereka menuntut wanita-wanita ini untuk tunduk dan patuh kepada arahan mereka dengan menanggapi bahawa ia seperti sebuah urusan jual beli. Dunia moden dengan pembangunan teknologi kemudian mencipta satu cabang baru daripada aktiviti pelacuran ini iaitu pornografi.

Sedangkan pelacuran juga adalah aktiviti tidak bermoral, apatah lagi pornografi yang cuba mendokumentasi, merakam, melakonkan adegan-adegan seksual. Dalam gerakan feminisme sendiri, para feminis terpecah kepada beberapa golongan antara yang menganggap pelacuran sebagai pekerjaan dan bukan pekerjaan. Feminis gelombang kedua berpendapat bahawa pelacuran sepatutnya tidak dikira sebagai pekerjaan kerana ia merupakan seakan-akan salah satu bentuk perhambaan walaupun ada pembayaran dilakukan manakala feminis gelombang ketiga tidak bersetuju kerana mereka mengatakan pelacuran telah lama wujud, akan wujud dalam mana-mana bidang sekalipun bahkan ia salah satu cara wanita mencari wang, sama seperti mana-mana pekerjaan lain. Mereka percaya bahawa sekali pun pelacuran diharamkan, ia pasti akan berlaku dalam bentuk lain, maka lebih baik mengiktiraf pelacuran sebagai pekerjaan agar dengan itu wanita-wanita yang bekerja sebagai pelacur dapat diangkat maruah mereka di sisi masyarakat dan pemerkasaan wanita secara tidak langsung berlaku.

Walau bagaimanapun, pornografi hendaklah ditolak sekerasnya-kerasnya disebabkan kesan buruknya yang mempengaruhi seluruh masyarakat termasuk individu yang tidak terlibat. Ketagihan pornografi antara ketagihan yang sukar diubati kerana kemudahan aksesnya pada zaman kini maka untuk menyedarkan masyarakat tentang seni, pendidikan seksual dan bahaya pornografi amatlah perlu pada zaman serba canggih ini. Jika pihak bertanggungjawab dan masyarakat mengambil secara lewa, anak muda terutamanya bakal meneroka perkara ini dengan sendiri tanpa bimbingan dan ia bukan suatu perkara yang baik.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Analisis Kritikal terhadap Salib Existensial (2015) oleh Ridhwan Saidi (Esei) (1 Januari 2020)

Pengenalan Ridhwan Saidi ialah nama yang tidak asing lagi dalam arena seni di Malaysia terutamanya dalam kalangan peminat novel indie . Beliau ialah pengasas bersama Mocha-Mocha Ink yang menerbitkan fiksyen kontemporari, novelis dan penggiat teater namun lebih dikenali sebagai penulis novel kerana telah menerbitkan beberapa bukunya dengan Buku Fixi seperti Brazil , Amerika , Cekik dan banyak lagi. Salib Existensial oleh Ridhwan Saidi merakamkan kejadian sebuah salib yang berkhidmat di gereja mendapat azab pada pengakhiran kehidupannya. Suatu malam, dia mengambil keputusan untuk beristirahat dengan pergi ke sebuah bar berdekatan berseorangan. Setelah mabuk, dia pulang ke gereja untuk berdiri semula di hadapan gereja kerana esoknya ramai hadirin akan datang untuk beribadat. Akhirnya, dia sampai ke puncak, tempat kerjanya dan tidur hingga ke esok pagi. Keesokannya, dia mendapati ramai orang berekerumun di bawah seperti hari Ahad biasa namun mereka kaku memandangnya serta mempunyai ...

Patriarki dalam Bapak Mati Bunuh Diri (2021) (Esei) (1 Mei 2021)

Pengenalan Patriarki yang dipinjam daripada bahasa Inggeris ‘patriarchy’ berasal daripada perkataan Yunani iaitu patér yang bermaksud bapa dan arché yang merujuk pada ‘tua’, ‘awal’, ‘kuasa’ atau juga ‘aturan’. Sistem sosial patriarki merujuk kepada sistem yang meletakkan lelaki sebagai ketua, yang terkehadapan dan yang memegang tampuk kuasa pada hierarki paling tinggi. Patriarki juga sering dikaitkan dengan dominasi kaum lelaki dalam sesebuah organisasi dan penindasan terhadap kaum perempuan. Dalam sesebuah institusi masyarakat yang mengamalkan patriarki, si ayah atau suami secara veto berkuasa dan bertanggungjawab  sepenuhnya terhadap setiap anggota keluarganya dari semua segi termasuk kewangan, sosial, pendidikan dan lain-lain. Si isteri atau ibu tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju keluarga mahu pun membuat keputusan untuk institusi tersebut. Cerpen Bapak Mati Bunuh Diri (2021) ditulis oleh Nur Adilla dan disiarkan dalam majalah Svara isu ke-5 (Januari – Mac 2021)...

July 2022 - What Happened In My 25th

I feel like I’m stuck between the past and the future but I’m not in the present. I don’t have any goals anymore, don’t talk to me about hope and ambitions. I was born an idealist. Between the past and the future, I enjoy reminiscing. Because in the past, things happened but in future, nothing ever happened. Now I just live day to day. Picturing the sins and uncomfortable moments every evening.   I’m a late bloomer. Laggies.  I used to pray to die young, to wake up next day somewhere, or beside God right away. But I was innocent at that time. Now I am no longer naive. So I pray my sins forgiven before I leave this place. Every day I grow up getting more scared than ever. Commitments, human interaction, possibilities, risks, past mistakes. All this while every one keeps moving forward, braver then ever. To quote Tyler Durden, “Losing all hope was freedom”. It’s not rhetoric, it’s true. Just like love, it requires courage too, to give everything up, to not give a fuck anymore an...

Koronagig (Cerpen) (17 Mei 2021)

Aku terus menatal halaman iCloud di skrin iMac. Tujuan asalnya aku mahu memuat naik beberapa gambar daripada storan komputer ke pelayan iCloud tapi aku sedar halaman Photos iCloud rupanya panjang. Sudah 10 tahun aku melanggan servis iCloud, jadi semua gambar dari iPhone, iPad dan iMac aku semuanya ada di sini. Gambar-gambar sewaktu di kolej, asrama sekolah menengah dan hari raya buat aku rindu masa muda. Ah, semua pahit jadi manis bila ia tidak lagi berlaku sekarang – nostalgia. Aku klik di Notes untuk lihat tulisan dan catatan dulu-dulu. Apakah sama nostalgianya dengan foto?           Dengan pantas aku terus klik scroll bar dan terus larikan ke nota paling awal ditulis. Tiga minit juga aku tunggu ia loading , scroll , loading , scroll dan terus loading sampailah ia tidak loading lagi. Ah, ini nota pertama aku! Walaupun bukanlah yang pertama kerana sebelumnya tidak dimuat naik ke iCloud, tapi jadilah! Ia hanya catatan mengandungi beberapa...

Kelas Sebalik Talian

  Bulan Mac lepas menyaksikan para pelajar institut pengajian tinggi (IPT) memasuki semester baru, menandakan sudah setahun kelas dalam talian dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Tenaga pengajar dan pelajar yang sebelum ini tidak pernah menggunakan Google Meet, Zoom, Webex sudah agak mahir dengan platform di atas. Kekalutan dan huru-hara yang dialami sebelum ini mungkin dapat dikurangkan dan kerjasama antara pelajar serta pensyarah seharusnya lebih baik. Setelah berbulan-bulan kedua-dua pihak IPT dan pelajar mengharungi fasa baru ini, pelbagai masalah yang telah berakar dalam masyarakat kita timbul dengan drastik dan jelas, bagai sabut di dasar sungai yang akhirnya terlepas dari batu besar. Tahap capaian internet adalah antara masalah terbesar mereka hadapi baik daripada pihak pelajar mahupun pensyarah yang terpaksa ulang-alik ke kampus sewaktu PKP semata-mata mendapatkan capaian internet yang lebih baik. Dalam hal ini, pelbagai mediu...

Inphluenza (Cerpen) (31 Julai 2021)

  Sebuah kereta Proton Saga berwarna perak dengan cermin lut sinar sedang menunggu Aini. Seorang wanita berusia 60-an bersama gadis 20-an datang memeluk Aini erat. Mata Aini mula menakung air dan dia cuba mengawal serak suara. “Ehem... jom, kita sambung kat rumah! Lama sangat ni tak jejak kaki kat rumah. Jom!” Ibu Aini mengelap air mata dan masuk semula ke dalam perut kereta. Di dalam kereta mereka berbual rancak tentang perubahan jalan dan pembinaan bangunan-bangunan baru yang dilihat sepanjang dalam perjalanan pulang. Tingkap dibuka dan Aini menghalakan wajahnya ke luar membiarkannya ditampar angin. Sudah 5 tahun dia tidak merasakan nikmat menjejakkan kaki dari luar kotak bangunan bernama penjara.             Adiknya, Alia kini di tahun ketiga di salah sebuah universiti swasta di Bangi dalam bidang pengkomputeran. Sejak Aini di penjara, jiran-jiran mula menjauhkan diri daripada keluarganya. Selepas 2 minggu di rumah, Aini...

Bersosial di Media Sosial dalam Pandemik (Esei) (8 Jun 2021)

  Our World in Data (2019) melaporkan secara purata satu daripada tiga orang mempunyai akaun media sosial. Ketika itu, Facebook selaku pemegang ‘saham’ terbesar dalam arena media sosial telah mempunyai 2.4 bilion pengguna berbanding 100 juta pada 2008. Amanz (2020) melaporkan jumlah tersebut telah meningkat sehingga 2.7 bilion pengguna. Beberapa hari lalu, Nagarajan (2021) melaporkan syarikat Facebook Inc. telah menjangkaui nilai 1 trilion USD selepas mahkamah melepaskan syarikat tersebut daripada dikenakan tindakan di bawah undang-undang antimonopoli. Ini menjadikannya syarikat kelima Amerika Syarikat yang mencapai nilai 1 trilion, sebaris Microsoft, Alphabet (syarikat induk Google), Amazon dan Apple.           Kejayaan Facebook ialah bukti betapa besar kesan media sosial pada seluruh masyarakat dunia. Dengan media sosial, ia telah mengubah cara manusia berkomunikasi seperti bagaimana mereka berkongsi berita, meluahkan perasaan, menja...

Bangsaku Dipecah-pecah Vaksin

Kalau dulu Sasterawan Negara, Zurinah Hassan dalam puisinya Masihkah Kau Bermain Seruling berkata,   di kota yang semakin kusut dan tenat adik-adikku menganggur dan sakit jiwa bangsaku dipecahkan oleh politik   Hari ini, anak muda masih saja menganggur bahkan bertambah-tambah bilangannya, semakin ramai yang sakit jiwa di kota yang tak pernah henti kusut dan menenat. Ada waktu kita semua disatukan politik, menentang semua menteri dan ahli politik. Tapi vaksin yang mencegah penyakit, siapa sangka, juga memecahkan kita. Setakat artikel ini ditulis, sudah 1.15 bilion dos vaksin telah dikeluarkan dengan jumlah 276 juta telah disuntik di seluruh dunia. Dalam bahasa dan statistik mudah,  3.5 %  daripada seluruh penduduk dunia  telah dikurangkan risiko mereka untuk dijangkiti koronavirus. Di Malaysia, sebanyak 1.45 juta dos daripada pelbagai syarikat pengeluar vaksin telah mendarat di tanah air dengan 914 ribu telah divaksinasi. Ringkasnya,  1.7% daripada keseluruh...

Kluster Nyet (Cerpen) (21 Januari 2021)

                 “Sepuluh boleh bang?” tanya pelanggan remaja pada aku. Jam menunjukkan pukul 8:43 pm. Aku dan Hanif hanya menunggu ketiadaan pelanggan untuk mengemas barang-barang ke dalam van dan pulang. “Hm… bolehlah” balasku. Tidak apalah untung tak banyak hari ini, asalkan ada jualan, daripada tidak peroleh apa-apa langsung. Aku lipat dan masukkan dalam plastik. Wang bertukar tangan. Selepas 5 minit tiada kelibat pelanggan datang, aku dan Hanif mula masukkan pakaian-pakaian ke dalam bungkusan dan peralatan lain ke dalam van. Aku hidupkan enjin van berkali-kali namun tidak hidup-hidup. Ah sudah, waktu-waktu begini jugalah dia nak buat hal. Hanya pada cubaan kesebelas baru aku berjaya, lampu van menerangi tapak pasar malam. Aku sampai di rumah dan bau sup menusuk ke hidung. Isteriku buatkan kuetiau sup malam ini, aku jamah dengan berselera. Perutnya semakin jelas menunjukkan dia sedang hamil walaupun baru hampir 3 bulan. Kami te...